Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Ismail Petra mangkat

KOTA BHARU, 28 SEPT: Sultan Kelantan ke-28, Sultan Ismail Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pukul 8.11 pagi ini.

Pengumuman kemangkatan Sultan Ismail Petra, 69, yang juga ayahanda Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darul Naim di sini.

Beliau berkata jenazah Baginda akan dibawa ke Istana Balai Besar di sini untuk istiadat penghormatan terakhir dan istiadat pemakaman akan dilangsungkan selepas solat Asar di Makam Diraja Langgar di sini.

Ahmad berkata, sehubungan itu tempoh perkabungan kemangkatan Sultan Ismail Petra akan bermula hari ini.

Beliau juga berkata Ahad dan Isnin ini (esok dan lusa) diumumkan sebagai cuti peristiwa di seluruh negeri Kelantan sebagai menghormati kemangkatan Baginda.

Sultan Ismail Petra memerintah Kelantan dari 30 Mac 1980 sehingga Mei 2009.

Baginda kemudiannya digantikan putera sulungnya Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan, akibat gering.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Ismail Petra gering namun stabil

KOTA BHARU, 12 SEPT: Ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Sultan Ismail Petra sedang gering namun berada dalam keadaan stabil, kata Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

“Saya rasa seperti yang diketahui umum tuanku (Sultan Ismail Petra) sedang berada di hospital. Setakat ini Alhamdulillah keadaan kesihatan tuanku stabil.

“Saya berharap rakyat semua dapat berdoa semoga kesihatan tuanku akan bertambah baik di masa hadapan. Kita pun di pihak MAIK (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan) sentiasa buat solat hajat dan doa selamat bagi mendoakan kesihatan tuanku,” katanya yang juga Yang Di-Pertua MAIK.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Jati Diri ‘Sayangi Diri, Tanah Air dan Raja’ anjuran MAIK di Dewan Utama, Kompleks Islam Jubli Perak di Panji di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan program berkenaan, Tengku Mohamad Rizam berkata MAIK melalui Unit Adat Istiadat sedang merangka satu Modul Ketatanegaraan Negeri Kelantan bagi disebarluaskan kepada masyarakat di seluruh pelusuk negeri ini.

“Saya juga berharap, usaha menyediakan Modul Ketatanegaraan Negeri Kelantan ini akan berjaya memberikan satu mekanisme baharu dalam memperkasakan rakyat Kelantan yang berjati diri ‘Sayangi Diri, Tanah Air dan Raja”.

“Modul Ketatanegaraan Negeri Kelantan ini dijangka akan diap sepenuhnya pada 2020, Insya-Allah,” katanya.

– BERNAMA