Categories
SELANGOR

SSDU terjemah pelaksanaan Smart Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 APRIL: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) ditubuhkan dan berfungsi sebagai unit khas penyampaian serta memastikan pelaksanaan gagasan Smart Selangor lebih berkesan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata antara laporan awal SSDU adalah keperluan menyediakan Blueprint Smart Selangor untuk merangka pelan jangka panjang bagi tempoh 10 hingga 20 tahun.

Katanya, Blueprint itu dijangka siap pada hujung tahun ini.

mb-jumaat sidang dewan 4“Pada masa sama, SSDU akan melaksanakan empat projek perintis Smart Selangor dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta dalam tahun ini,” katanya ketika sesi penggulungan menjunjung titah DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, antara projek itu termasuk menangani masalah pengurusan sisa pepejal berasaskan penyelesaian pintar (smart solution) di Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Katanya, usaha itu membabitkan aplikasi aduan atas talian untuk membolehkan rakyat melaporkan pelbagai perkara seperti sampah, jalan rosak dan isu keselamatan untuk diselesaikan lebih berkesan menerusi pusat aduan bersepadu.

“Projek lain adalah pembangunan Smart City berasaskan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dengan memasukkan komponen ‘smart solution’.

“Terakhir adalah penggunaan alat pengesan atau Environmental Monitoring Sensor bagi pemantauan indeks kualiti air dan persekitaran di sungai utama Selangor,” katanya.

-AA-

Smart Selangor : Perkhidmatan dengan teknologi pintar, mesra rakyat

Smart Selangor : Fokus utama adalah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan menggunakan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Eksklusif : Cabaran merealisasikan Smart Selangor

‘Smart Selangor bukan sekadar projek mega tetapi sebagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah rakyat menerusi pengunaan teknologi. Dengan cara itu masalah dapat diselesaikan dengan kesan terus kepada rakyat’.

Categories
SELANGOR

Smart Selangor: Perkhidmatan berpaksikan rakyat

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 MAC: Perkhidmatan berpaksikan rakyat menjadi tunjang utama gagasan Smart Selangor ke arah  ‘Citizen Centric State’ yang didorong falsafah tadbir urus berasaskan pintar atau ‘intelligent technologies’.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata fokus utama adalah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan menggunakan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Katanya, antara elemen yang diberi penekanan adalah sistem pengangkutan, trafik, keselamatan, pembanterasan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang, pengurusan sisa pepejal, sumber air dan tenaga.

AZMIN DNS 2016“Antara penyelesaian segera yang menjadi aplikasi program Smart Selangor ialah ianya dapat berinteraksi secara langsung dengan rakyat, penggunaan pemantauan aduan yang berkesan, keperluan dan kawasan yang memerlukan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya yang menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada masa yang sama, Mohamed Azmin berkata Smart Selangor akan membantu pencarian sumber lebih berkesan dalam membuat ketepatan unjuran rancangan belanjawan.

Katanya, ia juga memupuk semangat perkongsian antara rakyat dan kerajaan mengenai keutamaan semua isu bandar dan desa dalam menangani cabaran demografi khususnya sosio ekonomi.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja menjawab keperluan dan permasalahan rakyat tetapi juga memberi tindak balas interaktif dengan cara yang tepat, berkesan dan proaktif melalui penyelesaian pintar bersepadu.

“Fokus Kerajaan Negeri adalah rakyat. Masalah kehidupan seharian mereka merangkumi kualiti kehidupan, pertumbuhan ekonomi, negeri yang berdaya saing atau kelestarian alam sekitar serta pengurusan kewangan,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Smart Selangor: Teknologi perkasa pengurusan negeri diyakini selamat

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 MAC: Aplikasi dibangunkan untuk menjayakan Smart Selangor diyakini selamat dan terjamin dengan mengambil kira isu keselamatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali percaya kejayaan pembangunan teknologi itu mampu memudahkan Kerajaan Negeri menggubal dasar dan polisi peringkat negeri mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT).

AZMIN DNS 2016“Aplikasi Smart Selangor yang sedang dibina memberikan fokus kepada isu domestik dan tempatan. Sedia maklum, tujuan aplikasi ini dibina bagi memastikan pengurusan bandar dan negeri lebih efektif dan berkesan dengan penggunaan teknologi.

“Saya percaya ianya selamat dan terjamin bagi membantu PBT meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Shaari Sungib berkenaan langkah keselamatan aplikasi Smart Selangor.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata aplikasi dibangunkan itu akan menjadi pengukur pencapaian PBT seterusnya dipantau secara berkala oleh Kerajaan Negeri.

“Kita juga dapat melihat aduan dikemukakan rakyat dapat ditangani dan diselesaikan dalam tempoh cepat dan pantas.

“Kita juga mahu melihat trend aduan PBT dalam isu sistem pengurusan sisa pepejal, denggi, kesihatan dan masalah jenayah,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Smart Selangor: Beberapa kawasan dipilih jadi perintis

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 MAC : Beberapa kawasan atau daerah akan dipilih Kerajaan Negeri sebagai projek perintis bagi menjayakan rancangan Smart Selangor .

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengenal pasti pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang belum dibangunkan supaya Smart Solution dapat dimasukkan dalam agenda kawasan secara bersama.

AZMIN DNS 2016“Smart Selangor merupakan pelan jangka panjang dan bukan usaha yang boleh diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua tahun.

“Persoalan dimana hendak dimulakan, kita sudah bincangkan dalam retreat Exco baru-baru ini, untuk permulaan kita mahu PBT mengenal pasti TOD.

“Dari situ kita boleh mengenal pasti dan memilih beberapa kawasan atau daerah sebagai pilot projek dan menilai berapa peruntukan diperlukan untuk merencana projek bagi tempoh panjang,” katanya ketika menjawab pertanyaan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Andalas, Xavier Jayakumar.

Bagi menjayakan hasrat itu, Mohamed Azmin mengesa ADN membantu PBT mengenal pasti keutamaan kawasan masing-masing untuk diberi tumpuan pelaksanaan dan penyelesaian.

“Ia perlu menekankan beberapa keutamaan antaranya pengurusan sisa pepejal, trafik, kesihatan dan pemuliharaan sungai.

“Dari keutamaan itu kita akan mencari aplikasi terbaik bagi mencapai gagasan dan menyelesaikan masalah kawasan masing-masing,” katanya.

-nR-

Pasar Agro Smart Selangor sasar ‘satu pasar, satu daerah’

Pasar Agro #SmartSelangor platform terbaik memacu pertumbuhan ekonomi peniaga setempat dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

Categories
SELANGOR

Selangor mahu kekal destinasi pelaburan utama Malaysia

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan Selangor akan terus memastikan negeri itu kekal sebagai destinasi pelaburan dan perdagangan pilihan utama di Malaysia.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia selaras dengan hasrat menjadikan Selangor sebagai negeri pintar bertaraf dunia untuk jangka masa panjang.

“Idea ini boleh direalisasikan jika semua sektor seperti perkilangan, perniagaan dan komersial berada di barisan hadapan untuk memacu pertumbuhan pembangunan bersama.

MB Azmin lawat tapak banjir di depan Stadium (9)“Fokus ke arah matlamat sama adalah perkara penting bagi memastikan pembangunan sebuah kerajaan dibentuk rakyat dapat dicapai,” katanya pada sesi dialog dan minum petang bersama Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) di Hotel Concorde, di sini, semalam.

Terdahulu, katanya, Kerajaan Negeri melancarkan Kem Boot Akademik dengan penyertaan 100 perintis yang baru menamatkan pengajian dari universiti tempatan dan luar negara.

Katanya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada matlamat menujuk Smart Selangor untuk meningkatkan kebolehpasaran sumber manusia.

“Justeru, keperluan bagi melengkapkan anak muda dengan kemahiran insaniah adalah penting yang tidak diajar di mana-mana universiti.

“Selangor juga sudah melaksanakan beberapa program baru untuk anak muda dengan kerjasama Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) melalui program latihan seperti Internship for High Impact Talent dan Youth Enhancement Strategic Selangor (YES),” katanya.

-AA-

Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Selangor 20 Feb ini

Rumah Terbuka Tahun Baru Cina pada 20 Februari ini. Orang ramai dijemput hadir. Perkhidmatan Bas percuma #SmartSelangor disediakan.

Categories
SELANGOR

MB: Bas percuma Smart Selangor seluruh daerah menjelang Julai

Oleh: NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 15 FEB: Kerajaan Selangor proaktif membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan perkhidmatan bas percuma walaupun pengangkutan awam adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perkhidmatan bas percuma, Bas Smart Selangor bakal meluaskan operasinya di seluruh daerah di negeri itu menjelang Julai nanti.

basMPAJ 1“Kita sedia maklum kos sara hidup semakin tinggi dan kos pengangkutan juga semakin tinggi.

“Seperti kita maklumkan baru-baru ini, Insha Allah hingga Julai 2016 ini, seluruh daerah di Selangor dapat perkhidmatan Bas Smart Selangor secara percuma untuk rakyat,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Gombak dan DUN Gombak Setia di tapak Up Town Gombak Setia di sini, malam tadi.

Katanya, Kerajaan Negeri sanggup menanggung program Bas Smart Selangor walaupun menyedari program itu menelan perbelanjaan tinggi ia memberi manfaat besar kepada rakyat.

Sementara itu, ketika menyentuh program Rumah Mampu Milik Selangorku, Mohamed Azmin memberitahu Kerajaan Negeri sentiasa memastikan pemaju menyiapkan projek dilancarkan mengikut jadual ditetapkan.

Terdahulu, statistik sehingga November 2015 menunjukkan seramai 452,000 menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor sejak perkhidmatannya mula dilancarkan pada Julai 2015.

Sehingga kini Bas Smart Selangor sudah beroperasi di pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Bas Smart Selangor dilengkapi ciri lengkap kemudahan tempat duduk keutamaan, berkapasiti 60 penumpang, sistem maklumat penumpang, kemudahan Wifi dan mesra orang kelainan upaya (OKU).

EZY

Categories
SELANGOR

452,000 sudah guna bas percuma Smart Selangor

OLEH: NORHAYATI UMOR

AMPANG, 5 JAN: Lebih 452,000 pengguna menggunakan perkhidmatan bas percuma Smart Selangor sejak diperkenalkan Julai 2015.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim berkata statistik itu bermula Julai hingga November 2015.

“Dari statistik yang kita terima, jumlah ini menunjukkan peningkatan setiap bulan sejak dilancarkan. Pada Julai sebanyak 26,709 pengguna dan meningkat kepada 57,246 pengguna pada November,” katanya di Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor, di Ukay Perdana 2, di sini.

basMPAJ 1Chang Khim berkata Kerajaan Negeri turut merancang untuk menambah satu laluan baru di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyediakan perkhidmatan itu.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja membekalkan laluan bas tapi juga rangkaian bas secara menyeluruh di LRT, MRT dan BRT,” katanya.

Tahun ini, penduduk sekitar Ampang dan Kajang bakal menikmati perkhidmatan bas percuma susulan penambahan lapan lagi ‘Bas Smart Selangor’ bermula esok.

Sebelum ini, perkhidmatan bas percuma oleh Kerajaan Negeri dilancarkan pada 1 Julai lalu membabitkan 11 buah bas yang beroperasi di tiga kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan perkhidmatan bas secara percuma bagi meningkatkan keselesaan dan kepentingan rakyat selaras dengan pembangunan pesat dan peningkatan penduduk di Selangor.

Beliau berkata, ia juga satu bentuk usaha sama antara Kerajaan Negeri dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat bas terpilih iaitu Rapid Bus Sdn Bhd.

Semua Bas Smart Selangor mempunyai ciri yang lengkap dengan kemudahan tempat duduk keutamaan, berkapasiti 60 orang penumpang, kemudahan Wifi dan mesra orang kelainan upaya (OKU).

Inisiatif perkhidmatan bas percuma itu bakal diperluaskan ke kawasan luar bandar seperti pentadbiran Majlis Perbandaran Sepang (MPSj), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) secara berperingkat mulai 2016.

EZY

Contohi pembangunan Kampung Bukit Kapar

Muncul sebagai Kampung Tradisi Terbaik Selangor 2015, Kampung Bukit Kapar boleh dijadikan contoh