Categories
AGENDA NASIONAL

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa esok

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok.

Syed Danial berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari esok menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini bersamaan 29 Syaaban 1442 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan itu turut menyatakan proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi seluruh negara.

Menurut kenyataan itu juga, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.

Ramadan tahun ini merupakan kali kedua yang disambut umat Islam dalam keadaan negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Umat Islam sambut Aidilfitri pada Ahad

SHAH ALAM, 22 MEI: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Ahad ini.

Pengumuman itu dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi.

“Bagi menyempurnakan titah perintah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Ahad 24 Mei 2020,” katanya.

Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri Rabu ini

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Rabu ini, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, malam ini.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Rabu, 5 Jun 2019,” katanya.

Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan. – BERNAMA