Categories
NASIONAL

2 lelaki ugut bom di Sri Pentas direman

PETALING JAYA 30 OGOS: Dua lelaki yang dipercayai membuat panggilan palsu berhubung ancaman bom di Sri Pentas, di sini kelmarin direman empat hari bermula hari ini.

BH ONLINE melaporkan, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Ahad ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia lingkungan 40-an.

Siasatan terhadap kedua-lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sembilan tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua lelaki yang memakai baju lokap jingga tiba di mahkamah pada jam 11.25 pagi dan mereka yang diiiringi anggota polis keluar dari bilik reman kira-kira 30 minit kemudian.

Semalam, polis menahan dua lelaki kira-kira jam 8.20 malam di Temerloh, Pahang kerana dipercayai terbabit dalam panggilan bom palsu itu.

Pada 28 Ogos lalu, bangunan Sri Pentas terpaksa dikosongkan selepas pihak pengurusannya menerima panggilan palsu terdapat bom di dalam premis itu.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara Utama dihantar ke lokasi kejadian.

SUMBER: BH ONLINE

Categories
SELANGOR

Ancaman bom di bangunan Sri Pentas palsu

PETALING JAYA, 29 OGOS: Bangunan Sri Pentas di Bandar Utama di sini, dikosongkan malam tadi susulan panggilan ancaman bom namun pihak polis mengesahkan tiada objek mencurigakan ditemui.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata ,pihaknya menerima panggilan mengenai ancaman bom berkenaan pada 10.12 malam daripada seorang lelaki.

Berikutan itu, sepasukan unit bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dikejarkan ke lokasi.

“Tindakan polis mengarahkan kesemua staf keluar dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek yang mencurigakan ditemui. Ini hanyalah panggilan palsu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Zani berkata kesemua kakitangan di Sri Pentas dibenarkan masuk kembali ke bangunan itu pada kira-kira 1.30 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

SUMBER: BERNAMA