Categories
AGENDA NASIONAL

GM Klang lancar kempen ‘Sokong Tempatan, Beli Tempatan’

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Pusat Pemborong GM Klang melancarkan kempen penghujung tahun bertemakan “Support Local, Shop Local” bermula dari 23 November hingga 23 Disember ini bagi menggalakkan orang ramai membeli-belah barangan perniagaan tempatan.

Penolong Pengurus Komunikasi Korporat dan Hubungan Awamnya Nur Faezah Mohd Arsad berkata matlamat mereka ialah menekankan kepentingan membeli barangan tempatan dan kesan positif ke atas sosioekonomi, selain menjadikan GM Klang menjadi pilihan tunggal yang muncul di minda pengguna apabila memikirkan untuk membeli barangan tempatan.

“Ia juga satu tanda sokongan untuk kempen Beli Barangan Malaysia seperti yang digalakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Selain menyokong pembelian barangan tempatan di GM Klang, kempen itu juga diadakan secara dalam talian untuk kesedaran orang ramai.

Pembeli boleh menyokong perniagaan tempatan dengan menyertai peraduan media sosial GM Klang dalam Facebook atau Instagram dengan langkah mudah seperti memuat naik foto membeli-belah produk tempatan, melengkapkan kapsyen mengapa kempen “Beli Barangan Malaysia” adalah bagus, diikuti dengan menambah tanda pagar #SupportLocalShopLocal dan tag akaun GM Klang,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Nur Faezah berkata 10 pemenang akan dipilih dan menerima baucar berjumlah RM7,000 untuk dibelanjakan di GM Klang bagi membeli jenama dan produk tempatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Lim Seng Kok berkata kempen ini juga akan menggalakkan komuniti GM Klang untuk membeli belah dengan selamat termasuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), menggunakan e-dompet atau e-pembayaran atau menggunakan kaedah penghantaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Perniagaan tempatan ini telah bersama kami dan kami perlu bersama mereka semasa semasa PKPB, terutamanya dalam bulan percutian hujung tahun. Ia mengukuhkan tanggungjawab dan kemampuan kami menyediakan persekitaran membeli-belah yang selamat,” katanya.

-BERNAMA