Categories
BERITA UTAMA

SUKANUN 2019: Ketengah bakat atlet ke peringkat lebih tinggi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 JULAI: Karnival Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) menjadi landasan terbaik untuk kakitangan dan ahli Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM) menilai bakat bagi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dengan semangat kesukanan yang tinggi, ia juga akan menjadi asas bagi meningkatkan keharmonian dalam kalangan atlet, selaras dasar sukan negara untuk membentuk masyarakat aktif, sihat dan cergas.

“Bermula pada peringkat ini, atlet yang berbakat hendaklah diketengahkan dan diberi pendedahan latihan serta penyertaan di dalam kejohanan di peringkat lebih tinggi.

“Saya berharap kejohanan ini akan dapat melahirkan jaguh pelapis yang mampu menyumbang ke arah kecemerlangan sukan negara pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian SUKANUN 2019 di Stadium UiTM Kampus Shah Alam, malam tadi.

Amirudin berkata, penganjuran karnival sukan itu juga membuka peluang kepada sektor pelancongan dan Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan pada setiap program sukan baik di peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa.

SUKANUN 2019 anjuran PBBM dengan kerjasama UiTM, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Subang Jaya bermula 19 hingga 26 Julai ini.

Sukan dwitahunan itu mempertandingkan 23 acara Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka dan Veteran; Bola Jaring; Badminton Berpasukan; Olahraga, Futsal dan Ping-pong Berpasukan.

Berlangsung di Shah Alam, Subang Jaya dan Klang, acara perasmian SUKANUN edisi ke-11 dimulakan dengan Perbarisan Lintas Hormat semua 63 agensi kerajaan di bawah PBBM yang bertanding.

Sempena upcara pembukaan dan nyalaan obor kejohanan, Tourism Malaysia memenangi Perbarisan Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM1,000 serta hamper sumbangan Nestle.

Categories
SELANGOR

MBPJ yakin cipta kejuaraan SUKANUN, SUKSES 2019

PETALING JAYA, 16 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melaungkan keyakinan untuk menjadi juara keseluruhan Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) 2019 yang bakal membuka tirai, pada 19 Julai ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, sasaran itu diletakkan selepas pihaknya berjaya meraih gelaran naib juara dengan merangkul tiga emas dan tiga gangsa membabitkan pungutan 73 mata, pada edisi terdahulu.

Katanya, MBPJ juga optimis mampu mempertahankan pingat emas diraih sebelum ini, sekali gus menambahkan koleksi kilauan pingat emas bagi lain-lain acara yang disertai.

“Berdasarkan kepada persiapan, latihan dan kemudahan diberikan saya percaya kita mampu merealisasikan sasaran berkenaan.

“Kecemerlangan bukan mudah untuk dikecapi tetapi keazaman untuk berjaya perlu membara dalam jiwa setiap atlet,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bendera Kejohanan SUKANUN dan Sukan Selangor (SUKSES) 2019, di Kompleks Sukan Arena, Jalan Selangor, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Sayuthi berkata, bagi kejohanan SUKSES, Majlis Sukan Daerah (MSD) Petaling menyasarkan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak sukan itu diperkenalkan lagi.

“Di kejohanan SUKSES ke-12 lalu, kontinjen MSD Petaling menjadi juara dengan meraih 45 pingat emas, 25 pingat perak dan 39 pingat gangsa meninggalkan kontinjen Klang serta Hulu Langat.

“Saya berharap sasaran pingat ditetapkan dapat dicapai di kedua-dua kejohanan ini, khususnya mengekalkan pingat emas yang kita menangi di kejohanan lalu,” katanya.

Seramai 250 orang termasuk atlet, urusetia dan pegawai Pihak Berkuasa Tempatan terbabit akan dihantar dalam kejohanan dwitahunan yang menyaksikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) selaku tuan rumah.

Sebanyak 17 acara sukan daripada jumlah keseluruhan 22 acara dipertandingkan akan disertai barisan atlet MBPJ antaranya bola sepak, bola jaring, badminton, tenis, golf, catur dan bola tampar.

Acara lain termasuk tenpin boling, futsal, dart berpasukan, karom, sepak takraw, golf VIP dan olahraga.

SUKANUN dijadual berlangsung mulai 19 hingga 26 Julai, manakala SUKSES membabitkan dua sesi iaitu sesi pertama (22-25 Julai) dan sesi kedua (5-10 Ogos).

Categories
PBT SELANGOR

SUKANUN: MBSA rangkul 2 emas, 1 perak

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya merangkul dua emas dan satu perak, sekali gus meraih tempat kelima dalam aksi Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) 2017, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pingat emas diraih menerusi acara Bola Tampar lelaki dan Sepak Takraw Beregu. sementara perak dikutip menerusi acara Dart Berpasukan.

“Penyertaan MBSA di SUKANUN 2017 adalah salah satu usaha menggalakkan dan membudayakan kakitangan supaya bergiat aktif dalam sukan,” katanya dalam kenyataan.

SUKANUN 2017 berlangsung di Bandaraya Melaka, pada 21 Julai hingga 27 Julai lalu membabitkan 19 acara.

MBSA mengambil bahagian di dalam sembilan acara iaitu Bola Sepak 9 Sepasukan Terbuka, Bola Sepak 9 Sepasukan Veteran, Sepak Takraw antara Regu, Futsal Lelaki, Tenpin Boling Berpasukan Lelaki, Tenpin Boling Berpasukan Wanita, Bola Tampar Lelaki, Dart Berpasukan dan Golf Berpasukan.

Kontinjen MBSA turut disertai 117 kakitangan dan diketuai Timbalan Datuk Bandar, Shukri Mohamad Hamin.

Kontinjen Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) muncul juara keseluruhan SUKANUN 2017, naib juara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sementara Universiti Teknologi MARA (UiTM) di tempat ketiga.

20294355_10207074655304169_6784391270980787463_n 20374548_10207093894625140_1128139306394123580_n (2) 20374614_10207093900105277_5891708996495729331_n (1) PASUKAN MBSA MENANG PINGAT EMAS ACARA SEPAK TAKRAW BERGU PASUKAN MBSA MENANG PINGAT EMAS ACARA BOLA TAMPAR