Categories
SELANGOR

Exco: Kerajaan Negeri akan kaji kapasiti tangki air pangsapuri

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 MAC: Masalah tangki air yang didakwa gagal menampung keperluan penduduk di beberapa kawasan pangsapuri di Selangor melebihi dua hari mendapat perhatian Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad bagi tujuan kajian lanjut.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan merujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terbabit berhubung kapasiti tangki digunakan di sesuatu kawasan perumahan berkenaan.

“Kita akan tengok balik dari segi kapasiti tangki digunakan. Berapa yang minimum? Adakah penggunaannya mengikut peraturan dan undang-undang?,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

YB Iskandar 1Iskandar berkata, Kerajaan Negeri akan turut melihat daripada sudut teknikal dengan menambil kira seandainya berlaku kecemasan sama ada tangki terbabit boleh bertahan sehingga dua atau tiga hari.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan meminta PBT dan Jabatan Perancangan Negeri melihat dan mengkaji saiz tangki berhubung keperluan penambahan bekalan air jika perlu.

“Kita tidak boleh tambah saiz begitu sahaja kerana lebih besar tangki maka kedudukannya lebih tinggi dan berat maka struktur binaannya sudah tentu berbeza,” katanya.

Iskandar berkata, perbincangan sudah diadakan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) berkenaan operasi pengagihan air di kawasan perumahan di Selangor.

Tangki PPR Kota DamansaraKatanya, maklum balas daripada SYABAS menyatakan bekalan air di sesuatu kawasan perumahan bergantung kedudukan dan lokasinya.

“Kalau kawasannya dekat, maka bekalan air akan sampai cepat dan begitu sebaliknya. Maka,kita harap akan dapat selesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

-NFN-