Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB seru hayati kandungan al-Quran, teguhkan iman

GOMBAK, 15 APRIL: Umat Islam negeri ini diseru melakukan tadabbur dengan menghayati kandungan al-Quran secara mendalam bagi meneguhkan keimanan.

Dato’ Menteri Besar berkata penelitian ayat melalui kitab suci itu mampu memimpin manusia ke jalan yang benar meskipun dihimpit situasi sukar.

“Menyentuh tentang al-Quran yang bukan hanya kita tadarus, melazimi atau talaqi tetapi tadabbur
dapat menyentuh hati seseorang jika tahu makna dibawakan.

“Insya-Allah, manusia akan mendapat petunjuk antara hak dan batil jika kehidupan seharian berpandukan al-Quran, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 ramai tidak mampu kawal emosi sehingga banyak kes pelik berlaku,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap ketika melancarkan program Selangor Bertadabbur di Masjid Jamiatus Solahiah, Kampung Sungai Tua Bahru di sini malam tadi.

Program kali ketiga anjuran pejabat Dato’ Menteri Besar dan Asatizah Selangor turut mendapat kerjasama pejabat EXCO hal ehwal agama Islam dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Amirudin menambah sebanyak 24 masjid seluruh negeri dipilih untuk melaksanakan program itu sepanjang Ramadan bagi berkongsi intisari al-Quran.

“Ini antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengimarahkan masjid. Alhamdulillah tahun ini kita dapat laksanakan secara fizikal seperti 2019,” kata wakil rakyat Sungai Tua.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Tadabbur Al-Quran buka ruang setiap DUN

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Lebih 600 wanita sertai majlis Tadabbur Al-Quran kali ke-34

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 JUN : Datin Seri Shamshida Taharin menzahirkan perasaan berat hati untuk meninggalkan Selangor khususnya Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), namun atas faktor tugas suaminya kepada negara, maka beliau akur dan yakin dengan rezeki Allah SWT.

“Walaupun ini program terakhir, namun saya tetap akan sentiasa menyokong PEKAWANIS dan aktiviti seperti ini, pada masa akan datang,” katanya ketika Majlis Tadabbur dan Khatam Al-Quran Ramadan kali yang ke-34 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, di sini, hari ini.

Lebih 600 wanita di seluruh negeri hadir ke majlis anjuran PEKAWANIS itu dan ia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan berbanding, sebelum ini.

Menariknya, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan buat pertama kalinya di bawah program anjuran PEKAWANIS itu.

Shamshida berkata, beliau berasa amat beruntung apabila diberi peluang sekali lagi untuk melaksanakan program itu selain dapat meneruskan tradisi memasyarakatkan Al-Quran.

“Majlis Tadabbur dan Khatam Al-Quran ini mula dilaksanakan, sejak tahun 2015. Sehingga kini, ia semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita, di negeri ini.

“Dengan mengamalkan budaya membaca Al-Quran, kita bukan sahaja dapat menjaga hubungan dengan Allah SWT, malahan mampu menyemai hubungan erat sesama wanita” katanya.

Beliau berkata, kedudukan sebagai isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, membuat beliau terpanggil untuk berkongsi sedikit ilmu yang ada dan melaksanakan program tadabbur itu.

Mengulas keberangkatan Tengku Permaisuri Norashikin, Shamshida berkata, beliau berasa amat beruntung dan berterima kasih di atas kesudian Tengku Permaisuri Selangor hadir ke majlis berkenaan.

“Patik menjunjung kasih di atas limpah perkenan tuanku untuk berangkat ke majlis ini,” katanya.

Terdahulu, Shamshida turut memimpin Majlis Tadabbur dan Khatam Al-Quran kali ke-34 dan ia adalah program terakhir sebagai isteri kepada Dato’ Menteri Besar selepas Mohamed Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, pada 21 Mei lalu.