Categories
AGENDA NASIONAL

Genap 61 tahun nenda Sultan Selangor mangkat

SHAH ALAM, 1 SEPTEMBER: Tanggal 1 September 1960 iaitu 61 tahun yang lalu nenda kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mangkat.

DYMM Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Alae’ddin Sulaiman Shah Alhaj yang juga Sultan Selangor ketujuh mangkat pada usia 62 tahun.

Menerusi perkongsian Facebook Selangor Royal Office, Almarhum mangkat di Istana Tetamu, Kuala Lumpur secara mengejut pada hari baginda sepatutnya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua Persekutuan Tanah Melayu.

“Almarhum adalah satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang tidak sempat ditabalkan dan tidak pernah bersemayam di Istana Negara meskipun sempat lima bulan menjawat jawatan itu.

“Almarhum meninggalkan balu, Tengku Ampuan Jemaah, empat putera dan tiga puteri. Almarhum yang diputerakan pada 13 Mei 1898, dimakamkan di Makam Diraja Klang. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum,” kata perkongsian berkenaan.

Selangor Royal Office juga turut berkongsi dua gambar Almarhum ketika berada di Belanda pada tahun 1951 dan gambar ketika pelantikan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1960.

 

Foto Facebook Selangor Royal Office.
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Ismail Petra mangkat

KOTA BHARU, 28 SEPT: Sultan Kelantan ke-28, Sultan Ismail Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pukul 8.11 pagi ini.

Pengumuman kemangkatan Sultan Ismail Petra, 69, yang juga ayahanda Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darul Naim di sini.

Beliau berkata jenazah Baginda akan dibawa ke Istana Balai Besar di sini untuk istiadat penghormatan terakhir dan istiadat pemakaman akan dilangsungkan selepas solat Asar di Makam Diraja Langgar di sini.

Ahmad berkata, sehubungan itu tempoh perkabungan kemangkatan Sultan Ismail Petra akan bermula hari ini.

Beliau juga berkata Ahad dan Isnin ini (esok dan lusa) diumumkan sebagai cuti peristiwa di seluruh negeri Kelantan sebagai menghormati kemangkatan Baginda.

Sultan Ismail Petra memerintah Kelantan dari 30 Mac 1980 sehingga Mei 2009.

Baginda kemudiannya digantikan putera sulungnya Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan, akibat gering.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sultan Haji Ahmad Shah mangkat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MEI: Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang kelima kembali ke rahmatullah kira-kira jam 9 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini.

Almarhum mangkat pada usia 89 tahun bersamaan 17 Ramadan di hari Nuzul al-Quran.

Kerajaan negeri dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang juga Sultan Pahang kelima, menyerahkan takhta kepada anakanda baginda, Tengku Abdullah, selepas memerintah Pahang hampir 45 tahun.

Pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari lalu.

Categories
NASIONAL

Sultan Kedah mangkat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 89, mangkat di Istana Anak, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mana-mana pihak berkaitan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dijangka mengadakan sidang akhbar berhubung perkara itu, di Wisma Darul Aman, petang ini.

FullSizeRenderSultan Abdul Halim dilahirkan pada 28 November 1927 dan menaiki takhta Kedah selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Badlishah, pada 1958.

Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 1970 ketika negara sedang pulih daripada rusuhan kaum dikenali sebagai peristiwa 13 Mei 1969.

Baginda sekali lagi menaiki takhta pada 2011, ketika usia 84 tahun dan satu-satunya sultan yang menaiki takhta agong sebanyak dua kali.

Sultan Abdul Halim mengahwini Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman, yang meninggal dunia, pada 2003.

Baginda kemudian mengahwini wanita Perak, Haminah Hamidun, yang ditabalkan sebagai sultanah, pada 2004.

Categories
NASIONAL

Tunku Laksamana Johor mangkat

SHAH ALAM, 5 Dis: Tunku Laksama Johor, YAM Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim mangkat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, kira-kira jam 7.00 malam, hari ini.

IMG_20151205_225301Perkhabaran itu turut dimuat dalam laman instagram bonda saudara baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

“Inna lillah wa inna ilaihi rojiun….. semoga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh anak saudara saya Jalil yang baru mangkat kembali ke rahmatullah… Al-fatihah….,” tulis baginda.

Sementara itu, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, turut mengesahkan perkhabaran itu pada sidang media khas yang diadakan di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim, dekat Bukit Timbalan, Johor, tadi.

Memetik Berita Harian, Abdul Rahim berkata, jenazah almarhum akan diiring ke Istana Besar Johor Bahru dan disemayamkan di Bilik Singgah Sana istana itu, esok.

Almarhum Tunku Abdul Jalil sangat terkenal kerana sikap merendah diri selain begitu dekat dengan rakyat.

Al-Fatihah.

Categories
NASIONAL

Rakyat pelbagai kaum beri penghormatan terakhir pada Almarhum Sultan Perak

KUALA KANGSAR, 29 Mei: Suasana pilu jelas terasa apabila rakyat tiba untuk menziarahi jenazah Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di pekarangan Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Masyarakat pelbagai lapisan dilihat tiba di pekarangan Istana Iskandariah seawal jam 8.30 pagi dan dibenarkan masuk ke balairung seri, tempat jenazah Almarhum disemayamkan setengah jam kemudian untuk memberi penghormatan terakhir.

Istiadat penghormatan orang awam ini berlangsung bermula jam 9 hingga 11.30 pagi dan akan disusuli orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing bermula jam 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari.

Tuanku-Sultan-Azlan-ShahMemetik BERNAMA, Sesi penghormatan terakhir untuk raja-raja Melayu, yang dipertua negeri, ketua negara dan ketua kerajaan pula akan bermula jam 1.30 tengah hari hingga 2.15 petang.

Alunan ayat-ayat suci al-Quran diperdengarkan beberapa kumpulan termasuk pelajar tahfiz, anggota kariah beberapa buah masjid dan Jabatan Agama Islam Perak sepanjang masa di balairung seri itu.

Terdahulu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Raja Puan Besar, Tuanku Zara dan kerabat diraja berangkat tiba di balairung seri itu.

Turut berada di dewan itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta pembesar negeri.

Rakyat jelata pelbagai kaum yang kebanyakannya berpakaian serba hitam sebagai tanda berkabung kemudian menuju ke peterana tempat disemayamkan jenazah Almarhum dan membacakan doa mengikut kepercayaan agama masing-masing sebelum berjalan keluar meninggalkan balairung seri.

Categories
NASIONAL

Sultan Azlan Shah mangkat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 MEI: Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah disahkan mangkat sekitar jam 1.30 tengah hari, hari ini.

Memetik laporan Berita Harian Online, Almarhum yang juga Sultan Perak Darul Ridzuan yang ke-34 menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Tuanku-Sultan-Azlan-ShahKetika kemangkatan baginda, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta anakanda baginda ynag juga Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah turut berada di sisi.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambery Abdul Kadir mengumumkan berita kemangkatan baginda dan seluruh negeri berkabung.

Selama tempoh perkabungan, bendera Negeri Perak perlu dikibarkan separuh tiang selama 100 hari, manakala bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang selama tempoh perkabungan tujuh hari.

Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas Asar esok (29 Mei).

Baginda yang dilahirkan pada tahun 1928 di Batu Gajah ditabal secara rasmi sebagai Sultan Perak pada 9 Disember 1985 dan pernah bergelar Yang di-Pertuan Agong Malaysia kesembilan.

-NFN-