Categories
NASIONAL

Tabung Harapan Malaysia cecah RM198.7 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 DIS: Sejumlah RM198,739,243.02 berjaya dikumpul Tabung Harapan Malaysia (THM), setakat jam 3 petang semalam.

Jumlah itu berjaya dikumpulkan sejak tabung berkenaan dilancarkan pada 30 Mei lalu dan dimaklumkan melalui laman twitter dan facebook Kementerian Kewangan.

Penubuhan tabung itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi membolehkan rakyat Malaysia menyumbang untuk membantu menangani masalah hutang negara yang kini lebih RM1 trilion.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka dalam bentuk wang ringgit menerusi akaun Maybank 5660 1062 6452.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, wang THM tiada kaitan dengan Belanjawan 2019.

Katanya, tabung berkenaan tidak mempunyai tujuan tertentu melainkan hanya membantu kerajaan menyelesaikan masalah hutang negara.

“Kerajaan akan gunakan duit berkenaan sebijak mungkin,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jualan Amal Kempen Selamatkan Malaysia raih RM71,888

OLEH AFIX REDZUAN

KAPAR, 1 JUL: Sejumlah RM71,888 berjaya dikutip untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia bersempena Jualan Amal Kempen Selamatkan Malaysia anjuran Persatuan Wanita Kapar.

Berlangsung di hadapan Restoran Hoe Peng, jualan amal itu disambut meriah sejak jam 8 pagi dengan pelbagai jenis barangan diniagakan, pada harga murah.

Antara yang dijual termasuk barangan keperluan asas dan makanan.

Ahli Persatuan Wanita Kapar, Lim Pei Shi berkata, pihaknya gembira dengan sambutan diterima walaupun ia pertama kali dianjurkan.

“Idea ini tercetus ketika kami bersama melakukan aktiviti mendaki bukit. Sebelum ini, kami aktif dengan kerja kebajikan untuk membantu golongan memerlukan.

“Apabila kami mendengar berita berkenaan jumlah hutang negara yang besar, kami cuba menganjurkan jualan amal ini dan berasa bangga menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang menyumbang untuk membantu negara,” katanya.

Sumbangan itu diterima Ahli Dewan Negeri Sementa (ADN), Dr Daroyah Alwi sambil disaksikan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim; Ahli Parlimen Kapar, Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid dan ADN Meru, Mohd Fakrulrazi Mohd Mokhtar.

Dr Daroyah dalam ucapannya menghargai inisiatif Persatuan Wanita Kapar yang bertungkus lumus menganjurkan jualan amal demi membantu Tabung Harapan Malaysia dan berharap lebih ramai akan bersama menyumbang.

Categories
PBT SELANGOR

MPK sumbang Tabung Harapan Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 28 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendahului inisiatif Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membantu menyalurkan sumbangan ke dalam Tabung Harapan Malaysia.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi komitmen anggota pegawai tertinggi PBT berkenaan.

“Sumbangan ini dikumpulkan hasil usahasama ahli majlis dan pegawai kanan daripada pelbagai jabatan di MPK.

“Selepas penyerahan ini, kita akan mula mengedarkan tabung pengumpulan dana kepada warga MPK untuk sama-sama menyumbang dalam Tabung Harapan Malaysia,” katanya kepada pemberita.

Difahamkan, MPK adalah PBT pertama di negeri ini yang memulakan inisiatif itu.

Terdahulu, Mohamad Yasid menyerahkan replika cek sumbangan terkumpul berjumlah RM34,526.72 kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari untuk disumbangkan ke dalam Tabung Harapan Malaysia.

Majlis penyerahan turut disaksikan Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi dan ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zamanhuri.

Sementara itu, jumlah terkini kutipan Tabung Harapan Malaysia sudah mencecah RM127 juta.

Categories
NASIONAL

Tabung Harapan Malaysia cecah RM108.2 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JUN: Tabung Harapan Malaysia (THM) mengumpulkan RM108,215,946.39 juta, setakat jam 3 petang tadi.

Jumlah itu berjaya dikumpulkan sejak dilancarkan, pada 30 Mei lalu dan dimaklumkan melalui laman Facebook Kementerian Kewangan.

Penubuhan tabung itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membolehkan rakyat Malaysia menyumbang membantu menangani masalah hutang negara yang kini lebih RM1 trilion.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit menerusi akaun Maybank 5660 1062 6452.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, sumbangan derma yang disalurkan kepada THM akan hanya digunakan untuk membayar hutang kerajaan.

Categories
SELANGOR

WDG sumbang RM311,000 dana Tabung Harapan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JUN: Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari menerima kutipan dana daripada Weekend Drive Group (WDG), berjumlah RM311,000 untuk disumbangkan ke Tabung Harapan Malaysia.

Beliau berkata, kutipan dibuat dalam tempoh 10 hari itu dilaksanakan atas keprihatin generasi muda terhadap komitmen dan situasi semasa Kerajaan Putrajaya kini.

“Usaha dan kesungguhan yang menakjubkan.

“Kejayaan ini menunjukkan kita masih ada harapan cerah untuk masa depan rakyat Malaysia,” katanya di Twitter.

Terdahulu, majlis penyerahan kutipan dana itu turut disertai pelbagai kelab kereta seluruh negara, di Bulatan Masjid Putrajaya.

Sebelumnya, turut diadakan konvoi amal membabitkan penggiat sukan permotoran bagi mengumpulkan dana amal Tabung Harapan Malaysia.

Pada masa sama, Amirudin turut melancarkan tanda pagas #DriveToAGreaterMalaysia di Twitter, sebagai inisiatif mendukung usaha golongan belia membantu kerajaan menyelesaikan kemelut hutang negara, daripada pentadbiran terdahulu.

“Drive To a Greater Malaysia” dipilih kerana tajuk itu sinonim dengan minat golongan belia dan niat membantu Kerajaan melangsaikan beban hutang tinggi, demi kemajuan dan kejayaan negara dalam jangka masa panjang.

“WDG berharap Konvoi Amal ini dapat memupuk semangat kecintaan dan kekitaan dalam kalangan peserta yang bukan sahaja cintakan sukan permotoran tetapi juga negara,” katanya.