Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah keluar waran tangkap terhadap pengasas Sugarbook

SHAH ALAM, 26 MAC: Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas aplikasi Sugarbook, Chan Eu Boon, 34, kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes dan penyerahan dokumen hari ini tanpa sebarang sebab.

Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari, setelah Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asnaf Anuar Sharuddin memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh.

“Tertuduh (Chan), peguam bela serta penjamin tidak hadir dan saya memohon agar waran tangkap dikeluarkan,” kata Aliff Asnaf.

Mahkamah menetapkan 15 Mei depan sebagai sebutan waran tangkap tersebut dan untuk tertuduh menyatakan sebab tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pada 24 Februari lepas, Chan didakwa melakukan kesalahan menyiarkan hantaran menyebabkan ketakutan dan kegentaran orang awam dengan menggunakan sebuah laman web bagi menyiarkan satu hantaran bertajuk ‘Top 10 sugar baby universiti in Malaysia’, pada kira-kira 10 pagi, 10 Februari lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Mahkamah: Pengasas Sugarbook direman tujuh hari

SHAH ALAM, 19 FEB: Pengasas aplikasi Sugarbook direman selama tujuh hari bermula semalam selepas Mahkamah Tinggi membenarkan semakan permohonan yang dikemukakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor Muhamad Iskandar Ahmad.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin mengeluarkan perintah itu selepas usahawan berusia 34 tahun itu tidak membantah dan setuju untuk direman bagi membantu siasatan kes berkenaan dibawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam permohonan reman terhadap individu berkenaan ditolak oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noorasyikin Sahat selepas individu itu memberi aku janji untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

Individu itu yang diwakili peguam T. Shashi Devan dalam hujahnya berkata anak guamnya tidak membantah semakan permohonan berkenaan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan.

“Anak guam kami juga berpendapat ia merupakan platform yang baik untuk dia menyalurkan maklumat yang diperlukan agar siasatan dapat dijalankan dengan cepat dan lengkap,” katanya.

Tambah Shashi Devan, beliau memohon agar mahkamah memberi pertimbangan agar pihak polis tidak menggari tangan anak guamnya ke belakang berikutan anak guamnya pernah mengalami kecederaan di bahagian bahu.

Permohonan berkenaan kemudian mendapat perhatian Noorin yang kemudian memohon agar pihak polis memberi perhatian terhadap permintaan tersebut.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Shukor Abu Bakar manakala dua lagi peguam individu itu ialah Foong Cheng Leong dan Low Li Qun.

Terdahulu pengasas laman sesawang dan aplikasi pencarian teman berkenaan ditahan di ibu negara pada 4.30 petang, 17 Feb.

– BERNAMA