Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM tahan pembantu tadbir hospital universiti awam salah guna kedudukan

SHAH ALAM, 15 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menahan seorang pembantu tadbir sebuah hospital universiti awam, bagi membantu siasatan berhubung salah guna kedudukan membabitkan pembekalan kelengkapan hospital, dianggarkan bernilai lebih RM300,000.

Menurut sumber, suspek merupakan wanita berumur 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada 2.50 petang tadi, selepas hadir memberi keterangan.

“Suspek telah menyalahgunakan kedudukannya dengan terlibat dalam keputusan memilih syarikatnya sendiri bagi kerja-kerja pembekalan kelengkapan kakitangan sebuah hospital universiti awam, yang dianggarkan berjumlah lebih RM300,000 dari tahun 2017 sehingga 2020,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya lagi, suspek tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok bagi pertuduhan.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor maju didorong kesedaran tinggi rakyat tolak rasuah

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kejayaan Selangor menjadi negeri termaju di Malaysia didorong kesedaran tinggi rakyatnya yang menolak rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Datuk Alias Salim berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya kesedaran rakyat di negeri ini adalah tinggi berbanding negeri lain.

“Selangor merupakan negeri maju yang mempunyai 6.5 juta penduduk serta penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan semua ini tidak akan dicapai jika rasuah berleluasa.

“Kita yakin Selangor akan bertambah maju jika ketelusan dan integriti melibatkan semua peringkat atau sektor terus dipertingkatkan,” katanya berucap pada Majlis Melafazkan dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Alias berkata SPRM memberi tumpuan kepada pembaharuan amalan murni berdasarkan dua prinsip teras iaitu integriti dan tadbir urus yang baik.

“Prinsip integriti dan tadbir urus yang baik digunakan di sektor dikenal pasti iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, undang-undang dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat,” katanya.

Semalam Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru kakitangan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan tidak terlibat dengan rasuah serta perkara yang menimbulkan tohmahan penyelewengan.

Baginda bertitah tindakan segelintir penguat kuasa yang terlibat dalam gejala rasuah mencemarkan reputasi dan imej kerajaan serta pihak berkuasa, selain menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kemampuan penguat kuasa.

Susulan titah tersebut, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berikrar tidak akan mensia-siakan pengiktirafan Juara Bebas Rasuah diterima dari SPRM pada tahun lalu dalam memastikan rekod pencapaian itu tidak lagi tercalar.

Categories
ADN SELANGOR

SPRM sambut baik cadangan Selangor mahu ADN isytihar harta

SHAH ALAM, 18 NOV: Tindakan Selangor mahu setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) mengisytiharkan harta masing-masing untuk menjamin ketelusan dan mengelakkan pembabitan salah guna kuasa oleh wakil rakyat di puji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Alias Salim berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha Kerajaan Negeri itu untuk menjadi sebuah negeri yang telus dan berintegriti walaupun setakat ini belum ada peruntukan mewajibkan semua ADN melakukan perkara itu.

“Tiada peruntukan mewajibkan mereka membuat pengisytiharan harta.

“Bagaimanapun, kita menyambut baik dan mengalu-alukan usaha Kerajaan Negeri supaya Selangor terus menjadi negeri yang telus dan berintegriti,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pegawai-Pegawai Integriti di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri, di Holiday Inn, di sini.

Sebelum ini, Selangor sedia mempertimbangkan saranan SPRM supaya ADN turut mengisyitharkan harta seperti dilakukan Ahli Parlimen, Dato’ Menteri Besar dan EXCO.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan merangka mekanisme dan melakukan perbincangan lanjut berhubung perkara itu kerana keutamaan pengisyitiharan harta sebelum ini tertakluk kepada kuasa eksekutif.

“Kita sedia merangka dan berbincang jika ada keperluan untuk ADN isytihar harta seperti di Parlimen.

“Tetapi sebahagian besar (ADN) tidak terbabit dalam kuasa eksekutif sebab itu keputusan Kerajaan Negeri sebelum ini mengehadkan kita isytihar harta pada EXCO,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bendung gejala rasuah, Selangor terus ke hadapan

SHAH ALAM, 18 NOV: Integriti dalam kalangan penjawat awam di Selangor terus diperkasakan bagi membendung gejala rasuah, sekali gus memantapkan tadbir urus yang telus.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Dato’ Alias Salim berkata, usaha berterusan Kerajaan Negeri yang berkolaborasi dengan pihaknya dalam pelbagai program wajar dipuji.

“Kita merancang untuk mengadakan pelbagai program dengan kerjasama dari pelbagai jabatan supaya ketirisan dan juga tahap integriti penjawat awam sentiasa tinggi.

“Selangor beri kerjasama bagus mengumpul kakitangan awam bukan sahaja pihak berkuasa tempatan tetapi juga anak-anak syarikatnya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pegawai-Pegawai Integriti di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri, di Holiday Inn, di sini.

Mengulas penganjuran program berkenaan, Alias berkata, program yang diadakan itu dapat memberi impak kepada kakitangan apabila kembali bekerja.

“Mereka dapat praktikkan di tempat kerja selain program ini dapat memberi impak besar kepada Kerajaan Negeri.

“Peranan ketua unit juga perlu bagi memastikan mereka menjalankan enam teras penting dalam merangka program dan meningkatkan keyakinan masyarakt terhadap penjawat awam dan pada kakintgan kerajaan peringkat negeri,” katanya.

Pada konvensyen itu, kira-kira 500 penjawat awam menghadiri bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.