Categories
SELANGOR

Orang ramai manfaat cuti Tahun Baharu Cina riadah bersama keluarga

SHAH ALAM, 2 FEB: Hari kedua cuti umum sempena Tahun Baharu Cina dimanfaatkan orang ramai untuk melakukan aktiviti riadah berhampiran kediaman masing-masing.

Tinjauan Selangorkini di Elmina Gardens, Seksyen U16 dekat sini mendapati orang ramai mengunjungi taman rekreasi awam itu seawal jam 7 pagi untuk bersenam berjoging dan berbasikal.

Pekerja swasta Mohamad Shukor Atan, 42, berkata dia bersama keluarga sering beriadah di situ setiap pagi hujung minggu atau cuti umum untuk mengisi masa terluang.

Mohamad Shukor Atan, 42

“Ini antara satu-satunya lokasi yang jadi tumpuan kami sekeluarga untuk beriadah kerana dekat dengan rumah selain memiliki kemudahan lengkap antaranya trek jogging, basikal dan permainan kanak-kanak.

“Waktu cuti digunakan sebaiknya untuk bersama keluarga kerana hari biasa saya dan isteri sibuk bekerja. Kebetulan pula kami tidak pulang ke kampung di Perak,” katanya ketika ditemui Selangorkini hari ini.

Sementara itu, suri rumah Iswati Ismail, 52, memilih untuk beriadah bersama suami dan anak bongsunya memandangkan sudah lama tidak melakukan aktiviti menyihatkan badan.

“Sebelum ini suami dan anak yang selalu jogging di sini sebab tempatnya bersih dan selesa, tetapi hari ini saya rasa teringin untuk bersama mereka. Lagipun saya tak buat apa-apa di rumah,” katanya yang menetap di Taman Delima Subang Bestari.

Ez Shafiq Haiqal Shaazman, 17

Bagi Ez Shafiq Haiqal Shaazman, 17, pula aktiviti riadah menjadi rutin wajib setiap hujung minggu dan cuti umum bagi mengekalkan stamina dan kecergasan sebagai atlet sepak takraw.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gading berkata aktiviti senaman dibuat sebagai persiapan ke perlawanan sepak takraw selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Biasanya kalau guru tidak buat kelas tambahan pada hari tersebut, saya wajib turun ke sini bersama kawan-kawan sebab akan sertai perlawanan sepak takraw.

“Aktiviti sebegini mesti berterusan kerana bukan sahaja untuk kekalkan stamina, tetapi pada masa sama mampu hilangkan tekanan selepas penat belajar,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Taman Botani pilihan lokasi riadah setelah lama terkurung akibat PKP

SHAH ALAM, 9 OKT: Pembukaan semula Taman Botani Negara di sini sejak kelmarin dimanfaatkan ibu bapa untuk membawa anak-anak beriadah di luar.

Kemudahan khusus untuk individu lengkap vaksin menyaksikan pengunjung mematuhi arahan aktiviti pelancongan fasa tiga Pelan Pemulihan Negara.

Salah seorang pengunjung, Fariza Ahmad Tamizi, 36, berkata Taman Botani antara lokasi pilihan keluarganya untuk membuat aktiviti luar dan berbasikal melihat pemandangan hijau.

Fariza Ahmad Tamizi

Suri rumah yang menetap sekitar Shah Alam itu lebih selesa memilih hari bekerja bagi mengelak kesesakan pada hujung minggu selain bimbang jangkitan Covid-19.

“Apabila mengetahui Taman Botani dibuka, saya membuat keputusan membawa anak, ibu dan sepupu. Saya pilih hari bekerja untuk elak kesesakan hujung minggu kerana masih khuatir kes Covid-19,” katanya.

Ahmad Shukri Rahmal, 37, pula berkata anak-anaknya teruja apabila dibawa keluar setelah sekian lama terkurung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka sudah terlalu lama berkurung sejak PKP. Apabila dapat berjalan di Taman Botani ia memberi suasana baharu kepada anak-anak,” kata pekerja swasta itu.

Mujahid Ismail, 20, yang juga seorang pelajar di institusi pengajian tinggi mengambil peluang berkumpul dan berbasikal bersama rakan setelah lama tidak berjumpa.

Mujahid Ismail

“Kami sudah lama tidak berjumpa sejak PKP dan hanya berinteraksi melalui media sosial. Apabila jumpa kawan-kawan dapat juga hilangkan tekanan kerana baru habis semester satu,” katanya.

Taman Botani Negara Shah Alam berkeluasan 817 hektar yang ditutup sejak Jun lalu dibuka semula kepada orang ramai selaras tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Antara lokasi tumpuan di situ ialah Taman 1Malaysia, Taman Herba dan Taman Haiwan.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Riadah lebih lama hilangkan tekanan, bantu peniaga tambah rezeki

SHAH ALAM, 2 OKT: Kelonggaran beberapa aktiviti termasuk riadah sehingga tengah malam susulan peralihan Selangor ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) melegakan ramai pihak.

Seorang peniaga di Dataran Shah Alam gembira dapat menjana semula pendapatan dengan menjual permainan kanak-kanak selepas terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bila dibenarkan berniaga sehingga 10 malam pun saya bersyukur. Saya kena cari duit untuk tanggung enam anak berusia tiga hingga 13 tahun.

“Sekarang kerajaan benarkan sampai 12 tengah malam, lebih ramai orang datang ke sini terutama hari minggu dan saya boleh berniaga lebih lama,” kata Azura Zubair, 33, ketika ditemui malam tadi.

Azura Zubair,33, berniaga sehingga tengah malam setelah kerajaan mengumumkan Lembah Klang beralih ke Fasa 3 ketika tinjauan Selangorkini di Dataran Shah Alam pada 1 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengunjung Alam Shah Los berpendapat kebenaran aktiviti lebih lama pada waktu malam membolehkan dia membawa anaknya Muhd Nazrin Shah, 12, yang juga pesakit Autisme untuk beriadah.

Kakitangan swasta berusia 51 tahun itu berkata anaknya memerlukan aktiviti sebagai terapi bagi mengelak rasa bosan setelah beberapa bulan terkurung di rumah.

“Ketika PKP ketat saya terpaksa mengajaknya berlari ulang alik dari ruang tamu ke dapur supaya dia tidak bosan. Hari ini bila bawa tengok pancuran air berirama di Laman Budaya memang dia seronok.

“Saya bersyukur sangat dan harap kes akan terus menurun supaya banyak lagi kelonggaran diberikan,” katanya.

Sementara itu, Saiful Muzamir Azmi, 33, mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) tambahan selepas kerajaan memberi pelbagai kelonggaran.

“Kita kena sedia hidup dengan Covid-19. Jadi perlu sentiasa pakai pelitup muka, bawa cecair pembasmi ke mana sahaja. Pilih kawasan terbuka dan elak kesesakan,” katanya.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa semalam dengan beberapa kelonggaran tambahan untuk individu lengkap dos vaksin.

Kebenaran baharu termasuk majlis rasmi kerajaan dan swasta, pembukaan semula sektor latihan kemahiran dan kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai diminta peka, waspada perubahan cuaca ketika riadah

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Orang ramai yang berhajat melakukan aktiviti riadah dan berkelah diminta peka terhadap sebarang perubahan cuaca dan persekitaran berikutan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula hujung bulan ini.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad berkata orang ramai perlu berwaspada terutama apabila melakukan aktiviti seperti mendaki dan berkelah di kawasan pantai atau air terjun.

Beliau berkata sikap sambil lewa dan memandang ringan terhadap situasi arus deras dan angin kencang merupakan antara punca berlakunya kemalangan di kawasan pantai dan air terjun.

“Orang ramai perlu beri perhatian terhadap sebarang perubahan air jika berkelah di kawasan air terjun untuk elak terperangkap akibat kepala air, terutama jika berlaku hujan pada hari sebelumnya. Jika lihat ada banyak ranting kayu, dahan pokok dan daun dibawa arus, mereka perlu hentikan aktiviti mandi-manda dan pergi ke kawasan selamat kerana ia petanda awal kejadian kepala air.

“Sekiranya berlaku hujan atau angin kuat, dinasihatkan kepada mereka yang berkelah di pantai atau air terjun untuk tidak meneruskan aktiviti di dalam air kerana kekejangan akan mudah berlaku berikutan air bertambah sejuk, ini merupakan faktor menyumbang kepada kejadian lemas,” katanya kepada Bernama.

Nor Hisham berkata penggemar aktiviti mendaki juga perlu berhati-hati berikutan hujan yang kerap ketika ini menyebabkan laluan mendaki menjadi licin dan berbahaya.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan JBPM bagi menghadapi fasa peralihan monsun dan Monsun Timur Laut yang akan datang, Nor Hisham berkata kebanyakan anggota JBPM akan diarah bertugas dan hanya 20 peratus daripadanya dibenarkan mengambil cuti.

“Ini bermakna dalam setiap syif yang terdiri daripada sembilan orang, hanya seorang sahaja anggota dibenarkan bercuti. JBPM akan memberi fokus terhadap enam negeri yang dijangka akan menerima taburan hujan yang tinggi iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Anggota JBPM dari negeri-negeri lain juga akan diarah bersiap sedia untuk membantu negeri yang teruk dilanda banjir sekiranya diperlukan,” katanya.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan sebelum ini menjangkakan negara akan mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan malam ketika fasa peralihan monsun bermula hujung September hingga awal November ini.

Monsun Timur Laut dijangka membawa lebih banyak hujan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada November hingga Disember manakala Johor, Sabah dan Sarawak pada Disember hingga Januari tahun hadapan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Langgar SOP di lokasi tumpuan awam, pengunjung degil dikompuan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bekerjasama dengan polis melakukan pemantauan secara kerap di lokasi tumpuan awam, kata yang dipertuanya.

Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata pihaknya memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu berhubung pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), namun kompauan akan dikeluarkan jika pengunjung terus mengingkari arahan.

“Setakat ini kita cuba menasihati dan menegur pengunjung dengan kaedah menggunakan pembesar suara termasuk hebahan SOP agar mereka lebih berwaspada.

“Tiada kompaun dikeluarkan lagi tetapi jika ada yang berdegil kita tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun kepada individu tersebut,” katanya.

Beberapa kawasan rekreasi dan pelancongan sekitar Kuala Langat menjadi tumpuan orang ramai susulan peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN)

Pada 10 September Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Antara kelonggaran adalah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri, ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun dan dibenarkan makan di gerai dan restoran.

Turut dibenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Riadah di taman tanpa lengkap vaksin, MBSA minta pengunjung patuh SOP

SHAH ALAM, 28 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menasihatkan orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika beriadah di taman awam di bandar raya ini yang kembali dibuka 22 Ogos lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata antaranya pengunjung sudah mendapat vaksin Covid-19 lengkap iaitu selepas 14 hingga 28 hari menerima suntikan dos kedua.

“Pengunjung juga harus mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak berkumpul.

“Petugas unit renjer akan memantau untuk memastikan pengunjung mematuhi SOP, penggunaan peralatan senaman tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tinjauan di Taman Tasik Shah Alam bersama renjer MBSA di sini mendapati kebanyakan pengunjung yang datang untuk bersukan, rekreasi dan riadah mengikut SOP.

Namun masih ada segelintir individu belum lengkap vaksin datang termasuk membawa anak kecil sebelum dinasihatkan untuk tidak memasuki kawasan taman bagi mengelakkan penularan virus.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan semua taman awam ditutup untuk sebarang aktiviti ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Berikut adalah SOP bagi aktiviti riadah di taman awam bandar raya ini:

– Mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter di kawasan terbuka termasuk secara separa terbuka

– Aktiviti joging, senaman, berbasikal, taichi dan semua aktiviti sukan kendiri tanpa bersentuhan fizikal serta bukan berkumpulan dibenarkan

– Penggunaan alatan mainan kanak-kanak, alatan senaman gim luar (outdoor gym) tidak dibenarkan

– Berkelah, berkhemah dan berkumpul tidak dibenarkan

– Menjamu selera (dine-in) di kafe dibenarkan dengan SOP yang ketat

– Taman Persahabatan Selangor-Jepun, Musical Fountain, Flying Fox dan Jambatan Gantung Kanopi di Taman Tasik Shah Alam ditutup

– Kehadiran pengunjung hanya di dalam radius 10 kilometer dari kediaman dan jumlah pengunjung 50 peratus berdasarkan keluasan taman rekreasi

MBSA juga menghuraikan maksud telah melengkapkan pengambilan vaksin sebagai:

1. Dua dos suntikan – Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac selepas hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

2. Satu dos suntikan – Johnson & Johnson dan CanSino selepas hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ hanya benarkan riadah di taman awam kawasan kejiranan

SHAH ALAM, 18 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hanya membenarkan aktiviti sukan dan riadah secara individu di taman rekreasi awam sekitar kawasan kejiranan.

Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan menyebut aktiviti tanpa sentuhan fizikal perlu mematuhi jarak antara dua hingga tiga meter mulai jam 7 pagi hingga 8 malam.

“Penduduk di negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan mengunjungi taman awam bagi riadah namun terhad untuk joging, berbasikal, senaman dan permainan individu.

“Ia tidak boleh melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan aktiviti terhad di taman-taman rekreasi awam berhampiran kediaman sahaja,” kata pihak berkuasa tempatan itu.

Sementara itu, MBPJ memamklumkan beberapa taman rekreasi awam kekal ditutup demi keselamatan orang ramai susulan kes Covid-19 di negeri ini masih tinggi.

Penutupan itu selaras Seksyen 24, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988) (Akta 342) dan Akta Polis 1967.

Senarai taman rekreasi awam yang ditutup seperti berikut:

1. Taman Bandaran Kelana Jaya
2. Taman Tasik Komuniti Kelana Jaya
3. Taman Jaya
4. Taman Aman
5. Taman PJS 10
6. Taman Rimba Riang, Kota Damansara
7. Taman Railway
8. Taman Bandar Tasik Mutiara Damansara
9. Taman Padang Kota, Kota Damansara
10.Taman Seksyen 8, Kota Damansara
11.Taman Ara Damansara
12.Taman Ara PJU 1A/29
13.Taman Centre Spine, Bandar Sri Damansara
14.Taman Seksyen 6 Kota Damansara
15.Taman Rakyat Damai Kita, Damansara Damai (Urban Park 1 – 5)
16.Hutan Pendidikan Bukit Gasing

Maklumat lanjut mengenai tatacara operasi piawai (SOP) penuh PPN boleh diakses di laman sesawang www.mkn.gov.my atau melalui media sosial MBPJ.

Kerajaan membenarkan taman rekreasi awam di semua negeri dalam fasa satu PPN dibuka untuk tujuan riadah mulai 16 Ogos.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutama dalam usaha mengurangkan tekanan mental.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Jangan salah guna kebenaran riadah ketika PKP

SHAH ALAM, 24 JAN: Orang ramai diingatkan tidak menyalah guna kebenaran beriadah yang diberikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kebenaran tersebut harus dipatuhi sebaiknya bagi mengelak kemudaratan kepada individu lain.

“Patuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam setiap tindakan dan aktiviti untuk melindungi diri dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” tulisnya di Twitter.

Kenyataan tersebut susulan video tular aktiviti berbasikal secara berkumpulan di Taman Hillpark-Seri Pristana, Sungai Buloh semalam.

Kerajaan melaksanakan semula PKP bermula 13 Januari susulan peningkatan kes Covid-19 namun memberi kelonggaran terhadap beberapa sektor.

Kebenaran meliputi aktiviti riadah antaranya joging dan berbasikal tetapi secara bersendirian dengan jarak dua meter daripada individu lain.