Categories
NASIONAL

Kedah Akan Terus Dikuasai PAS

SHAH ALAM, 24 MEI : PAS yakin akan kekal mentadbir Kedah selepas Pilihanraya Umum ke-13 walau apa pun calon ternama yang akan diletakkan oleh Umno-BN seperti Timbalan Menteri Perdaganan dan Industri Antarabangsa Datuk Mukhriz Mahathir.

MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata Pas tidak gentar dengan spekulasi yang Umno-BN akan mencalonkan Mukhriz sebagai calon Menteri Besar di Kedah bagi meraih populariti daripada keluarga bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

“Tidak kisahlah Umno-BN hendak meletakkan sesiapa sahaja calon mereka tetapi akhirnya rakyat yang akan membuat keputusan melalui pilihanraya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Kedah semakin baik ditadbir menerusi pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan menafikan yang negeri itu lemah di bawah Pakatan Rakyat.

Sebelum in, setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur meramalkan Kedah akan jatuh ke tangan Umno-BN berikutan krisis Exco Kerajaan Kedah yang dipimpin Pas.

Ramalan itu juga berdasarkan ura-ura yang Pas berbalah dengan pemimpin DAP Kedah tentang agihan kerusi DUN.

Terbaru, sebuah akhbar pro-Umno-BN memaparkan artikel bahawa Mukhriz, yang juga Timbalan Perhubungan Umno-BN Kedah, mungkin akan di calonkan sebagai Menteri Besar.

Mahfuz berkata, ramalan Tengku Adnan mengenai kekalahan PAS Kedah dalam PRU-13 akan datang adalah retorik semata-mata.

“Dia tidak tahu perkembangan semasa Kedah selain hanya bergantung kepada isu-isu lama yang dimainkan semula kerana ketandusan isu,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau berkata, persefahaman diantara rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat baik dan soal perebutan kerusi tidak timbul kerana persetujuan sudah dibuat dan Umno-BN sengaja mempopularkan perkara ini.

Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu ketika dihubungi berkata rakyat lebih mementingkan kredibiti seorang pemimpin berbanding populariti individu semata-mata.

Beliau menafikan bahawa populariti PAS Kedah semakin merosot sambil menyatakan Umno-BN bebas meletakkan sesiapa sahaja calon mereka.