Categories
SELANGOR

Smart Selangor Inkubator diwujud bantu generasi muda

Oleh: HAFIZAN TAIB

KLANG, 22 DIS: Kerajaan Negeri menyediakan ruang bagi masyarakat khususnya golongan belia dan muda membina kerjaya dalam bidang perniagaan di Smart Selangor Inkubator diwujudkan di Selangor.

Pusat terbabit bagi daerah Klang di Bazaar Asy Syariff Pekan Meru, Meru, di sini, ialah satu daripada empat pusat inkubator diluluskan Kerajaan Negeri demi melahirkan usahawan berjaya di Selangor.

Perasmian Inkubator Smart Selangor YB Yunus MERU (ASRI) (2)Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri menyediakan empat inkubator di negeri ini membabitkan daerah Klang, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

Katanya, kos pembinaan bagi setiap inkubator ialah RM150,000 meliputi sewaan bangunan, barangan peralatan dan sebagainya.

“Kita mengharapkan ia menjadi pusat bagi usahawan di kampung tradisi atau desa membina kerjaya selepas mereka menamatkan kursus diikuti.

“Tumpuan ialah mereka yang mengikuti kursus di bawah Kerajaan Negeri apabila terdapat program jangka masa pendek dan sederhana termasuk dengan kerjasama Inpens International College (Inpens) dan Institut Kulinari Anjung Utara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Smart Selangor Inkubator Daerah Klang di sini, hari ini.

Beliau berkata, bentuk atau pilihan perniagaan di sesuatu inkubator bergantung kepada kesesuaian tempat apabila di daerah Klang didapati bidang penghawa dingin mempunyai potensi tinggi untuk dimajukan di samping bidang lain seperti jahitan, rawatan rambut, kecantikan, elektrik dan automotif.

Katanya, setiap peserta ditempatkan di situ dipantau pegawai Inpens dan Kerajaan Negeri termasuk Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru.

“Kita jangkakan dalam tempoh enam hingga dua tahun seseorang peserta ditempatkan di sini mampu membina kerjaya dengan beroleh pendapatan disasarkan seterusnya digantikan dengan peserta lain.

“Kerajaan Negeri juga turut membantu peserta memerlukan seperti mana terdapat dalam program HIJRAH,” katanya.

Ahmad Yunus berkata, projek perintis itu diharap membuahkan hasil kejayaan dan menjadi perancangan susulan bagi seluruh Selangor.

EZY