Categories
NASIONAL

SUKMA 2020: RM142 juta bangun infrastruktur

JOHOR BAHRU, 15 JUN: Suntikan dana sebanyak RM142 juta yang diberikan kerajaan pusat kepada Johor untuk penganjuran Sukan Malaysia 2020 (SUKMA 2020) akan digunakan untuk pembangunan infrastruktur yang sedang dinaik taraf dan dibina baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata antara infrastruktur yang dinaik taraf itu ialah pusat akuatik manakala yang dibina baharu termasuk stadium olahraga dan velodrom.

“Semua venue ini mengikut jadual. Ada yang sudah 80 peratus siap dan ada yang masih dalam pembinaan. Cuma untuk Sukma ini, kita kena pastikan bahawa segala bentuk infra siap sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum berlangsungnya acara kerana kita akan ada buat ujian dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sheikh Umar ditemui pada Program Kasih Amal Raya 2019 anjuran Reaching Heart and Finish Association Singapore dengan kerjasama Politeknik Mersing Johor (PMJ) di Kolej Vokasional (ERT) Azizah.

Semalam, penyaluran dana sebanyak RM142 juta itu diumumkan oleh Sheikh Umar sendiri melalui satu kenyataan media selepas peruntukannya diluluskan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Sebelum ini, beberapa surat dan pertemuan diutus dan diadakan bagi mendapatkan suntikan dana berkenaan dan kita telah nyatakan apakah bentuk infrastrukur yang kita bangunkan dan pulih daripada situlah, pihak kementerian membuat kiraan sehingga akhirnya meluluskan RM142 juta,” katanya.

SUKMA 2020 dijadualkan berlangsung bermula 11 hingga 19 Julai tahun hadapan.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Mula latihan 3.30 pagi setiap hari demi SUKMA 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 JUN: Demi negeri tercinta, pemain skuad ragbi wanita Selangor bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 cekal menjalani latihan seawal jam 3.30 pagi sepanjang Ramadan lalu.

Teja Qaisara Rosihan Adi, 20, berkata selain latihan awal pagi, beliau dan rakan sepasukan juga menjalani latihan di gimnasium bermula 9 malam.

“Kami perlu meneruskan latihan walaupun berhadapan cabaran berpuasa untuk mengekalkan tahap kecergasan.

“Kami juga perlu tidur seawal 11 malam untuk mendapat rehat secukupnya bagi menjalani latihan keesokan hari pula,” kata pemain posisi ‘scrumhalf’ itu kepada SelangorKini.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, atlet itu memaklumkan diberi cuti sehingga Syawal kelima untuk meraikan lebaran bersama keluarga di Shah Alam dan Kajang.

Bagaimanapun beliau tetap mengekalkan disiplin sebagai atlet dengan menjaga pemakanan dan membuat senaman ringan di rumah.

“Saya terpaksa menjaga pemakanan kerana tidak mahu kecergasan menurun,” katanya.

Teja berkata, beliau perlu sentiasa cergas ekoran pihak pengurusan sudah menyusun jadual membabitkan beberapa pertandingan pemanas badan, termasuk di Singapura.

Pada masa sama, beliau turut meluahkan hasrat untuk menjadi pemain ‘scrumhalf’ negara suatu hari nanti.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Selangor hantar kontinjen besar ke SUKMA 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 JUN: Selangor dijangka menghantar lebih 800 anggota kontinjen membabitkan 30 acara dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020.

Pemangku Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata, negeri itu sudah melepasi fasa pertama persediaan pasukan, iaitu sesi pemilihan dan kini latihan awal sedang giat dijalankan.

“SUKMA tinggal lebih kurang 14 bulan sahaja lagi dan ada pasukan yang bersedia lebih awal mengikut program yang diatur terutama seperti renang, gimnastik, olahraga dan beberapa lagi yang tidak berhenti berlatih sepanjang masa sejak tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Nizam berkata, acara disertai kontinjen Selangor terdiri daripada 16 sukan wajib dan 14 sukan pilihan yang dipertandingkan di Johor.

Antara sukan pilihan seperti muay thai, tenis, kenu, bola tampar dan golf.

Katanya, latihan bagi atlet terbabit acara sukan pilihan turut dimulakan sejak awal tahun ini sebaik menerima pengesahan tuan rumah.

“Pada bulan puasa, latihan semua atlet berjalan seperti biasa tetapi bagi yang beragama Islam, jadual diubah selepas solat terawih dan hujung minggu.

“Cuti raya juga tidak lama kerana ada yang perlu berlatih awal bagi mengekalkan prestasi,” katanya.