Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

IR4.0 beri kesan kepada semua disiplin undang-undang

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) akan memberi kesan kepada semua disiplin undang-undang, ekonomi dan pelbagai industri secara keseluruhan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata IR4.0 boleh dikategori sebagai penggabungan teknologi baharu yang sangat berkuasa yang menghilangkan garisan antara dunia fizikal, digital dan biologi.

“Dengan ketidakpastian yang timbul dari revolusi perindustrian akan datang, peralihan yang tidak pernah berlaku sebelum ini akan mencetuskan peluang dan harapan yang tinggi, tetapi pada masa yang sama akan menimbulkan kebimbangan dan ketidakselesaan.

“Saya rasa kita perlu melihat dengan teliti undang-undang, bagaimana ia akan memberi kesan kepada peguam secara keseluruhan, mungkin peguam akan menjadi berlebihan, semuanya boleh dilakukan menerusi robotik pintar dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Undang-undang Antarabangsa ke-10 dengan tema ‘Undang-undang, Kerajaan dan Masyarakat: Menangani Cabaran IR4.0’ di Parlimen di sini hari ini.

Persidangan dua hari yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) menyediakan platform untuk intelektual daripada pelbagai bidang dan disiplin dalam undang-undang untuk membahaskan dan membincangkan semua aspek undang-undang dengan penekanan khusus terhadap isu kepelbagaian undang-undang.

Di samping itu, beliau berkata teknologi canggih memisahkan produktiviti daripada tenaga kerja.

“Kemajuan yang seterusnya bermakna, kita mencapai sasaran dengan margin yang signifikan, tetapi dengan pekerja yang lebih sedikit.

“Ia terbukti dalam era teknologi, bahawa permintaan untuk buruh berkemahiran rendah telah menurun sementara pekerja yang berpendidikan tinggi dibayar lebih tinggi dan dikehendaki, menyebabkan peningkatan dalam ketidaksamaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

IR4.0: Malaysia hadapi risiko hilang bakat

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Malaysia berisiko hilang potensi inovasi baharu bakat semula jadi yang belum diteroka, jika industri tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana tidak mengguna pakai Industri 4.0 (IR4.0) serta kemajuannya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, industri juga perlu berkembang dan berinovasi selari keperluan IR4.0.

“Revolusi Perindustrian Keempat akan mengubah jenis kerja yang diperlukan dalam industri. Kami berpendirian sebagai sebuah negara, kita mesti mewujudkan pekerjaan untuk masa depan.

“Matlamat kami untuk mengautomasikan kerja dan menginsankan pekerjaan. Biarkan mesin melakukan kerja berbahaya dan berulang serta memastikan manusia mempunyai keupayaan untuk melaksanakan kreativiti, empati juga interaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Beyond Paradigm Summit 2019, di sini.

Oleh itu Dr Mahathir berkata, tindak balas segera perlu bagi membolehkan Malaysia mewujudkan, mengguna pakai dan mengintegrasikan penyelesaian teknologi tersendiri untuk mentransformasikan tenaga kerja serta industri.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya inovasi teknologi dalam rangka kerja ekonomi Malaysia, hubungan simbiotik perlu dijalin antara agensi kerajaan dan sektor swasta yang relevan, katanya.

“Kami gembira melihat Serba Dinamik IT Solutions menjadi peneraju untuk memulakan aktiviti ini bagi menggerakkan dan memandu arah perniagaan dalam opsyen digital,” katanya.

Dr Mahathir juga menggesa PKS dan perniagaan tempatan supaya berada di barisan hadapan transformasi digital untuk terus menarik pelabur dan berdaya saing dalam skala global.

Beliau berkata, anjakan paradigma dalam kalangan PKS, terutama dalam inovasi dan penyelesaian kreatif, penting untuk mendorong pergerakan industri perkilangan, memandangkan ia membabitkan 98.5 peratus syarikat pembuatan dan 42 peratus pekerjaan.

“Untuk mewujudkan ekosistem Industri 4.0, kedua-dua pemimpin industri dan pembekal bakat perlu memahami sepenuhnya dan mengguna pakai teknologi pengganggu ini.

“Buat masa ini, mereka wajib menerima pakai dan seterusnya perlu menguasai teknologi berkenaan,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, walaupun semua gangguan teknologi yang mengancam pekerjaan tradisional, kerajaan bertekad untuk mewujudkan masa depan Malaysia yang adil dan berperikemanusiaan, disokong oleh kemakmuran bersama.

“Selain itu, 65 peratus anak-anak yang kini dalam pendidikan rendah, diunjurkan akan bekerja dalam pekerjaan yang tidak wujud hari ini.

“Memandangkan 70 peratus tenaga kerja hari ini terdiri daripada lulusan SPM, meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dari semua peringkat umur sangat penting dalam memastikan kejayaan dalam landskap ekonomi kita untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Sidang Kemuncak Beyond Paradigm 2019 itu dianjurkan oleh Serba Dinamik Holdings Bhd.

Sidang kemuncak dua hari yang bertemakan ‘Mewujudkan Penyelesaian Digital Tersendiri’ itu mempamerkan teknologi canggih yang merangkumi idea teras automasi dan pertukaran data IR4.0.

-BERNAMA