Categories
SELANGOR

SUKMA Sarawak: Skuad Aperintis optimis pamer aksi cemerlang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 JUN : Skuad Aperintis di bawah program pembangunan sukan Majlis Sukan Negeri (MSN) dijangka mampu mempamerkan persembahan cemerlang kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, 22 hingga 31 Julai ini.

Pengarah Eksekutif MSN, Zubir Idrus, berkata pihaknya optimis atlet di bawah skim berkenaan boleh menyumbang Emas lebih banyak berdasarkan latihan dan persediaan atlet.

Zubir Idrus“Skim aperintis adalah program pembangunan atlet kita yang mendapat Emas pada SUKMA lalu dan mereka masih boleh bertanding untuk kejohanan kali ini.

“Dengan perolehan Emas lalu, kita jangka mereka berjaya sekali lagi mengekalkan Emas mereka berdasarkan pengalaman dan latihan insentif dijalankan.

“Namun kita masih ada strategi lain. Sepanjang proses latihan, atlet baru yang menonjol juga diyakini mampu mendapat (Emas) lebih daripada sasaran itu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Ramadan bersama Mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL), di Dewan Kediaman Exco Kerajaan Negeri, semalam.

Kontinjen Selangor mensasarkan 48 jumlah kutipan Emas pada temasya SUKMA Sarawak dengan penyertaan 407 atlet.

SUKMA SARAWAKAtlet renang dijangka mampu meraih kutipan Emas tertinggi kotinjen Selangor dengan sasaran tujuh Emas.

Dalam perkembangan sama, pasukan Karate Do bakal memulakan siri kempen memburu Emas pertama Selangor sebelum memulakan aksi pertamanya 16 Julai ini.

Kontijen Selangor beraksi cemerlang dalam kejohanan terdahulu apabila muncul juara lapan kali, namun agak merosot dalam edisi terakhir apabila sekadar menduduki tempat keempat.

Edisi terdahulu menyaksikan Wilayah Persekutuan muncul juara keseluruhan SUKMA Perlis 2014 dengan 55 pingat emas, 38 perak dan 49 gangsa.

-nR-

Categories
SELANGOR

Sukma Sarawak 2016: MBSA bapa angkat atlet Selangor

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dilantik menjadi bapa angkat beberapa acara sukan untuk kontinjen Selangor ke kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun ini.

Selaku salah satu pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, MBSA diamanahkan Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menggalas tanggungjawab itu bagi acara Akuatik (Renang Berirama, Polo, Air Terjun dan Renang) dan Bola Tampar (Lelaki dan Wanita).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas kepercayaan diberikan kepada MBSA dalam menggalas tanggungjawab berkenaan.

MBSA SUKMA“Terima kasih kerana memberi peluang kepada MBSA untuk bersama memberi sokongan dan dorongan kepada atlet Selangor yang bertanfing di Sukma sarawak memlalui program sukan angkat.

“InshaaAllah kita akan cuba membantu mengikut keperluan dan kemampuan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Sukan Angkat Bersama Datuk Bandar Sempena Sukma Sarawak 2016 di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, MBSA menyerahkan sumbangan berupa peralatan sukan iaitu kemeja-t, beg galas dan wang tunai sebanyak RM100 seorang kepada atlet Selangor ke Sukma Sarawak 2016 yang berlangsung pada 22 hingga 31 Julai depan.

MBSA SUKMA 1Seramai 74 anggota iaitu pengurus dan atlet terbabit dalam program sukan angkat bersama MBSA iaitu 32 bagi Bola Tampar dan 42 (Akuatik).

Selaku bapa angkat kepada sukan itu, MBSA akan membantu dan memberi kerjasama dari segi kemudahan logistik semasa latihan, persediaan kejohanan dan semasa kejohanan berlangsung.

PBT itu juga membantu menyediakan tempat latihan sesuai, pengangkutan, peralatan sukan berkaitan dan sumbangan wang tunai serta keperluan lain kepada atlit, pengurus dan jurulatih.

-nR-