Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM tahan pembantu tadbir hospital universiti awam salah guna kedudukan

SHAH ALAM, 15 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menahan seorang pembantu tadbir sebuah hospital universiti awam, bagi membantu siasatan berhubung salah guna kedudukan membabitkan pembekalan kelengkapan hospital, dianggarkan bernilai lebih RM300,000.

Menurut sumber, suspek merupakan wanita berumur 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada 2.50 petang tadi, selepas hadir memberi keterangan.

“Suspek telah menyalahgunakan kedudukannya dengan terlibat dalam keputusan memilih syarikatnya sendiri bagi kerja-kerja pembekalan kelengkapan kakitangan sebuah hospital universiti awam, yang dianggarkan berjumlah lebih RM300,000 dari tahun 2017 sehingga 2020,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya lagi, suspek tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok bagi pertuduhan.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

JKNS tawar jawatan pembantu tadbir kontrak program vaksin

SHAH ALAM, 17 APRIL: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menawarkan jawatan kosong kontrak sebagai pembantu tadbir (N19) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Jabatan menjelaskan tawaran tersebut terbuka kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas di bawah Program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) bagi 2021.

“Pemohon mestilah berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan setaraf dengannya oleh kerajaan dengan tawaran gaji RM1,600 sebulan.

“Tempoh kontrak sehingga 31 Disember 2021 dan akan di tempatkan di JKNS,” katanya menerusi hebahan di Facebook.

Tambahnya, individu yang layak boleh mengemukakan resume beserta gambar berwarna dan salinan sijil berkaitan ke e-emel [email protected] pada atau sebelum 23 April jam 2 petang.