Categories
NASIONAL

Kematian Tam seharusnya beri peringatan

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Kematian spesies terakhir badak sumbu Sumatra jantan di negara ini, Tam seharusnya memberi peringatan berhubung keperluan masyarakat segera bertindak untuk melindungi semua spesies terancam di negara ini.

Pengarah Konservasi Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Dr Henry Chan berkata, kematian Tam pada Isnin menunjukkan bahawa spesies yang terancam boleh pupus dalam kehidupan kita.

“Kita perlu memastikan spesies lain yang terancam seperti gajah, orang utan, banteng (spesies seladang) dan tenggiling tidak akan mengalami nasib yang sama.

“Kita juga perlu meneroka pendekatan baharu dalam pemuliharaan dan pada masa yang sama menangani ancaman yang dihadapi spesies terancam,” katanya kepada Bernama semalam.

Post mortem yang dijalankan ke atas Tam mendapati haiwan itu mati akibat kegagalan kardiopulmonari. Kematian Tam bermakna, kini hanya tinggal seekor sahaja badak sumbu Sumatra di Malaysia bernama Iman.

Dr Chan berkata walaupun kerajaan melaksanakan pendekatan baharu, usaha pemuliharaan spesies iaitu memberi perlindungan sepenuhya kepada spesies di hutan di negara ini yang menghadapi ancaman, perlu diberi diberi penekanan.

“Kami menggesa kerajaan negeri menyediakan lebih banyak sumber kepada agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah untuk meneruskan usaha mereka,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Shukor Md Nor berkata pengurusan habitat perlu diberi keutamaan dalam usaha memastikan haiwan terutama yang diancam kepupusan dapat diselamatkan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memperbanyakkan aktiviti berkaitan di bawah inisiatif “Central Forest Spine” bertujuan mewujudkan kesinambungan habitat biodiversiti negara di empat kompleks hutan utama di negara ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tam mati akibat kegagalan jantung dan paru-paru

KOTA KINABALU, 28 MEI: Bedah siasat terhadap kematian badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia yang bernama Tam mendapati punca haiwan itu mati ialah akibat kegagalan jantung dan paru-paru.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew berkata, bedah siasat dijalankan oleh doktor haiwan Dr Zainal Zahari Zainuddin dan pasukannya dari Perikatan Rhino Borneo beberapa jam selepas kematian Tam pada tengah hari semalam dan kerja mereka berterusan hingga ke malam.

Beliau berkata, buah pinggang kananTam terjejas dengan calculi-uremia yang teruk – yang menjejaskan semua organ dan penghasilan darah.

“Saluran darah utama pecah di dalam perut. Sebab kematian adalah kegagalan jantung dan paru-paru,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, pembengkakan mungkin disebabkan oleh jangkitan saluran kencing, yang dirawat dengan antibiotik intravena.

“Ubat-ubatan lain yang diberikan pada bulan Mei termasuk anti-radang, infus intravena vitamin dan mineral, ubat pengurangan asid perut dan penenang.

“Tisu dikumpulkan untuk ujian bakteriologi dan histopatologi, yang akan dilakukan di makmal bebas, dan keputusan mungkin mengambil masa beberapa minggu,” katanya.

Liew berkata, umur Tam pada kematian tidak akan diketahui, kerana umur 35 tahun yang dicatatkan semasa penangkapannya pada tahun 2008 adalah cuma andaian yang munasabah.

– BERNAMA