Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Enam kawasan Kedah, Perak tahap berjaga-jaga gelombang haba

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Enam kawasan di Kedah dan Perak merekodkan tahap satu (berjaga-jaga) dengan suhu harian diramal mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Menurut data status gelombang haba Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dikemas kini setakat 4.30 petang ini, kawasan terlibat ialah Baling dan Kuala Muda di Kedah serta Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang dan Hilir Perak di Perak.

Sementara suhu maksimum bagi kawasan lain termasuk di Sabah dan Sarawak masih berada dalam pemantauan dan hanya mengalami suhu maksimum kurang daripada 35 darjah Celsius.

Sesuatu kawasan dikategorikan mengalami tahap dua (gelombang haba) apabila suhu maksimum harian direkodkan melebihi 39 hingga 40 darjah Celsius, manakala tahap tiga (kecemasan) apabila suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

– BERNAMA

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Petaling dilanda suhu panas tahap berjaga-jaga

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 APR: Petaling dilanda suhu panas pada tahap berjaga-jaga dengan catatan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 celcius, sejak semalam.

Kemas kini status gelombang haba yang dimuat naik laman sesawang Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan, selain kawasan itu, 19 lokasi lain turut mengalami keadaan sama.

Kawasan yang disenaraikan ialah Chuping, Kuala Muda dan Sik di Kedah, Kuala Terengganu (Terengganu), Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan.

Sementara itu hampir kesemua daerah di Kelantan dan Pahang mencatatkan suhu maksimum berjaga-jaga.

Ia termasuk Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Pekan, Rompin, Jerantut, Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Bagi kawasan yang tidak berada di tahap satu, suhu harian maksimum di bawah 35 celcius.