Categories
AGENDA NASIONAL

Anak remaja terpedaya Love Scam, peniaga rugi RM295,950

KUANTAN, 5 OGOS: Seorang peniaga membuat laporan polis semalam mendakwa kerugian RM295,950 selepas wang simpanannya itu digunakan anak lelakinya yang terpedaya menjadi mangsa penipuan sindiket Love Scam sejak Februari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 53 tahun mendakwa anaknya berumur 14 tahun memaklumkan mengenali seorang remaja perempuan dalam laman sosial Facebook yang kononnya menjual telefon pintar pada harga murah.

“Mangsa mendakwa anaknya telah menghubungi nombor telefon pada laman sosial itu dan hubungan mereka semakin baik selepas sering berbalas pesanan WhatsApp selain turut bermain permainan dalam talian Player Unknown’s Battle Grounds (PUBG).

“Selepas beberapa bulan berkenalan, suspek yang menggunakan nama Anis didakwa mula memujuk anak mangsa meminjamkan wang atas pelbagai alasan dengan janji akan memulangkan kembali wang tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mangsa mendakwa anaknya mula membuat transaksi pemindahan wang ke akaun diberikan suspek sekitar Mei lepas dan secara keseluruhannya telah melakukan 21 transaksi berjumlah RM295,950.

Perbuatan anak mangsa hanya disedari hujung Julai lalu dan suspek didakwa tidak lagi membalas pesanan WhatsApp anak mangsa selepas diminta untuk memulangkan wang berkenaan.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Cameron Highlands kira-kira 230 kilometer dari sini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Macau Scam: Pesara dakwa simpanan RM740,000 lesap

KUANTAN, 13 JUN: Seorang pesara mendakwa simpanannya berjumlah RM740,000 lesap selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis, sejak hampir empat bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 65 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Balai Polis Kota Kinabalu, Sabah sekitar Mac lepas.

Suspek mendakwa perlu melakukan soal siasat kerana terdapat kertas siasatan mengaitkan nama mangsa yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram.

“Mangsa yang menafikan terlibat dengan kes berkenaan diarahkan berkongsi maklumat mengenai wang simpanannya menerusi panggilan telefon itu supaya tidak dirampas atau akaun banknya dibekukan sepanjang siasatan.

“Suspek didakwa memberitahu, mangsa juga perlu memindahkan wang itu ke akaun baharu dengan jaminan akan dipulangkan semula selepas tamat siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa diberi amaran supaya tidak menceritakan hal berkenaan kepada orang lain termasuk ahli keluarga atau dikenakan tindakan kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi dan mendedahkan siasatan polis.

Mangsa mendakwa telah memindahkan wang dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan akaun bank miliknya ke akaun diberikan suspek sebanyak tujuh kali secara berperingkat mulai 23 Mac.

Bagaimanapun, mangsa mulai curiga selepas gagal menghubungi suspek bagi bertanyakan status siasatan baru-baru ini kerana mahu menggunakan wang simpanannya.

Sehubungan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Macau Scam: Pesara wanita dakwa rugi hampir setengah juta ringgit

KUANTAN, 21 MEI: Seorang pesara wanita mendakwa kehilangan wang simpanan bernilai hampir setengah juta ringgit akibat terlalu mempercayai helah sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai atasan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 59 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon pada 29 April lalu, kononnya dari syarikat telekomunikasi berhubung aduan nombor telefon itu digunakan untuk aktiviti perjudian haram.

Mangsa yang menafikan dakwaan itu diarah bercakap dengan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk membuat laporan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang.

“Mangsa mendakwa telah menyerahkan semua maklumat peribadinya termasuk jumlah wang simpanan di tiga buah bank dan jumlah barang kemas, kenderaan serta rumah miliknya dalam proses ‘soal siasat’ menerusi panggilan telefon itu.

“Suspek juga dikatakan meminta nombor kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), nombor pengesahan kad (CVN) dan tarikh tamat kad ATM tersebut yang semuanya dijawab oleh mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa kemudiannya dimaklumkan panggilan itu perlu dipindahkan kepada pegawai polis dari Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman untuk siasatan lebih menyeluruh.

Mangsa bercakap dengan seorang pegawai polis wanita yang memaklumkan bahawa wang simpanannya di tiga bank itu perlu dipindahkan bagi mengelak daripada dirampas.

“Mangsa mendakwa semakan terhadap akaun simpanannya semalam, mendapati terdapat 30 transaksi wang kepada 14 akaun bank yang tidak diketahuinya sejak 29 April hingga 15 Mei lalu berjumlah RM424,650.

“Mangsa cuba untuk menghubungi semula semua suspek berdasarkan nombor dalam rekod panggilan telefon bimbitnya, namun semua panggilan itu gagal disambungkan menyebabkan dia berasa ditipu,” katanya.

Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA