Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berkenan terima raket All England Zii Jia

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima persembahan raket yang dipakai oleh Lee Zii Jia ketika perlawanan akhir All England 2021 di Istana Negara hari ini.

Raket berkenaan digunakan pemain perseorangan lelaki utama negara itu ketika menewaskan juara bertahan dari Denmark Viktor Axelsen pada perlawanan akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham bulan lepas.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyaksikan pingat yang dimenangi Zii Jia serta bulu tangkis pada perlawanan akhir All England selain plak gelaran Terbuka Switzerland 2021 dimenangi beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri jamuan teh bersama pasukan badminton negara ke Kejuaraan All England 2021.

Seri Paduka Baginda berdua disambut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Selain Zii Jia dan gandingan Pearly-Thinaah, turut hadir beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan satu lagi beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Zii Jia, 23, merangkul gelaran sulung All England dengan bergaya selepas mengejutkan pemain di ranking kedua dunia Axelsen dan pemain nombor satu dunia Kento Momota dari Jepun pada perlawanan suku akhir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia kini di kedudukan kelapan pemain perseorangan dunia

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Kedudukan pemain perseorangan badminton negara Lee Zii Jia meningkat dua anak tangga ke tangga kelapan dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas ranking dunia dalam sukan itu dikemas kini pada tengah malam Selasa.

Selepas memperoleh 12,000 mata dalam Kejohanan All England, pemain berusia 22 tahun itu mengumpul 69,389 mata daripada 25 pertandingan disertainya untuk ranking terbaik dalam kerjayanya selepas termasuk dalam kedudukan 10 teratas Mac tahun lepas, menurut laman sesawang rasmi BWF, https://bwfbadminton.com.

Kemenangan di Arena Utilita, Birmingham pada Ahad lepas membantu anak Kedah itu memintas Angus Ng Ka Long dari Hong Kong (69,270 mata) dan Wang Tzu-wei dari Taiwan (63,393 mata).

Zii Jia memenangi Kejohanan All England selepas menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark, 30-29, 20-22, 21-9.

Bintang Jepun Kento Momota kekal nombor satu dunia dengan 109,118 mata daripada 15 kejohanan, termasuk 6,600 mata daripada pertandingan berprestij All England walaupun tewas 16-21 dan 19-21 di tangan Zii Jia dalam perlawanan suku akhir.

Jaguh Denmark Axelsen (98,486) dan Anders Antonsen (94,875) juga kekal dalam kelompok tiga teratas.

Juara beregu wanita dalam Terbuka Switzerland Pearly Tan – M Thinaah juga menokok tiga anak tangga, selepas memperoleh 6,000 mata setelah mara ke suku akhir All England untuk berada ditangga ke-19 dunia dengan 47,015 mata.

Dalam kategori perseorangan wanita, Soniia Cheah (38,931 mata) menurun satu anak tangga ke tangga 33 sementara S Kisona (25,184 mata) naik dua anak tangga untuk berada di ranking ke-60.

Beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga menokok satu anak tangga ke kedudukan ke-11 dunia dengan 62,770 mata.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Misbun rangka modul khas jurulatih lahir pemain dunia

LUMUT, 14 MAC: Satu modul latihan khas disediakan Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek untuk diguna pakai jurulatih negara dalam usaha melahirkan pemain bertaraf dunia.

Beliau berkata formula modul latihan khusus untuk pasukan jurulatih itu digunakannya hingga berjaya melahirkan jaguh seperti Datuk Lee Chong Wei dan beberapa pemain lain yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sekurang-kurangnya sumbangan saya ini boleh memastikan badminton negara mendapat perhatian peminat sukan global,” katanya ketika ditemui di Kejohanan Remaja Terbuka Manjung, dekat sini hari ini.

Bulan lalu, legenda badminton negara itu dipertanggungjawabkan untuk membimbing skuad remaja dan diberi tempoh dua bulan mengemuka cadangan berhubung struktur baharu diperlukannya membabitkan program skuad remaja negara.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir All England

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melakar kejutan apabila menyingkirkan gandingan berpengalaman dari China untuk mara ke separuh akhir kejohanan badminton All England 2019 di Birmingham, awal pagi ini.

Turun dengan status pasangan ‘underdog’, Aaron-Wooi Yik tidak dibeban dengan tekanan, malah mempamerkan aksi menyakinkan berdepan Liu Cheng-Zhang Nan, dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Arena Birmingham.

Pada set pertama, Aaron-Wooi Yik tidak jemu melakukan serangan dan bijak mengawal gelanggang sehingga gandingan China seperti buntu mencari mata, sekali gus memberikan kemenangan 21-19 buat pasangan Malaysia.

Pasangan China itu bangkit di set kedua, dengan kemenangan 21-17 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Tersentak dengan kebangkitan Liu Cheng-Zhang Nan di set kedua, pasangan negara kembali konsisten dan meminimum kesilapan yang membolehkan mereka melengkapkan kemenangan di set ketiga 21-12.

Pasangan yang pernah mencipta kejutan mara ke separuh akhir kejohanan dunia edisi 2018 itu bakal berdepan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, pada pertembungan separuh akhir esok.

Sementara itu, jurulatih beregu lelaki negara Paulus Firman memuji anak buahnya yang tidak berputus asa ketika tewas di set kedua, sebaliknya cepat mengawal permainan di set penentuan.

“Mereka bermain bagus dengan strategi yang betul, lebih berinisiatif bermain menyerang dahulu. Hanya di permainan kedua, enam mata terakhir, pertahanan lawan solid susah untuk mematikan lawan, ada sedikit kurang sabar.

“Tapi mereka bagus, permainan mereka boleh kembali cepat di perlawanan yang ketiga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Berkenaan lawan mereka dari Indonesia di separuh akhir esok, Paulus berkata, Aaron-Wooi Yik hanya perlu kekal fokus dan tidak boleh berasa selesa selepas mara ke separuh akhir.

Gandingan muda negara itu perlu terus ‘garang’ ketika di gelanggang walaupun sedar lawan yang ditentang bukan calang-calang.

“Lawan mempunyai ranking lebih tinggi dan juga (pemenang pingat) perak Sukan Asia 2018.

“Esok mereka perlu bermain dengan berani saja, tetap jaga fokus, jangan merasa sudah puas hati sudah masuk separuh akhir. Mereka harus tetap ‘lapar’ mahukan yang lebih,” katanya.

Terdahulu, Fajar-Muhammad Rian yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 mengetepikan satu lagi beregu negara yang kini berstatus profesional Goh V Shem-Tan Wee Kiong 22-20, 21-12 dalam satu lagi perlawanan suku akhir. -BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Goh-Shevon mara ke suku akhir All England

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Beregu badminton campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya melangkah ke suku akhir kejohanan badminton All England 2019 di Arena Birmingham.

Goh-Shevon mempamerkan semangat juang tinggi meranapkan peluang beregu pilihan ketujuh kejohanan Marcus Ellis-Lauren Smith dari England dengan straight set 21-15, 26-24, menurut laman web kejohanan https://bwfworldtour.bwfbadminton.com.

Pertarungan berlangsung lebih 40 minit itu menyaksikan Goh-Shevon berjaya menutup ruang pencabarnya yang berusaha membawa perlawanan tersebut ke rubber set.

Menanti Goh-Shevon selepas ini lebih sukar kerana pasangan itu akan membuat perhitungan dengan beregu pilihan kedua Wang Yilyu-Huang Dongping dari China.

Naib juara kejohanan badminton dunia 2018 itu mudah mengenepikan Chang Tak Ching-Ng Wing Yung dari Hong Kong, 21-17, 21-11.

Terdahulu, beregu lelaki profesional, Goh V shem-Tan Wee Kiong lebih awal menempah slot ke suku akhir selepas menewaskan beregu Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe 21-18, 21-19.

Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren apabila mudah ditewaskan oleh pemain pilihan kedua kejohanan, Shi Yuqi dari China, 8-21, 10-21.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Kemaraan Chong Wei disekat Lin Dan

OLEH HAFIZAN TAIB

BIRMINGHAM, 17 MAC: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, gagal ke separuh akhir kejohanan badminton Seluruh England apabila tewas kepada musuh tradisinya dari China, Lin Dan, 16 -21 dan 17 – 21.

Dalam perlawanan suku akhir selama 51 minit itu, Chong Wei selaku pilihan kedua tidak berupaya menyaingi cabaran dihadirkan juara lima kali kejohanan itu.

Kegagalan meneruskan kemaraan meranapkan impian Chong Wei bagi mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu dan memburu kejuaraan kelima.

Turut menempuh nasib sama, beregu lelaki negara, Goh V Shem – Tan Wee Kiong yang dikalahkan pasangan Denmark, Mathias Boe – Carsten Mogensen, 20 -22 dan 11 – 21.

Pasangan negara menyaksikan harapan mereka untuk ke separuh akhir dihalang pilihan kedua itu dalam tempoh 43 minit.

Keptutusan dalam dua perlawanan itu menandakan cabaran negara pada kejohanan kali ini sudah berakhir.

 

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Chong Wei ke suku akhir All England

OLEH HAFIZAN TAIB

BIRMINGHAM, 16 MAC: Datuk Lee Chong Wei meneruskan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England apabila mengalahkan Lee Dong Keun dari Korea Selatan, semalam.

Jaguh badminton negara yang juga juara bertahan itu mengatasi cabaran lawannya dalam tiga set 21-6, 13-21 dan 21-18 pada pusingan kedua, di Birmingham Arena.

Walaupun mendapt tentangan sengit daripada Dong Keun hingga mengheret permainan ke set penentuan, namun Chong Wei menggunakan pengalaman dimiliki bagi memastikan kelebihan memihak kepadanya untuk memenangi perlawanan itu.

Menanti Chong Wei di suku akhir ialah seteru lamanya dari China, Lin Dan, yang menewaskan Wang Tzu Wei (Taiwan) 21-13 dan 23-21.

Bagaimanapun, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, gagal meneruskan kemaraan apabila tewas, pada pusingan kedua.

Naib juara Olimpik Rio 2016 itu tewas kepada pasangan China, Zhang Nan-Li Yinhui, 22-24 dan 20-22.