Categories
AGENDA NASIONAL

Astaf gantung sementara PSM daripada aktiviti sepak takraw

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menggantung sementara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan itu.

Astaf dalam satu kenyataan memaklumkan penggantungan itu, sehingga perbicaraan diadakan, telah diserahkan kepada PSM berikutan kenyataan presiden persatuan itu Datuk Seri Ahmad Ismail mengenai pemilihan badan pentadbir sepak takraw Asia pada 1 Mac lepas.

“Tindakan presiden dan/atau kata-kata bertulis telah menjadikan permainan sepak takraw yang sepatutnya dipromosikannya, mendapat nama buruk. Jawatankuasa Eksekutif Astaf telah sebulat suara mengundi untuk meneruskan prosiding tatatertib terhadap PSM kerana melanggar perjanjian,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, selepas Jawatankuasa Tatatertib Astaf menerima jawapan bertulis daripada PSM, ia akan mengadakan perbicaraan dan PSM perlu menunjukkan sebab mengapa ia tidak boleh dikeluarkan daripada Astaf dan/atau menghadapi sekatan lain.

Jika didapati bersalah, PSM boleh dikenakan mana-mana hukuman berikut – menentukan tempoh penggantungan, penyingkiran, denda, hukuman gabungan atau tetap – kerana ini bukan kesalahan pertama yang dilakukan PSM dan Ahmad.

Kenyataan itu menambah, pada 14 Mac 2008, PSM berjanji kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) untuk mematuhi objektif Istaf dan perlembagaan Astaf; menyokong Istaf dan Astaf dalam pelbagai objektif.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wujudkan TBK bela pekerja tertindas – PSM

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 18 OGOS: Kerajaan Persekutuan digesa mewujudkan Tabung Pemberhentian Kerja (TBK) bagi membela nasib golongan pekerja yang ditamatkan perkhidmatan oleh majikan, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Setiausaha Agungnya, A Sivarajan, berkata cadangan itu ekoran kebanyakan kes pemberhentian pekerja tidak mendapat bayaran ganti rugi daripada syarikat atau majikan.

“Banyak syarikat menamatkan perkhidmatan pekerja secara serta merta tanpa pampasan atau bayaran dan PSM membangkitkan isu syarikat memberhentikan pekerja akibat bankrap,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan aduan diterima mendapati ramai dalam kalangan pekerja diberhentikan tidak mendapat ganti rugi atau gaji antara empat ke lima bulan.

Justeru, katanya, PSM menggerakkan kempen bagi menggesa kerajaan mewujudkan TBK mulai awal Julai lalu dan ia mendapat sambutan positif daripada pelbagai pihak khususnya pekerja.

“Kita memulakan kempen menerusi dalam talian dan ia mendapat sambutan menggalakkan dengan kebanyakan mereka yang ditamatkan perkhidmatan menyatakan sokongan terhadapnya.

PSM 1“Lebih 40,000 risalah dan kad sokongan sudah diedarkan dengan lebih 2,000 kad berjaya dikumpulkan kembali setakat ini,” katanya yang menyasarkan kutipan 20,000 kad menjelang akhir tahun ini.

Pada masa sama, Sivarajan berkata, PSM akan mengemukakan semua kad sokongan dengan tandatangan orang ramai itu kepada Kementerian Sumber Manusia kelak.

Katanya, PSM menerima aduan pemberhentian pekerja antaranya daripada syarikat Persatuan Automobil Malaysia (AAM), High 5 Consolidated Berhad (High 5) dan lain-lain.

“Masalah sekarang adalah banyak syarikat yang jatuh bankrap dan memberhentikan pekerja, maka apa berlaku kepada mereka?” soalnya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Laksana siasatan profesional jika benar ada salah guna kuasa

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak seharusnya terburu-buru menukar posisi Menteri Besar sebelum pilihan raya parti itu.

Setiausaha Agung, Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan berpendapat adalah lebih baik jika PKR menunggu keputusan penuh pilihan raya parti seterusnya melantik calon jawatan itu melalui keputusan kongres atau proses lain.

Katanya, penukaran jawatan dan menyatakan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terbabit dalam korupsi, salah guna kuasa dan agen Umno boleh disimpulkan hanya sebagai isu perebutan kuasa.

PAKATAN RAKYAT“Ini adalah pandangan peribadi yang meminta menyatakan pandangan saya dan PSM dalam isu ini.

“Daripada tinjauan saya juga, ramai ahli parti yang memberikan hujah bahawa MB perlu ditukar, manakala ramai rakyat yang merasakan MB sudah menjalankan tugas dengan baik, maka ramai yang muak dengan isu ini.

“Oleh itu, Pakatan Rakyat (PR) juga perlu menanggung risiko sebagai parti yang membuat keputusan jika rakyat hilang kepercayaan terhadap mereka,” katanya melalui laman sosial Facebook.

Arulchelvan berkata, PSM juga berpendirian harus menggunakan kuasa rakyat bagi memastikan calon pilihan parti diterima semua pihak jika pihak istana tidak menerima cadangan calon MB.

arutchelvan-psm“Dalam isu ini, saya menyokong penuh kenyataan Dr Kua Kia Soong yang mahukan siasatan dijalankan secara profesional jika benar terdapat salah guna kuasa.

“Satu siasatan yang bebas dan adil harus dilaksanakan dan siasatan harus dikendalikan bukan oleh pihak parti kerana ia mungkin membabitkan ‘conflict of interest’,” katanya.

Mengulas lanjut dakwaan sesetengah pihak bahawa banyak isu tidak selesai di negeri itu, Arul berkata, ia bukan kesalahan peribadi Abdul Khalid tetapi Kerajaan Negeri.

Katanya, hal itu kerana Kerajaan Negeri tidak dapat berfungsi kerana krisis dalaman yang berlaku.

“Selagi krisis dalaman tidak diselesaikan, maka isu pentadbiran dan semuanya akan memberi impak,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Adam Adli Bebas, Polis Terus Tangkap Pemimpin PR

tahanan-1

SHAH ALAM, 23 MEI: Sejurus pembebasan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim pagi ini, beberapa pimpinan Pakatan dan NGO Pro-Pakatan ditahan polis dibawah Seksyen 4 (1) C Akta Hasutan 1948.

Laporan terbaru menerusi laman sosial Facebook memaklumkan, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abd Ghafar ditahan polis.

Sebelum itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Jurucakap Gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim ditahan polis tengah hari ini dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Menurut kenyataan media ringkas Setiausaha Pejabat Ahli Parlimen Batu, Rozan Azen mat Rasip kepada Tv Selangor, Tian Chua ditahan di Lapangan Terbang LCCT.

“Tian Chua DAN aktivis Haris Ibrahim tadi ditahan polis di LCCT dan dibawa ke Balai Polis Jinjang,” katanya ringkas.

Berdasarkan rekod TV Selangor, Haris Ibrahim dilihat berada di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika prosiding mahkamah berkaitan Adam Adli pagi ini.

Menurut laporan PSM, Haris Ibrahim ditahan ketika berada di Segambut.

Kesemua penahanan ini dipercayai berpunca daripada ucapan pidato yang disampaikan pada forum malam 13 Mei di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Tv Selangor sedang berusaha mengesahkan lokasi mana Tamrin didakwa ditahan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PSM Guna Lambang PKR

Nasir and Jeyakumar PKR 01

PETALING JAYA, 19 APRIL : Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan bertanding di DUN Kota Damansara dan Parlimen Sungai Siput menggunakan logo PKR dalam pilihanraya umum ke 13 (PRU13) kali ini.

Penyandang Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, keputusan menggembirakan itu akan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara PR dan Umno-BN di kedua-dua kawasan dalam pilihanraya nanti.

“PKR dengan sukacitanya mengumumkan bahawa dua calon dari PSM, Dr Nasir Hashim dan Dr Michael Jeyakumar Devaraj akan bertanding di bawah logo PKR di Kota Damansara dan Sungai Siput.

“Surat kuasa untuk mereka berdua sebagai calon PKR telah ditandatangani oleh Residen PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan akan diserahkan kepada mereka selepas ini.

“Ia adalah situasi menang menang dengan PR menetap dua calon ini kekal di dua kawasan tersebut.

“Mereka adalah penyandang dan memiliki kekuatan diperlukan biarpun PSM turut berminat untuk bertanding di kawasan lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam PRU12 pada 2008, PSM bertanding dengan logo PKR di tiga kawasan iaitu dua kerusi DUN di Selangor iaitu Kota Damansara dan Semenyih manakala satu Parlimen di Perak, Sungai Siput.

Di Kota Damansara, Dr Nasir, 67, menewaskan calon Umno-BN, Zein Isma Ismail, 53, dengan majoriti 1,075 sementara Dr D Jeyakumar, 58, menewaskan calon MIC-BN, Datuk Seri S Samy Vellu dan calon Bebas, Nor Rizan Oon, 54, dengan majoriti 1,821.

“Apabila calon PSM bertanding dengan logo PKR, kita akan memberikan sokongan penuh dari segala aspek dalam tempoh kempen hingga pilihanraya bagi memastikan calon itu menang.

“Bila calon PSM menang maksudnya PKR menang seterusnya gabungan PR menang,” katanya.

Categories
NASIONAL

‘Saya Bukan Hero, Saya Cuma Mahu Rakyat Dapat Pendidikan Percuma’

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 03

KUALA LUMPUR 18 JAN : Pendidikan adalah hak setiap rakyat sama seperti tempat tinggal dan makanan dan saya juga bukan hero yang perlu disanjung tinggi kerana saya percaya ramai lagi pejuang yang melakukan pelbagai usaha, lebih hebat dari saya demi rakyat, ungkap KS Bawani dengan rendah diri.

Bawani yang kini menuntut di tahun kedua jurusan Undang-undang di Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pelbagai sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat atas keberaniannya menyuarakan idea pendidikan percuma dalam satu forum.

Rakaman forum tersebut menyaksikan bagaimana hujah Bawani dimatikan oleh tindakan moderator forum, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang bertindak menarik mikrofon di hadapan Bawani yang sedang menyampaikan hujah-hujahnya.

Susulan insiden itu, beliau kini menjadi sebutan dan diangkat sebagai ikon mahasiswa yang dilihat berani dalam menyuarakan pandangan yang nyata bertentangan dengan polisi kerajaan pemerintah.

“Jangan pandang saya seolah-olah saya di langit kerana saya hanyalah insan kerdil yang hanya bersuara untuk menuntut keadilan buat semua.

“Saya yakin Malaysia mampu memberikan pendidikan percuma sepertimana yang dlaksanakan negara-negara seperti Cuba, Brazil, Argentina yang mempunyai pendapatan negara kurang daripada Malaysia.

“Pendidikan bukanlah satu bentuk perniagaan, komoditi atau barangan untuk dijual beli, ia adalah hak setiap insan,” tegas Bawani.

Beliau yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menghadiri sidang media anjuran pertubuhan yang dinaunginya sendiri, Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini pagi tadi.

Menurutnya lagi, mahasiswa perlu dibebaskan daripada kepompong pemerintah atau kerajaan bagi menjamin hak mahasiswa dalam menyuarakan pandangan serta idea baru demi kemajuan negara sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Ia perlu dilaksanakan dalam kehidupan sehari-hari kita dan bukan sekadar di atas kertas sahaja.

“Pihak universiti juga perlu neutral dan bebas tanpa diselimuti usaha-usaha ‘brainwash’ pihak tertentu.

“Biarkan mahasiswa sendiri menilai mana baik, mana buruk,” ujar Bawani.

Berusia 28 tahun, Bawani begitu konsisten dalam perjuangannya malah begitu aktif dalam pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan hak rakyat sejak berusia belasan tahun lagi.

Sejak terlibat dalam NGO seperti Communication Development Center (CDC); iaitu sayap utama Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada usia 19 tahun lagi, Bawani secara aktif memberi kelas tambahan secara percuma di estet-estet dan kampung-kampung.

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 02

Categories
NASIONAL

Dr Maszlee : Tidak Mustahil Lebih Ramai Agamawan Sertai DAP

dr mazleen Golongan Agamawan Sertai DAP 01

SHAH ALAM, 21 DIS: Tidak mustahil lebih ramai golongan agamawan Islam seperti ustaz menyertai DAP suatu hari nanti kerana parti itu merupakan parti yang berbilang kaum seperti PKR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Penyertaan golongan agamawan di dalam DAP juga tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang menghairankan kerana DAP hari ini dilihat sebagai sebuah parti sosial demokrat yang memperjuangkan tadbir urus yang baik seperti mana PKR dan PSM.

Demikian menurut Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Dr Maszlee Malik kepada TV Selangor.

“Sebagai parti yang majmuk mereka perlu ada kepelbagaian wajah, maksud saya bukan sahaja golongan agamawan Islam sahaja, sekarang ini pun dah ada aktivis Kristian dan Buddha, mengapa tidak ada ustaz-ustaz atau aktivis Islam di dalamnya.

“DAP sendiri, setahu saya sudah ada kumpulan ustaz yang dah masuk DAP seperti Abdul Hakim, Mustakim dengan Fakri,” kata Dr Maszlee.

“Dalam PKR dan PSM yang sama seperti DAP nak tegakkan keadilan, ‘good governance’ dah ada golongan seperti Dr Manuaty, Dr Badrol Amin dan lain-lain,” ujar Dr Maszlee.

Sebelum 1998, masyarakat Melayu dilihat seolah-olah ‘takut’ mendekati parti DAP apabila selama lebih 50 tahun media arus perdana berjaya mainkan peranan mereka dengan memberikan gambaran bahawa DAP sebagai sebuah parti perkauman orang-orang Cina.

Bagaimanapun tembok pemikiran lama masyarakat Melayu terhadap DAP mulai runtuh sedikit demi sedikit apabila tercetusnya kebangkitan gerakan Reformasi pada 1998.

Kepercayaan masyarakat Melayu terhadap DAP dilihat semakin bertambah apabila parti itu menjalin kerjasama selepas pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di parlimen.

Malahan PAS yang turut menjadi mangsa media arus perdana dengan label ekstrimis Islam turut bersedia menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR, seuatu yang dianggap mustahil sebelum tahun 1998.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Demo Bantah Kegagalan SYABAS Urus Air Di Selangor

KAJANG 13 OGOS : Majoriti rakyat Selangor berpuashati dengan pertadbiran Kerajaan Negeri yang cekap dan pantas dalam menangani pelbagai masalah termasuk krisis air yang didakwa berlaku di negeri ini.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) jelas memberi perhatian akan kepentingan rakyat dengan memberi air sebanyak 20 meter padu secara percuma.

Menurutnya, pendekatan itu adalah tepat kerana air adalah sumber semulajadi dan hak semua rakyat.

Maka dengan itu, katanya, rakyat menyatakan sokongan apabila Kerajaan Negeri berusaha mengambilalih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana tindakan itu adalah tepat.

“Dalam satu dua minggu ini di beberapa kawasan semenyih berlaku gangguan air. Kita bimbang akan perkara ini kenapa tiba-tiba ada paip air yang pecah. Kerana Syabas nak buat catuan air tambahan pula pada bulan puasa.

“Ini adalah sabotaj dari segi politik kerana kita ada bukti yang jelas kerana ada pemotongan air di kawasan itu dan rakyat berasa marah. Bila kita mengadu akan hal ini, air akan diberikan balik pada waktu malam iaitu kira-kira jam 10 malam. Ini menyusahkan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas sesi demonstrasi di hadapan pejabat Syabas di sini hari ini.

Demonstrasi anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) itu dihadiri kira-kira 100 peserta mendapat perhatian orang ramai yang lalu lalang di laluan itu dengan kebanyakan kenderaan membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Adun Kajang, Lee Kim Sin berkata, Kerajaan Negeri sudah bersedia untuk mengambilalih pengurusan Syabas kerana memang berkemampuan berbuat demikian.

Menurutnya, dengan hasil kajian serta rujukan daripada pihak profesioanal yang pakar dalam perkara itu, Kerajaan Negeri mampu mengatasinya dengan perancangan alternatif yang lebih menguntungkan rakyat.

“Projek Rawatan Air Loji Langat 2 sebenarnya adalah satu penyelewengan wang rakyat di mana ianya menelan belanja lebih RM8 bilion. Penghantaran air dari Pahang tidak perlu dan memang satu pembaziran. Bukan setakat memburukkan keadaan semulajadi tetapi membazirkan wang.

“Malah bekas menteri, Lim Keng Yeik juga tidak bersetuju dengan projek ini dijalankan tetapi terpaksa akur dengan arahan diberikan kepadanya,” katanya.

Lee seterusnya berkata, masalah bekalan air mentah tidak berlaku di Selangor kerana ianya lebih dari mencukupi.

Maka, katanya, projek untuk menyalurkan air mentah dari negeri lain ini tidak perlu untuk tujuan tersebut.