Categories
NASIONAL

Anwar Akan Berundur Jika Gagal Takluk Putrajaya Pada PRU 13

SHAH ALAM 18 OGOS : Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi laluan kepada barisan pimpinan generasi kedua Pakatan Rakyat sekiranya gabungan itu gagal menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum (PRU) 13.

“Saya yakin dan positif dengan perubahan dan kesedaran rakyat akhir-akhir ini akan memberi kita laluan ke Putrajaya tetapi apa pun kita tawakal pada Allah.

“Jika gagal kita akan berikan kepercayaan kepada barisan pimpinan kedua Keadilan, PAS dan DAP yang dilihat lebih matang serta berwibawa untuk teruskan usaha kita,” jelasnya yang juga Ketua Umum PKR.

Beliau berkata demikian di dalam sesi soal jawab program ?Borak Bersama Anwar? yang disiarkan secara langsung selama sejam melalui portal video web ?You Tube? malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau juga berkata kemungkinan akan kembali ke kampus atas pelawaan beberapa universiti luar negara untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pensyarah sekiranya gagal mendapat mandat pada PRU akan datang.

“Saya juga pasti akan aktif dalam kerja-kerja masyarakat, dakwah dan wacana ilmu,” tambahnya.

Walabagaimanapun, sekiranya Pakatan berjaya memerintah negara pada tahun depan, Anwar berkata beliau tidak akan menduduki kediaman rasmi Perdana Menteri ?Sri Perdana? di Putrajaya.

Respon itu kepada soalan daripada seorang penonton program yang mendakwa kos menduduki Sri Perdana boleh mencecah RM 160,000 sebulan.

“Saya memilih untuk tinggal di tempat yang saya biasa dan selesa iaitu di Segambut, lebih tepat lagi Segambut Dalam,” katanya ringkas.

Program Interaktif yang dikendalikan oleh Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman dan disiarkan selama sejam itu merupakan satu-satunya program ?Google Hangout? yang melibatkan ahli politik Asia Tenggara.

Antara pemimpin dunia lain yang pernah ditampilkan dalam program sama adalah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.