Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rasmi operasi Demi Idaman, Sultan Selangor terima zakat RM150,000

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 17 APR : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Operasi Syarikat Demi Idaman Sdn Bhd, di sini.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin turut berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan RM150,000 daripada Demi Idaman bagi tempoh 2016 lalu.

Dalam majlis itu, Demi Idaman diwakili Pengerusinya, Dato’ Salehuddin Saidin diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM, Dato’ Abibullah Samsudin.

Majlis turut disaksikan, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri Datin Seri Shamsidar Taharin.

SULTAN SYARIKAT IDAMAN (7)Sementara itu, mewakili pihak Demi Idaman, Salehuddin Saidin merakamkan sembah takzim ke atas kepedulian Baginda Sultan mencemar duli pada majlis itu.

Beliau berkata, ia menjadi sumbang saran kepada pembaikan operasi Demi Idaman bagi menerajui industri pembuatan emas di negara ini.

“Patik dengan penuh hormat dan izin memperkenalkan syarikat ini sebagai sebuah syarikat dasar yang baru mula bertapak dan berjinak jinak dalam arus pembangunan industri ini.

“Bermatlamatkan penghasilan produk kilo bar emas tulen dengan memberi keutamaan kepada menceburi peluang industri yang masih belum diceburi pengusaha lain dan mempunyai potensi besar untuk diperluaskan.

“Berteraskan kepada pelan komprehansif bagi penghasilan logam berharga, kami optimis mampu menjadi pemangkin syarikat tempatan yang menghasilkan produk berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

SULTAN SYARIKAT IDAMAN (14)Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian di premis Demi Idaman, tengah hari ini.

Terdahulu, Demi Idaman menjalankan operasi perniagaannya bermula Mac 2010 dengan jumlah modal permulaan RM1 juta.

Seiring tuntutan pasaran, Demi Idaman kini melangkah ke hadapan memperluaskan operasi pembuatan jongkong emas dan logam nilai tinggi.

-nR-