Categories
SELANGOR

Fitnah Raja Muda : Rahim mengaku tidak bersalah

SHAH ALAM, 5 OKT : Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kes fitnah Raja Muda Selangor.

Rahim dibenarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, lapor theSundaily.

RAHIM THAMBY CHIKSebelum ini, Rahim menerusi laman facebooknya mendakwa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menukar agama kepada Katolik hingga mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak, dan kemudiannya menarik balik posting tersebut.

Susulan dari kenyataan itu, Dewan DiRaja Selangor menafikan dakwaan berkenaan dan melahirkan kekesalan serta menyelar tindakan terbabit sebagai fitnah, hasutan dan berniat jahat.

Pada 2 Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata siasatan terhadap Rahim selesai dan menunggu tindakan lanjut Jabatan Peguam Negara.

-NR-

Categories
SELANGOR

PAN Selangor gesa polis siasat kes fitnah Raja Muda

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 OKT: Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berhubung dakwaan melampau beliau ke atas Raja Muda Selangor, baru-baru ini.

Ketuanya, Abbas Salimmi Datuk Adzmi, berkata laporan dibuat ke atas laman Facebook yang menggunakan nama Rahim Tamby Chik agar kes itu disiasat di bawah Akta Fitnah 1957.

PAN SELANGOR“Sebagai rakyat jelata yang menghormati dan kasihkan institusi diraja, kami melahirkan kekesalan di atas kenyataan itu apatah lagi ianya melibatkan akidah.

“Perlu diingat, Raja Muda Selangor adalah pewaris takhta kesultanan dan Sultan Selangor adalah Ketua Agama Islam Negeri,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Beliau hadir jam 10 pagi ditemani Pengerusi Pro Guam Amanah, Zainal Said dan beberapa ahli Pemuda PAN Selangor.

Pada 25 September lalu, Rahim menerusi laman Facebooknya memberi komen pertukaran agama Raja Muda Selangor dan mengaitkannyna sebagai perkhabaran menyedihkan umat Islam.

Susulan kenyataan itu, Dewan Di-Raja Selangor menafikan dakwaan berkenaan dan melahirkan kekesalan serta menyelar tindakan itu sebagai fitnah, hasutan dan berniat jahat.

Bagaimanapun, Rahim sudah membuat kenyataan permohonan maaf namun sehingga kini masih tidak menarik kembali dakwaan itu.