Categories
NASIONAL

Perbuatan Sabotaj Cuba Pecah Belah PR Pelabuhan Klang

Perbuatan Sabotaj 01

SHAH ALAM, 12 APRIL : Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Suhaimi Mohd Nor menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau merupakan individu bertanggungjawab mengarah atau memasang kain rentang berunsur provakasi di sekitar pelabuhan Klang.

Kain rentang itu antara lain menyatakan dengan jelas dan terbuka sokongan terhadapnya selain menolak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai calon yang bakal diketengahkan PKR untuk DUN tersebut.

Menyifatkan perbuatan itu sebagai satu sabotaj, Suhaimi juga tidak menolak kemungkinan ia merupakan perbuatan sabotaj untuk memecah belahkan barisan kepimpinan PKR Selangor.

“Mereka memang tahu hari ini (Jumaat), rombongan Menteri Besar akan berkunjung ke Klang, maka banyaklah ‘banner’ itu dipasang.

“Semestinya ia bukan perbuatan pihak saya, ia pihak lain yang pastinya tidak bertanggungjawab,” jelas beliau sambil enggan mengaitkan mana-mana parti politik atau individu.

Sehubungan itu, Suhaimi akan membuat laporan polis berhubung perbuatan sabotaj tersebut di samping mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Kita akan serahkan pada pihak polis untuk jalankan siasatan serta tindakan lanjut mengikut saluran undang-undang.

“Saya tidak menolak kemungkinan ia didalangi pihak yang mempunyai sumber kewangan kukuh memandangkan kos (membuat kain rentang) bukanlah kecil,” ujarnya lagi ketika dihubungi TVSelangor.

Sebelum ini, terdapat ura-ura kononnya Abdul Khalid disenarai pendek sebagai antara empat calon PKR bagi kerusi DUN Pelabuhan Klang pada Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13).