Categories
SELANGOR

Dalang sampah Tasik Seri Aman tukar lokasi, enggan kerjasama

Oleh; NAEEM RAFFI

PUCHONG, 17 JULAI: Isu sampah di Tasik Seri Aman yang disangka sudah berakhir berlaku sebaliknya apabila dalang tambakan sampah menukar lokasi aktiviti ke tebing Sungai Klang di Kampung Seri Aman Hilir menuju ke Seri Aman Mas.

Timbunan sampah seperti sisa binaan, kanvas dan plastik, bahkan sinki, atap genting termasuk karpet buruk memenuhi tebing sungai hingga ke jalan kampung, namun penduduk seakan tidak peduli.

“Berdasarkan maklumat daripada aduan penduduk, difahamkan aktiviti pembuangan sampah haram berleluasa hingga ke sempadan Majlis Perbandaran Sepang (MPS).

OLYMPUS DIGITAL CAMERA“Selepas beberapa tindakan proaktif termasuk penguatkuasaan MPSJ di lokasi pembuangan sampah di Tasik Seri Aman, mereka beralih ke kawasan lain dan lokasi di tebing Sungai Klang itu mungkin serpihan daripadanya,” jelas Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Rosharizan Mohd Roslan.

Pada Jun lalu, MPSJ memulakan kerja pembersihan di Taman Rekreasi Tasik Seri Aman yang sebelum ini tercemar teruk ekoran kerja penambakan haram dengan sampah.

Selangor Kini difahamkan dalang menambak tasik seluas 12 ekar itu bagi tujuan pembangunan, selepas tanah di dalam tasik diagihkan kepada pihak tertentu.

Selangor Kini dan MPSJ melakukan tinjauan susulan, namun usaha mendekati tebing sungai berhampiran Kampung Seri Aman Hilir dihalang sekumpulan pemuda dengan walkie-talkie.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA“Boleh saya tahu kenapa abang ambil gambar kawasan ini. Dari mana dan sudah berapa lama abang pantau tempat ini?” soal seorang pemuda awal 30-an yang mendakwa dirinya sebagai penyelia projek tambakan tebing sungai dari kontraktor yang ditugaskan.

“Laluan tepi sungai terhakis dan kami diarahkan untuk tambak tebing sungai ini untuk pastikan hakisan tidak musnahkan jalan,” dakwanya.

Dakwaan lelaki itu bagaimanapun tidak disahkan MPSJ dan Selangor Kini beredar sebelum kejadian tidak diingin berlaku.

“Kita akan siasat sama ada ia berlaku di dalam kawasan seliaan MPSJ atau Majlis Perbandaran Sepang MPS. Jika benar ia adalah pembuangan sampah haram, tindakan tegas akan dikenakan,” katanya.

-NFN-