Categories
SUKANKINI

Gandingan Aaron-Wooi Yik luar biasa

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman menyifatkan pencapaian gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pada kejohanan badminton All England 2019 adalah luar biasa.

Bercakap kepada Bernama, beliau sendiri terkejut dengan prestasi membanggakan dipamerkan pasangan muda negara itu, yang pada awalnya disasarkan hanya mara ke suku akhir.

“Sungguh luar biasa kerana sasaran awal saya hanyalah suku akhir,” katanya.

Pasangan muda itu adalah beregu lelaki pertama mara ke final All England selepas kali terakhir dilakukan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, pada 2011.

Pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung awal pagi ini waktu Malaysia, Aaron-Wooi Yik mengetepikan gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 12-21, 22-20 dan 21-19.

Seperti perlawanan suku akhir, gandingan negara terpaksa berhempas-pulas untuk mengheret perlawanan ke set penentuan apabila mereka tewas di set pertama.

Bangkit di set kedua, Aaron-Wooi Yik seperti mendapat suntikan tonik daripada jurulatih, mengatur serangan demi serangan untuk mempastikan mereka menguasai set kedua 22-20 sebelum menang di set penentuan 21-19.

“Saya hanya minta mereka tetap tenang dan tukar cara serta strategi permainan mereka,” kata jurulatih yang berasal dari Indonesia itu.

Perlawanan akhir dijadualkan bermula pada 8 malam waktu Malaysia. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir All England

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melakar kejutan apabila menyingkirkan gandingan berpengalaman dari China untuk mara ke separuh akhir kejohanan badminton All England 2019 di Birmingham, awal pagi ini.

Turun dengan status pasangan ‘underdog’, Aaron-Wooi Yik tidak dibeban dengan tekanan, malah mempamerkan aksi menyakinkan berdepan Liu Cheng-Zhang Nan, dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Arena Birmingham.

Pada set pertama, Aaron-Wooi Yik tidak jemu melakukan serangan dan bijak mengawal gelanggang sehingga gandingan China seperti buntu mencari mata, sekali gus memberikan kemenangan 21-19 buat pasangan Malaysia.

Pasangan China itu bangkit di set kedua, dengan kemenangan 21-17 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Tersentak dengan kebangkitan Liu Cheng-Zhang Nan di set kedua, pasangan negara kembali konsisten dan meminimum kesilapan yang membolehkan mereka melengkapkan kemenangan di set ketiga 21-12.

Pasangan yang pernah mencipta kejutan mara ke separuh akhir kejohanan dunia edisi 2018 itu bakal berdepan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, pada pertembungan separuh akhir esok.

Sementara itu, jurulatih beregu lelaki negara Paulus Firman memuji anak buahnya yang tidak berputus asa ketika tewas di set kedua, sebaliknya cepat mengawal permainan di set penentuan.

“Mereka bermain bagus dengan strategi yang betul, lebih berinisiatif bermain menyerang dahulu. Hanya di permainan kedua, enam mata terakhir, pertahanan lawan solid susah untuk mematikan lawan, ada sedikit kurang sabar.

“Tapi mereka bagus, permainan mereka boleh kembali cepat di perlawanan yang ketiga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Berkenaan lawan mereka dari Indonesia di separuh akhir esok, Paulus berkata, Aaron-Wooi Yik hanya perlu kekal fokus dan tidak boleh berasa selesa selepas mara ke separuh akhir.

Gandingan muda negara itu perlu terus ‘garang’ ketika di gelanggang walaupun sedar lawan yang ditentang bukan calang-calang.

“Lawan mempunyai ranking lebih tinggi dan juga (pemenang pingat) perak Sukan Asia 2018.

“Esok mereka perlu bermain dengan berani saja, tetap jaga fokus, jangan merasa sudah puas hati sudah masuk separuh akhir. Mereka harus tetap ‘lapar’ mahukan yang lebih,” katanya.

Terdahulu, Fajar-Muhammad Rian yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 mengetepikan satu lagi beregu negara yang kini berstatus profesional Goh V Shem-Tan Wee Kiong 22-20, 21-12 dalam satu lagi perlawanan suku akhir. -BERNAMA