Categories
SELANGOR

SWELL peluang masyarakat dapat nasihat kesihatan percuma

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 FEB: Ekspo Kesihatan Selangor (Selangor Wellness Expo-SWELL) berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 76 pempamer dan pembukaan lebih 94 ruang pameran.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, ekspo itu berjaya mengumpulkan pemain industri utama dalam bidang kesihatan bagi memastikan rakyat dan pengunjung di Selangor memperoleh nasihat kesihatan lebih jelas.

“Penganjuran tiga hari ini diharapkan mampu untuk menyalurkan maklumat secara terus kepada pengunjung daripada peneraju pusat kesihatan, profesional dan pakar.

“Pengunjung berpeluang bertemu dan mendapatkan nasihat serta informasi tambahan berkaitan pelancongan kesihatan mengenai tempat yang boleh dituju jika berlaku sebarang masalah kesihatan ketika berada di Selangor,” katanya.

DSC_7834Beliau berkata demikian ketika merasmikan SWELL yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Februari di Pusat Konvensyen Setia Alam.

Menurutnya, Selangor kini berada di tangga ketiga di belakang Pulau Pinang dan Melaka, dari segi kedudukan rating negeri pelancongan kesihatan di Malaysia.

Hadir sama Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din dan Penasihat KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh Bakir.

Acara perasmian turut diserikan dengan upacara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara KPJ Healthcare Berhad yang diwakili Pengurus Besar Kumpulan, Rafeah Arifin dan Alya Hotel yang diwakili Pengarah Urusan, Ibrahim Essini Chai Abdullah.

Sementara Malaysia berada di kedudukan 10 terbaik dan ketiga dibelakang Korea Selatan serta India di peringkat Asia dalam menjadi destinasi pelancongan kesihatan.

Antara peneraju bidang kesihatan negara yang menyertai ekspo ini adalah Institut Jantung Negara (IJN), KPJ Healthcare Berhad, Pusat Darah Negara dan Columbia Asia.

Tidak ketinggalan beberapa syarikat yang mengeluarkan peralatan dan produk kesihatan turut sama menyertai expo ini.

Turut berlangsung sepanjang tiga hari ini beberapa pembentangan kertas kerja mengenai beberapa penyakit yang sinonim dengan masyarakat kini oleh beberapa doktor pakar.

=EZY=

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

SWELL lonjak Selangor destinasi tersohor pelancongan kesihatan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 FEB: Ekspo Kesihatan Selangor (Selangor Wellness Expo-SWELL) diyakini mampu melonjak potensi negeri itu sebagai salah satu destinasi tersohor pelancongan kesihatan di rantau ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, Selangor kini berada di tangga ketiga di belakang Pulau Pinang dan Melaka, dari segi kedudukan rating negeri pelancongan kesihatan di Malaysia.

Katanya, Kerajaan Negeri bagaimanapun yakin Selangor mampu menyaingi kedua-dua negeri terbabit dalam beberapa tahun akan datang.

“Mereka sudah mula dengan agenda ini sejak 30 tahun lalu, dan kita baru sahaja bermula dalam dua atau tiga tahun lepas. Sebab itu kita agak ketinggalan jauh.

“Tetapi, dengan kedudukan dan status Selangor pada hari ini, saya percaya kita juga mampu sebaris mereka,” katanya pada sidang media SWELL di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC) di sini, hari ini.

Dianjurkan Tourism Selangor, ekspo berkenaan dijadual bermula pada 24 hingga 26 Februari 2017, di SACC.

Pada 2016, SWELL menampilkan lebih 50 pempamer dan 14 pakar kesihatan.

“Lebih 2,000 mengunjungi SWELL pada tahun sebelum ini, dan kita sasarkan pengunjung bakal mencecah 6,000 pada 2017.

“Kali ini terdapat 75 pempamer dan 22 penceramah yang bakal membincangkan topik kesihatan sepanjang tiga hari ekspo,” katanya.

=EZY=