Categories
NASIONAL

Wujudkan TBK bela pekerja tertindas – PSM

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 18 OGOS: Kerajaan Persekutuan digesa mewujudkan Tabung Pemberhentian Kerja (TBK) bagi membela nasib golongan pekerja yang ditamatkan perkhidmatan oleh majikan, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Setiausaha Agungnya, A Sivarajan, berkata cadangan itu ekoran kebanyakan kes pemberhentian pekerja tidak mendapat bayaran ganti rugi daripada syarikat atau majikan.

“Banyak syarikat menamatkan perkhidmatan pekerja secara serta merta tanpa pampasan atau bayaran dan PSM membangkitkan isu syarikat memberhentikan pekerja akibat bankrap,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan aduan diterima mendapati ramai dalam kalangan pekerja diberhentikan tidak mendapat ganti rugi atau gaji antara empat ke lima bulan.

Justeru, katanya, PSM menggerakkan kempen bagi menggesa kerajaan mewujudkan TBK mulai awal Julai lalu dan ia mendapat sambutan positif daripada pelbagai pihak khususnya pekerja.

“Kita memulakan kempen menerusi dalam talian dan ia mendapat sambutan menggalakkan dengan kebanyakan mereka yang ditamatkan perkhidmatan menyatakan sokongan terhadapnya.

PSM 1“Lebih 40,000 risalah dan kad sokongan sudah diedarkan dengan lebih 2,000 kad berjaya dikumpulkan kembali setakat ini,” katanya yang menyasarkan kutipan 20,000 kad menjelang akhir tahun ini.

Pada masa sama, Sivarajan berkata, PSM akan mengemukakan semua kad sokongan dengan tandatangan orang ramai itu kepada Kementerian Sumber Manusia kelak.

Katanya, PSM menerima aduan pemberhentian pekerja antaranya daripada syarikat Persatuan Automobil Malaysia (AAM), High 5 Consolidated Berhad (High 5) dan lain-lain.

“Masalah sekarang adalah banyak syarikat yang jatuh bankrap dan memberhentikan pekerja, maka apa berlaku kepada mereka?” soalnya.

-AA-