Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Petronas terus usaha harungi cabaran global kesan pandemik

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) percaya keadaan terburuk yang melanda mungkin sudah berakhir tetapi tidak bagi industri minyak dan gas secara keseluruhan dan syarikat khususnya, kerana tahun 2020 amat mencabar dengan kemerosotan yang ia mesti perakui bagi memenuhi standard perakaunan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata susut nilai atau penurunan itu adalah disebabkan harga minyak yang tidak menentu, yang telah menjejaskan kunci kira-kira Petronas sepanjang 2020 dan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lemah tahun lepas.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menyusut 5.6 peratus pada 2020, penurunan terbesar sejak penguncupan 7.4 peratus pada tahun 1998. Ekonomi merosot 17.1 peratus pada suku kedua disebabkan terutamanya oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Menurut pelaksanaan standard perakaunan, pelaburan penggiat minyak dan gas berdasarkan andaian harga minyak antara US$70 hingga US$80 setong (US$1 = RM4.03) kini perlu disusun semula.

“Apabila kami mengumumkan keputusan kewangan kami pada 26 Februari 2021 ini, kami harus mengumumkan keuntungan perakaunan dan mungkin ada susut nilai yang besar, sesuatu yang diakui oleh industri,” katanya kepada Bernama dan Berita Harian dalam satu wawancara eksklusif .

“Penurunan nilai yang besar ini berlaku kerana niaga hadapan minyak sebelumnya meningkat kepada US$60-US$70 setong, tetapi anggarannya kini telah berubah,” tambahnya.

Harga minyak pada masa ini berlegar sekitar US$60 setong.

“Paling buruk selepas pelarasan adalah pada suku kedua tahun lepas. Ia mungkin satu-satunya kerugian tempoh suku tahunan terbesar. Tetapi pada suku ketiga sudah ada sedikit pemulihan dalam garis pendapatan dan untung kasar, didorong oleh tahap keyakinan tertentu,” katanya.

Pada suku kedua 2020, Petronas mencatat susut nilai bersih sebanyak RM20.77 bilion. Susut nilai pada suku pertama dan ketiga, masing-masing sekitar RM4.67 bilion dan RM5.71 bilion.

Syarikat minyak negara itu turut mengalami kerugian bersih RM21 bilion pada suku kedua tetapi mengurangkan kerugian selepas cukai kepada RM3.37 bilion pada suku ketiga.

Untuk tempoh kumulatif sembilan bulan, Petronas merekodkan kerugian bersih RM19.89 bilion berbanding keuntungan bersih RM36.36 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019. Bagaimanapun, tidak termasuk susut nilai aset, ia boleh memperoleh keuntungan bersih untuk kedua-duanya suku kedua dan ketiga.

Tengku Muhammad Taufik berkata walaupun terdapat sedikit kelegaan berikutan pelonggaran dalam penguatkuasaan sekatan pergerakan yang menjuruskan kepada pembukaan secara berperingkat aktiviti seluruh dunia serta perkembangan positif mengenai vaksin, persekitaran tetap mencabar.

“(Sekarang) gelombang ketiga telahpun terjadi. Saya rasa sebahagian besar dunia telah mulai kembali kepada sekatan pergerakan terutama dengan kemunculan varian baharu (Covid-19). Bagi kami, pasaran tidak hanya mencabar di dalam negara, malah di luar negara juga,” katanya.

Petronas, yang turut bertapak di 32 negara, perlu menyesuaikan diri dengan tindak balas yang berbeza terhadap pandemik berkenaan.

“Kami harus mematuhi garis panduan kuarantin negara tuan rumah, dengan perubahan kru untuk memenuhi operasi aset dan unit kami dengan selamat seluruh dunia, termasuk Malaysia.”

Beliau turut menjelaskan Petronas harus memberikan maklum balas kepada loji-loji yang perlu menghentikan operasi masing-masing dan memperlahankan penghantaran gas asli cecair (LNG) menjelang suku ketiga dan keempat.

“Bagaimanapun, kargo LNG telah kembali meningkat pada suku pertama 2021 kerana musim sejuk yang melanda di beberapa bahagian Asia.

“Ini adalah sesuatu yang sekarang harus kita jalani sebagai norma. Kita harus lebih responsif terhadap tuntutan segera dan bertindak balas terhadap pasaran semerta, baik untuk produk petroleum, minyak mentah atau LNG, ” tambah beliau.

Tengku Muhammad Taufik turut berharap adanya petunjuk yang jelas mengenai pemulihan ekonomi secara berperingkat tahun ini, terutama dalam sektor-sektor seperti industri pengangkutan dan pelancongan, seiring dengan pelancaran program vaksinasi yang dapat merancakkan keyakinan pengguna.

Berdasarkan kepada unjuran kerajaan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 6.5 peratus dan 7.5 peratus pada tahun 2021.

“Kami berharap penggunaan petrokimia akan meningkat semula di kebanyakan negara-negara Asia yang sedang pesat membangun sebaik sahaja vaksin dilancarkan dan kami juga berharap lebih banyak penggunaan gas dalam peralihan tenaga kerana gas adalah bahan bakar fosil yang paling bersih,” ujar beliau.

Tengku Muhammad Taufik berkata bahawa tahun 2020 merupakan tahun bersejarah bagi industri minyak dan gas berikutan kekurangan bekalan, kemunculan pandemik Covid-19 dan pertikaian antara Arab Saudi dan Rusia dalam perang harga minyak yang menyaksikan niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI ) merudum ke paras negatif.

Penanda aras minyak lain, minyak mentah Brent turut menyusut mencecah paras harga serendah AS$19 setong pada minggu yang sama kejatuhan WTI.

“Harga minyak melonjak sehingga mencapai paras US$63 setong baru-baru ini, mungkin kerana keyakinan terhadap pelancaran program vaksinasi seluruh dunia. Saya rasa kadar pelancaran vaksin akan mempengaruhi tafsiran dalam bergerak ke hadapan,” katanya.

Pada pandangan Tengku Muhammad Taufik, industri ini akan diatur oleh jangkaan dan bukannya fundamental (asas) di celah-celah pelancaran program vaksinasi COVID-19 serta tindakan pengawalan oleh anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC).

“Kami percaya harga minyak amat lemah dan “artificial’’, itulah sebabnya mengapa kami harus melihatnya dengan teliti, secara objektif dan berdasarkan data empirikal. Kami percaya bahawa harga minyak akan turun lebih rendah daripada sebelumnya dalam jangka panjang.

“Kami tidak percaya harga minyak akan berada antara US$50 dan US$60, tetapi sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun ke hadapan sekiranya kami lihat untuk tujuan perancangan, projek kami perlu mencapai keuntungan walaupun dengan harga minyak pada US$40 setong,” ujar Tengku Muhammad Taufik.

Beliau berkata untuk tujuan peruntukan, Petronas selalu menilai daya maju projeknya pada US$40 setong dan memastikan bahawa kos pengeluaran seunit (UPC) dikekalkan pada paras pertengahan rendah.

“Dalam bergerak ke hadapan, inilah cabaran yang kami hadapi di Malaysia; bekerja dalam lembangan yang matang, apa yang tinggal ialah air dalam dan lapangan yang menjana hasil yang mempunyai kandungan karbon dioksida yang amat tinggi.

“Dengan cabaran teknikal seumpama ini, mempertahankan UPC yang rendah mungkin lebih mencabar. Itulah sebabnya teknologi harus menjadi sebahagian daripada penyelesaian untuk bergerak maju,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik menjelaskan Petronas menekankan usaha pemampatan kos untuk menjaga daya tahan serta melakukan pelbagai langkah kecemerlangan operasi dan komersial untuk mengekalkan kedudukan kewangan yang agak kukuh dan pada masa sama terus komited untuk menyumbang kepada masyarakat. Untuk itu, Petronas telah menghasilkan aliran tunai yang bereputasi baik daripada operasi.

“Kami seterusnya melabur dalam bahan kimia yang boleh diperbaharui dan khusus untuk membuktikan masa depan organisasi yang kini memposisikan kedudukan dengan lebih banyak penyelesaian yang berpusatkan pelanggan dan kecanggihan teknologi untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang lebih bersih bagi merealisasikan aspirasi ‘’Net Zero Carbon Emission 2050’’ kami,” katanya.

Beliau menambah Petronas akan tetap optimis dalam meneruskan strategi pertumbuhannya meskipun berhadapan dengan pemulihan secara berperingkat serta cabaran pasaran yang berpanjangan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Petronas catat rugi bersih RM3.4 bilion bagi suku ketiga tahun ini

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Petronas mencatatkan kerugian bersih RM3.4 bilion bagi suku ketiga yang berakhir 30 September 2020 berbanding keuntungan bersih RM7.4 bilion bagi suku yang sama tahun lepas berikutan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang rendah.

Kerugian rosot nilai tinggi bagi aset dan perbelanjaan cukai yang tinggi boleh dikaitkan dengan penyahiktirafan aset cukai tertunda terutamanya berikutan unjuran harga minyak dan gas lebih rendah yang turut menjejaskan prestasi kewangannya.

“Kumpulan ini akan mencatatkan keuntungan bersih RM2.6 bilion, tidak termasuk kerugian rosot nilai,” menurut syarikat minyak negara itu dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan itu mencatatkan perolehan berjumlah RM41.1 bilion, berkurangan 25 peratus daripada RM55.1 bilion bagi suku yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan purata harga direalisasi rendah bagi produk-produk utama.

“Setelah bertahan selama sembilan bulan, Petronas mencatatkan sedikit peningkatan pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya berikutan kelonggaran sekatan perjalanan keluar masuk secara berkala yang menyebabkan pembukaan semula aktiviti-aktiviti ekonomi secara berperingkat di seluruh dunia,” menurut presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Beliau berkata Petronas melaksanakan unjuran yang berhati-hati dan menjangka tempoh berbaki bagi 2020 akan mencabar di tengah-tengah persekitaran operasi yang lemah akibat pandemik ini serta turun naik harga minyak yang berlarutan.

“Kami menjangka prestasi kami akan terus dijejaskan oleh turun naik harga minyak disebabkan pandemik Covid-19 yang sedang berlaku,” katanya.

Di sebalik cabaran itu, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas akan terus memberi tumpuan untuk mengekalkan daya tahan portfolio, mempertahankan modal dan perbelanjaan operasi yang berdisiplin serta memelihara mudah tunai untuk memastikan kelestarian perniagaannya.

Dalam tempoh sembilan bulan, Petronas mencatatkan kerugian bersih RM19.9 bilion berbanding keuntungan bersih RM36.4 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pelaburan modal kumpulan itu dalam tempoh berkenaan berjumlah RM22.5 bilion, terutamanya berikutan projek huluan.

Ia turut menghasilkan aliran tunai yang positif daripada aktiviti-aktiviti operasi berjumlah RM32.6 bilion, walaupun mencatat keputusan yang lemah dalam tempoh itu, dengan penurunan 50 peratus daripada RM64.6 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

– BERNAMA