Categories
AGENDA NASIONAL

Taman Botani pilihan lokasi riadah setelah lama terkurung akibat PKP

SHAH ALAM, 9 OKT: Pembukaan semula Taman Botani Negara di sini sejak kelmarin dimanfaatkan ibu bapa untuk membawa anak-anak beriadah di luar.

Kemudahan khusus untuk individu lengkap vaksin menyaksikan pengunjung mematuhi arahan aktiviti pelancongan fasa tiga Pelan Pemulihan Negara.

Salah seorang pengunjung, Fariza Ahmad Tamizi, 36, berkata Taman Botani antara lokasi pilihan keluarganya untuk membuat aktiviti luar dan berbasikal melihat pemandangan hijau.

Fariza Ahmad Tamizi

Suri rumah yang menetap sekitar Shah Alam itu lebih selesa memilih hari bekerja bagi mengelak kesesakan pada hujung minggu selain bimbang jangkitan Covid-19.

“Apabila mengetahui Taman Botani dibuka, saya membuat keputusan membawa anak, ibu dan sepupu. Saya pilih hari bekerja untuk elak kesesakan hujung minggu kerana masih khuatir kes Covid-19,” katanya.

Ahmad Shukri Rahmal, 37, pula berkata anak-anaknya teruja apabila dibawa keluar setelah sekian lama terkurung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka sudah terlalu lama berkurung sejak PKP. Apabila dapat berjalan di Taman Botani ia memberi suasana baharu kepada anak-anak,” kata pekerja swasta itu.

Mujahid Ismail, 20, yang juga seorang pelajar di institusi pengajian tinggi mengambil peluang berkumpul dan berbasikal bersama rakan setelah lama tidak berjumpa.

Mujahid Ismail

“Kami sudah lama tidak berjumpa sejak PKP dan hanya berinteraksi melalui media sosial. Apabila jumpa kawan-kawan dapat juga hilangkan tekanan kerana baru habis semester satu,” katanya.

Taman Botani Negara Shah Alam berkeluasan 817 hektar yang ditutup sejak Jun lalu dibuka semula kepada orang ramai selaras tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Antara lokasi tumpuan di situ ialah Taman 1Malaysia, Taman Herba dan Taman Haiwan.

 

Categories
SELANGOR

Taman Botani lanjut tempoh penutupan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APRIL: Penutupan Taman Botani Negara di Bukit Cherakah, yang terjejas ekoran ribut bulan lalu dilanjutkan sehingga 30 April ini.

Taman Botani itu sebelum ini ditutup sehingga 31 Mac dan dijangka beroperasi semula pada 1 April.

Bagaimanapun, menerusi laman Facebooknya, ia bagi memberi laluan akan kerja pembersihan dan pembaikan kawasan yang masih giat dijalankan.

Pegawai Perhubungan Awam Taman Botani Negara, Nurul Wardina Abdullah sebelum ini berkata, bencana alam yang melanda taman berkenaan menyebabkan tiga rusa dewasa mati selain banyak pokok tumbang serta kerosakan kemudahan tapak aktiviti riadah selain terdapat sebuah kenderaan rosak teruk.

Kerja pemulihan itu turut membabitkan pemotongan pokok berskala besar melintangi setiap laluan serta membersihkan beberapa kawasan yang terjejas teruk.

Seramai 80 petugas Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan Negeri dan kakitangan Taman Botani terbabit dalam usaha pembersihan dan pembaikan itu.