Categories
BERITA UTAMA

PM: Jadikan Tahun Melawat Malaysia 2020 misi nasional

PUTRAJAYA, 22 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat Malaysia agar menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2020 sebagai misi nasional dengan bercerita dan berkongsi mengenai kecantikan, keamanan dan keindahan negara ini.

Beliau berkata, setiap orang ada peranan yang perlu dimainkan untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di mana kerajaan akan memastikan kempen itu akan menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran-sasaran yang telah ditetapkan bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia.

“Keramah-tamahan kita bukan sekadar satu slogan tetapi diterjemahkan sebagai sifat semula jadi dan budaya rakyat negara kita.

“Keindahan sesuatu tempat itu akan menarik orang untuk datang tetapi keramah-tamahan penduduknya akan membuat orang tinggal lama dan datang semula,” katanya pada pelancaran Logo Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dr Mahathir berkata, pelancongan adalah satu daripada sektor terpenting dalam memastikan ekonomi dan sektor perkhidmatan negara berkembang kerana ia bukan sahaja boleh menjana pendapatan tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 adalah satu peluang selain menjadi satu cabaran buat negara untuk menarik jumlah rekod kedatangan pelancong ke negara ini sebagai destinasi pilihan bagi pelancong sama ada yang datang untuk bersantai atau berniaga.

“Adalah diharapkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 akan berjaya mencapai sasarannya untuk menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 juta resit pelancongan,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata, kertersambungan penerbangan dari destinasi-destinasi lain ke Malaysia adalah satu daripada inisiatif untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke Malaysia dan mencapai sasaran kempen.

“Kita mempunyai kemudahan udara yang lebih baik yang menghubungkan bandar raya-bandar raya lain dengan Malaysia, kita mampu menerima kedatangan lebih ramai pelancong,” kata beliau.

“Oleh itu, kita perlu menyambung dan menjangkau pasaran yang memberi ‘pulangan tinggi’ yang menjadi pasaran sasaran Malaysia untuk kempen ini, iaitu ASEAN, China, India, United Kingdom dan Jerman,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata, kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 juga banyak bergantung kepada promosi-promosi yang berkesan.

“Sektor pelancongan perlu bergerak seiring dengan transformasi digital dengan menekankan kepada pamasaran digital menggunakan pelbagai platform media sosial jika industri berkenaan ingin kekal berdaya saing,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa kejayaan kempen ini akan memberi manfaat kepada semua orang kerana tumpahan daripada industri pelancongan akan menjalar ke pelbagai perniagaan dan industri yang lain.

“Saya amat gembira apabila diberitahu bahawa projek kebangsaan ini menyaksikan penyertaan pelbagai peringkat dan sektor, kementerian-kementerian, agensi-agensi, jabatan-jabatan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan para pemain industri pelancongan sendiri,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 memfokus kepada ekopelancongan, seni dan budaya, sesuai dengan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 dan Dasar Budaya Kebangsaan yang meletakkan ekopelancongan, seni dan budaya sebagai fokus utama dan jalan menuju ke depan dalam pembangunan industri pelancongan di Malaysia.

“Menerusi kempen ini, kita akan menyambut lebih ramai pelawat dari seluruh dunia untuk merasai keunikan dan keindahan tarikan ekopelancongan Malaysia termasuk hutan hujan, gunung-ganang, pulau-pulau dan pantai-pantai.

“Pada masa yang sama, para pelawat juga mendapat peluang untuk melihat sendiri kepelbagaian budaya, seni, warisan dan sejarah kita, sejajar dengan tema kempen “Kebudayaan, Alam Semula Jadi dan Penduduknya”.

Dr Mahathir berkata, industri pelancongan Malaysia semakin berkembang dari semasa ke semasa dan sektor pelancongan telah menunjukkan prestasi yang mengagumkan akhir-akhir ini.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, kedatangan pelancong merekodkan pertumbuhan 4.8 peratus dengan jumlah kedatangan pelancongan sebanyak 10.95 juta berbanding 10.45 juta ketibaan pelancong dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata beliau.

Prestasi suku pertama tahun ini juga menunjukkan pertumbuhan dalam hasil pendapatan pelancongan yang mencecah RM21.4 bilion, lonjakan 16.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata beliau.

Tahun lepas, kira-kira 25.8 juta pelancong telah melawat Malaysia, dan Malaysia menduduki tempat ke-15 dalam negara-negara yang mempunyai jumlah kedatangan pelancong tertinggi.

Sebanyak 78.2 juta pelancong domestik juga dicatat pada 2018 dengan kadar pertumbuhan 10.9 peratus dari tahun sebelumnya, manakala perbelanjaan pelancongan domestik pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11.7 peratus pada 2018 dengan RM60.4 bilion, kata beliau.

Dr Mahathir berkata, jumlah pekerja yang digajikan dalam industri pelancongan juga telah bertambah kepada 3.4 juta pada tahun 2017 daripada 1.5 juta pada 2005 manakala jumlah mereka yang bekerja dalam sektor pelancongan merupakan 23.2 peratus daripada keseluruhan jumlah tenaga buruh.

Pada 2017, industri berkenaan menyumbang 14.9 peratus kepada ekonomi nasional berbanding 10.4 peratus pada 2005, kata beliau.

“Malaysia menduduki tempat ke-21 antara negara-negara yang mencatat hasil pelancongan tertinggi, dengan membawa masuk RM84.1 bilion hasil pendapatan pelancongan pada 2018 seperti yang dinyatakan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dalam Laporan ‘Barometer’ yang diterbitkan pada bulan Mei 2019,” kata beliau. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Logo lawat Malaysia 2020 dilancar

SEPANG, 22 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan logo baharu kempen Melawat Malaysia (VM) 2020.

Logo itu menampilkan pelbagai ikon Malaysia yang dikenal biasa seperti burung kenyalang, bunga raya, pakis liar dan warna-warna jalur gemilang.

Ciptaan Alfred Phua Hong Fook, pereka grafik berusia 23 tahun dari Melaka, logo itu melambangkan kepelbagaian budaya, warisan, flora dan fauna Malaysia di samping pengalaman yang ditawarkan sebagai sebuah destinasi percutian.

Logo beliau dipilih daripada beratus-ratus penyertaan diterima dari seluruh negara semasa tempoh pertandingan awal tahun ini.

Logo baharu itu menggantikan yang terdahulu dilancarkan di Chiang Mai, Thailand oleh bekas menteri pelancongan dan kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bersempena Forum Pelancongan ASEAN tahun lepas.

Tahun hadapan ditetapkan sebagai Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasarkan ketibaan 30 juta ketibaan pelancong antarabangsa dengan hasil pelancongan RM100 bilion, serta fokus pada ekopelancongan, kesenian dan budaya.

Bagi menjayakan kempen, Tourism Malaysia telah mengambil rakan dari beberapa perbadanan sektor swasta iaitu Sharp (M) Electronics Sdn Bhd, Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Malindo Air dan Malaysia Airports Holidays Bhd, bagi melaksana aktiviti pemasaran dan penggalakan dengan menggunakan platform media tempatan dan global mereka.

Untuk mengukuhkan lagi industri berkenaan, kerajaan baru-baru ini melancarkan dana geran sebanding Promosi Pelancongan Malaysia atau GAMELAN Malaysia berjumlah RM5 juta.

Ia bertujuan membantu pengusaha industri berkenaan untuk promosi pelancongan antarabangsa dan program pemasaran bagi meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa sambil meningkatkan pelancongan domestik.

Tahun lepas, Malaysia menerima kedatangan 25.8 juta pelancong antarabangsa, sementara untuk lima bulan pertama tahun ini, ketibaan pelancong asing mencecah hampir 11 juta orang, mencatatkan pertumbuhan 4.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tahun Melawat Malaysia 2020 akan dipromosi di ITB Berlin 2019

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Malaysia akan menggunakan kesempatan sebagai negara rakan kongsi rasmi ITB Berlin 2019, pameran perdagangan pelancongan terbesar di dunia untuk meningkatkan promosi tahun ini sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Kenyataan Tourism Malaysia berkata, pameran ITB Berlin 2019 itu akan diadakan di CityCube Berlin bermula 6 hingga 10 Mac dan sebagai negara rakan kongsi rasmi Malaysia akan mempersembahkan pertunjukan kebudayaan berwarna-warni oleh Istana Budaya ketika majlis perasmian pada 5 Mac.

“Pavilion Malaysia di Dewan 26A akan memaparkan seni bina silam Terengganu’” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa selain menjadi tempat bagi pertemuan dan rangkaian kerjasama, persembahan kebudayaan juga akan diadakan di pavilion sepanjang pameran itu berlangsung.

Pengunjung juga boleh merasai pelbagai masakan Malaysia yang enak serta mendapatkan sampel rempah-ratus serta ubat-ubatan herba.

Malaysia akan menghantar delegasi yang besar pada ITB 2019 terdiri daripada lembaga pelancongan negeri, operator pelancongan, pemilik produk pelancongan, pemilik hotel, pengendali syarikat penerbangan, penyedia perkhidmatan pelancongan dan banyak lagi.

Selain itu 136 peserta mewakili 83 pertubuhan dari Malaysia akan turut serta.

Delegasi Malaysia akan diketuai oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Haslina Abdul Hamid serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) juga akan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan yang berpatutan dan berkualiti, sementara Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan mempromosikan Malaysia sebagai syurga pemerhati burung dan menonjolkan aspek budaya yang unik di negara ini.

Malaysia menyasarkan untuk menerima kedatangan 30 juta pelancong dari seluruh dunia yang berbelanja RM100 bilion.

Jerman adalah pasaran yang kukuh untuk Malaysia terokai,” menurut kenyataan itu.

Tahun lalu, 128,895 pelancong Jerman mengunjungi Malaysia dan menyasarkan kedatangan 147,000 pelancong dari negara itu tahun ini.

SUMBER: BERNAMA