Categories
AGENDA NASIONAL

KVUM gesa syarikat baharu jaga kebajikan pekerja, staf VSS Utusan

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM) hari ini menggesa pengurusan baharu Utusan Melayu (M) Bhd, Aurora Mulia Sdn Bhd memberi tumpuan terhadap lima perkara bagi memastikan kebajikan 862 petugas terbela selepas pemberhentian operasi syarikat itu pada 9 Oktober lepas.

Presiden KVUM, Tan Sri Khalid Yunus berkata, soal gaji serta pampasan dan bayaran tertunggak Skim Pemisahan Sukarela (VSS), di samping faedah perkhidmatan seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuk bayaran ganjaran gratuiti yang tidak dibayar sejak tahun lepas, perlu diberikan keutamaan pengurusan baharu itu.

Selain itu, katanya, mereka meminta pengurusan baharu yang mengambil alih lesen penerbitan akhbar milik Utusan Melayu itu mengutamakan bekas kakitangan akhbar itu sekiranya mahu memulakan penerbitan baharu.

Beliau berkata, mereka turut meminta UHY Advisory (KL) Sdn Bhd, syarikat pelikuidasi interim yang dilantik, membenarkan peguam bagi pihak Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Melayu dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (KKPA) cawangan Utusan memantau penjualan aset untuk tujuan membayar hutang.

“Ini bagi mengelak sebarang penyelewengan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Khalid berkata, KVUM turut menggesa Kementerian Sumber Manusia meneliti sama ada tindakan pemberhentian operasi dilakukan syarikat sebelum ini mengikut lunas-lunas peruntukan Akta Pekerjaan 1955 atau sebarang akta berkaitan sedia ada, kerana bimbang syarikat lain akan melakukan perkara sama bagi menyelesaikan masalah hutang syarikat.

Minggu lepas, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir mengeluarkan memorandum pekeliling mengenai pemberhentian operasi syarikat itu berkuat kuasa 9 Oktober manakala tarikh akhir perkhidmatan pada 31 Oktober ini.

NUJ Cawangan Utusan Melayu pula dilapor berkata, bangunan Ibu Pejabat Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! di Chan Sow Lin disita dan tidak boleh lagi beroperasi manakala pihak pelikuidasi memberi masa dua hari untuk mengemas keperluan dan kakitangan dicutikan sehingga 30 Oktober.

Pihak pengurusan bersetuju untuk membayar tunggakan gaji bagi bulan September dan Oktober selepas kali terakhir membayar tunggakan gaji bagi bulan Julai dan Ogos pada 4 Oktober lepas, manakala taklimat kakitangan bersama pelikuidasi akan diadakan pada 30 Oktober ini.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaafar berpendapat keputusan untuk memberhentikan operasi bukanlah penyelesaian terbaik.

“Orang yang mengambil alih Utusan sudah tentu tahu keadaan industri akhbar ketika ini, mereka mempunyai pengetahuan dalam bidang korporat serta terbabit dengan soal pembelian syarikat dan menjadikan sesebuah syarikat yang tidak menguntungkan kepada yang menguntungkan.

“Kenapa tidak gunakan model yang sama. Sekiranya anda mahu menyelamatkan jenama, maka selamatkan juga syarikat itu. Kami tidak mahu ini menjadi duluan…bagaimana dengan nasib bekas kakitangan ?, “ katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan baharu ambil sebahagian staf Utusan bekerja semula – PM

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Sesetengah petugas Utusan Melayu (Malaysia) Berhad akan diambil semula bekerja di bawah pengurusan baharu Utusan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Utusan akan diuruskan oleh sebuah syarikat baharu. Mengenai petugas yang terlibat, sesetengah mereka akan diambil semula bekerja di bawah Utusan baharu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran solusi bumbung solar pertama oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di negara ini dikenali sebagai M+ oleh PETRONAS.

Dr Mahathir ditanya mengenai akhbar Melayu tertua di negara ini, Utusan Malaysia, yang dihentikan penerbitannya sejak semalam dengan para petugasnya diberitahu agar mengemas barang masing-masing dan meninggalkan pejabat dalam notis yang singkat.

Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir semalam mengeluarkan memorandum yang menyebut syarikat berkenaan akan dihentikan operasi pada 9 Oktober manakala hari terakhir perkhidmatan kepada pekerja ialah 31 Oktober.

Abd Aziz berkata, Lembaga Pengarah Utusan meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim pada 7 Oktober kerana syarikat berkenaan tidak lagi boleh meneruskan perniagaannya.

Penutupan ke atas Utusan, yang ditubuhkan 80 tahun yang lepas, selepas Aurora Mulia Sdn Bhd – sebuah syarikat dikaitkan dengan taikon perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary, memperoleh pemilikan 70 peratus daripada anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu, Mohd Taufek Razak menggesa syarikat itu membayar pampasan dan gaji pekerja tertunggak susulan menamatkan perkhidmatan mereka.

Beliau berkata, keputusan syarikat yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! memberhentikan operasi berkuat kuasa semalam menyebabkan kebanyakan pekerjanya mengalami kesempitan hidup.

“Kami mahu pihak syarikat bukan sahaja membayar pampasan kepada semua pekerja tetapi juga membayar faedah perkhidmatan lain seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuklah bayaran ganjaran gratuiti, yang tidak dibayar sejak tahun lepas.

“Kami juga mahu syarikat membayar gaji pekerja yang tertunggak selama dua bulan iaitu September dan Oktober. Itu adalah harapan besar kami, apatah lagi dengan keadaan kami yang tiada kerja, apa yang jadi harapan kami adalah duit sebab nak teruskan hidup,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Taufek berkata, satu taklimat kepada semua kakitangan daripada pihak pelikuidasi dijadual diadakan pada 30 Oktober.

“Jadi, buat masa ini, kami semua sedang dalam tempoh bertenang selain menunggu apakah keputusan akhir yang akan dibuat oleh pengurusan lama pada 30 Oktober ini,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Taufek meletakkan harapan tinggi agar akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! dapat diterbitkan semula selain berharap pengurusan baharu, Aurora Mulia Sdn Bhd dapat mengekalkan kesemua 862 kakitangan syarikat itu.

– BERNAMA