Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Buku panduan peraturan Dewan Rakyat dilancar

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof semalam melancarkan sebuah buku bertajuk Malaysian Parliamentary Procedure: A Guide to the Standing Orders of the Dewan Rakyat (Prosedur Parlimen Malaysia: Panduan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat).

Mohamad Ariff dalam ucapannya berkata sepanjang tempoh sejarah parlimen negara, buku panduan sedemikian belum pernah dihasilkan, sekurang-kurangnya sejak 1969.

“Secara khusus, (buku) manual ini untuk memberikan garis panduan meluas, bermaklumat dan arahan kepada ahli parlimen mengenai Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat terutama untuk ahli baharu.

“Buku ini akan menjadi panduan yang praktikal kepada ahli Dewan Rakyat. Panduan penggubal undang-undang bagi membolehkan ahli parlimen mengemudi kerumitan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat dengan lebih mudah,” katanya.

Mohamad Ariff turut memuji Institut Demokrasi Nasional serta pengarang buku Monique M. Smith dan Maha Balakrishnan kerana kegigihan yang tidak berkesudahan dalam menghasilkan manual tersebut.

Beliau berkata manual itu akan dimasukkan dalam projek buku bertajuk ‘Undang-undang, prinsip dan amalan di Dewan Rakyat’ yang memberikan penjelasan serta ilustrasi komprehensif mengenai prinsip, peraturan dan prosedur parlimen.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

IR4.0 beri kesan kepada semua disiplin undang-undang

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) akan memberi kesan kepada semua disiplin undang-undang, ekonomi dan pelbagai industri secara keseluruhan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata IR4.0 boleh dikategori sebagai penggabungan teknologi baharu yang sangat berkuasa yang menghilangkan garisan antara dunia fizikal, digital dan biologi.

“Dengan ketidakpastian yang timbul dari revolusi perindustrian akan datang, peralihan yang tidak pernah berlaku sebelum ini akan mencetuskan peluang dan harapan yang tinggi, tetapi pada masa yang sama akan menimbulkan kebimbangan dan ketidakselesaan.

“Saya rasa kita perlu melihat dengan teliti undang-undang, bagaimana ia akan memberi kesan kepada peguam secara keseluruhan, mungkin peguam akan menjadi berlebihan, semuanya boleh dilakukan menerusi robotik pintar dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Undang-undang Antarabangsa ke-10 dengan tema ‘Undang-undang, Kerajaan dan Masyarakat: Menangani Cabaran IR4.0’ di Parlimen di sini hari ini.

Persidangan dua hari yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) menyediakan platform untuk intelektual daripada pelbagai bidang dan disiplin dalam undang-undang untuk membahaskan dan membincangkan semua aspek undang-undang dengan penekanan khusus terhadap isu kepelbagaian undang-undang.

Di samping itu, beliau berkata teknologi canggih memisahkan produktiviti daripada tenaga kerja.

“Kemajuan yang seterusnya bermakna, kita mencapai sasaran dengan margin yang signifikan, tetapi dengan pekerja yang lebih sedikit.

“Ia terbukti dalam era teknologi, bahawa permintaan untuk buruh berkemahiran rendah telah menurun sementara pekerja yang berpendidikan tinggi dibayar lebih tinggi dan dikehendaki, menyebabkan peningkatan dalam ketidaksamaan,” katanya.

-BERNAMA