Categories
SELANGOR

Cadangan tambah baik jejantas Taman Rajawali

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 13 JAN: Kertas cadangan bagi permohonan menambah baik jejantas untuk pejalan kaki berhadapan Taman Rajawali, di sini, akan dibentangkan kepada kementerian berkaitan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, kertas cadangan tambahan itu akan disediakan kontraktor kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk diteliti dan dipertimbangkan.

“Saya dan JKR Daerah Kuala Selangor akan panjangkan perkara ini kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian bagi memohon peruntukan tambahan.

“Isu jejantas antara perkara yang dibincangkan dalam sesi pertemuan berhubung projek menaik taraf dan pelebaran Jalan Persekutuan FT54 di Assam Jawa-Bukit rotan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, perkara lain turut dibincangkan termasuk mempertingkat aspek keselamatan, di simpang Jalan Teluk Pian ekoran kemalangan yang kerap berlaku di kawasan terbabit.

Katanya, penambahbaikan itu perlu bagi memberi keselesaan kepada penduduk, khususnya ketika pemanduan pada lewat malam.

“Simpang Teluk Piah akan ditingkatkan ciri keselamatan seperti penambahan tanda amaran, had laju, pembatas jalan, pelekat reflektif dan pemasangan lampu solar (spotlight).

“Saya juga akan mencadangkan laluan alternatif keluar masuk penduduk Taman Kasawari dan akan dipanjangkan kepada Pegawai Daerah demi memudahkan urusan harian penduduk,” katanya.