Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah keluar waran tangkap terhadap pengasas Sugarbook

SHAH ALAM, 26 MAC: Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas aplikasi Sugarbook, Chan Eu Boon, 34, kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes dan penyerahan dokumen hari ini tanpa sebarang sebab.

Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari, setelah Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asnaf Anuar Sharuddin memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh.

“Tertuduh (Chan), peguam bela serta penjamin tidak hadir dan saya memohon agar waran tangkap dikeluarkan,” kata Aliff Asnaf.

Mahkamah menetapkan 15 Mei depan sebagai sebutan waran tangkap tersebut dan untuk tertuduh menyatakan sebab tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pada 24 Februari lepas, Chan didakwa melakukan kesalahan menyiarkan hantaran menyebabkan ketakutan dan kegentaran orang awam dengan menggunakan sebuah laman web bagi menyiarkan satu hantaran bertajuk ‘Top 10 sugar baby universiti in Malaysia’, pada kira-kira 10 pagi, 10 Februari lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki didakwa memandu dalam keadaan mabuk sebabkan kematian

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Seorang pembantu kedai aksesori kereta yang videonya tular di media sosial apabila merempuh seorang penghantar makanan awal pagi ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

Khor Yong Zhang, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Dia didakwa memandu sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan iaitu 161 mg sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Mohamed Zaili Mohamed, 44, di Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Tun Razak di sini, pada 1.30 pagi tadi.

Dia yang memakai baju-T merah didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000 serta penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Insp Abdullah Khazali menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kerana mangsa dalam kejadian itu diseret tiga meter dan maut di tempat kejadian.

Tertuduh yang diwakili peguam Khairul Amin Abdullah memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya masih muda dan bukan berasal daripada keluarga yang berada.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 1 Julai untuk sebutan semula kes.

Pagi ini media melaporkan pemandu mabuk merempuh seorang penunggang motosikal sehingga maut ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya di Lebuhraya Sultan Iskandar, di sini, awal pagi tadi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua didakwa pandu berbahaya sebabkan kanak-kanak tercampak

REMBAU, 18 FEB: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak keluar daripada kenderaan, di tengah lebuh raya, awal bulan ini.

Tertuduh, Nabil Hariz Jefridin, 23, dan B. Thayalan, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memandu kereta masing-masing secara berbahaya kepada orang awam di laluan Ayer Keroh ke Senawang, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada 3.21 petang, 10 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ummi Amyra Natasha Azhar menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh bagaimanapun peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil yang mewakili Nabil Hariz memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang pelajar universiti dan tidak mempunyai pendapatan.

Thayalan yang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan itu.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan yang dinaiki bersama keluarga yang hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan, dalam kejadian di Lebuhraya PLUS berhampiran Senawang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan MPS tipu pegawai LHDN dijel setahun

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menipu seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung pembelian sebuah rumah di Rawang.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap S. R. Kavitha, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah memerintahkan Kavitha menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 11 Sept 2019.

Wanita itu didakwa memperdaya P. Loggeta, 29, sehingga mendorongnya menyerahkan wang RM1,900 kepada tertuduh, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada Ogos 2018 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Ceroboh masuk rumah ibu Najib, lelaki dipenjara seminggu, denda RM1,500

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Akibat menceroboh masuk rumah milik ibu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Khamis lepas, seorang lelaki dihukum penjara seminggu dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Nur Akmal Azisham, 21, selepas dia mengaku bersalah melakukan pencerobohan dengan memasuki ke dalam rumah Tun Rahah Tan Sri Mohd Noah di Jalan Eaton, Off Jalan Tun Razak, di sini pada 9.46 malam, 15 Ogos lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 15 Ogos lepas dan penjara tiga bulan, sekiranya dia gagal membayar denda.

Dia dituduh mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Ketika ditanya Majistret Mohamad Aizat mengapa menceroboh masuk ke rumah itu, Muhammad Nur Akmal berkata, dia tidak tahu dan tidak ingat.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syakirin Yaccob memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama, bagaimanapun Muhammad Nur Akmal yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan atas alasan dia masih bujang.

Tertuduh akan menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Majistret Bebaskan Tian, Haris dan Tamrin

tian pix

SHAH ALAM, 24 MEI : Mahkamah Majistret hari ini menetapkan untuk membebaskan Naib Presiden PKR, Tian Chua bersama dua aktivis politik, Haris Ibrahim dan Datuk Tamrin Abdul Ghafar daripada tahanan polis.

Ia susulan tindakan Majistret Norashikin Sahat menolak permohonan polis untuk menahan mereka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Perkara itu disahkan peguam, R.Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang ketika dihubungi TV Selangor.

“Benar ketiga-tiga mereka dibebaskan apabila Majistret mendapati tiada asas atau bukti kukuh berhubung permohonan reman oleh pihak polis.

“Polis memohon untuk menahan mereka selama tujuh hari bagi tujuan siasatan, akhirnya lepas mendengar hujahan daripada peguam, mahkamah mendapati ia tidak berasas (penahan) dan membebaskan mereka serta-merta,” katanya.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan daripada tahanan polis kira-kira pukul 3.15 petang tadi.

Berita pembebasan mereka juga turut tersebar luas di laman media sosial.

Ketiga-tiga mereka ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 semalam di tiga lokasi berasingan sebelum dimasukkan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur Balai Polis Jinjang sekitar jam 5 petang.

Tian Chua telah ditahan di LCCT pada pukul 12.30 tengah hari semalam semasa menunggu pesawat untuk ke Kuala Terengganu.

Sementara Haris, aktivis pergerakan Asal Bukan Umno (ABU) ditahan pada waktu sama semasa sedang makan tengahari di Segambut sejurus memberikan sokongan kepada Adam Adli di mahkamah.

Manakala anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, Tamrin ditahan ketika sedang makan di Bangsar.