Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Tenpin boling terus raih pingat

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 19 OKT: Skuad tenpin boling Selangor terus menambah pungutan pingat dengan satu perak dan satu gangsa dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018, di Ampang Superbowl, di sini, semalam.

Pingat perak diperoleh melalui permainan trio lelaki iaitu Ahmad Zainurin Amat Jailani, Mohd Firdaus Mohamad dan Mohd Razib Redzali dengan pungutan mata keseluruhan, 2,844 manakala trio wanita, Sabrina Abd Hamid, Rusliza Abdullah dan Rohani Din (2,309) menyumbang gangsa.

Ahmad Zainurin, Mohd Firdaus dan Mohd Razib ketinggalan 214 mata kepada trio lelaki Wilayah Persekutuan, Wong Chew Hoong, Edmondson Koh Kok Leng dan Mohd Zaidi Awang (3,058) yang memenangi emas.

Manakala gangsa digenggam pasukan Sabah, Ho Choon Seong, Soo Kok Heng dan Nethaneal Segfred Enson (2,830).

Kehampaan trio lelaki Sabah ditebus wanitanya, Nor Misha Nathera Mackery, Zuriana Roslan dan Jovinia Danduan (2,597) untuk meraih emas.

Trio wanita Wilayah Persekutuan pula, Liew Boon Har, Cheng Kam Ping dan Tan Yann Chin (2,377) menduduki tempat kedua untuk perak.

Setakat ini, pasukan tenpin boling menyumbang dua emas, satu perak dan satu gangsa untuk kontinjen Selangor, pada edisi SOPMA 2018.

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Tenpin boling raih emas kedua

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Skuad tenpin boling Selangor meneruskan rentak cemerlang dengan meraih pingat emas menerusi beregu lelaki dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018, di sini, semalam.

Jurulatihnya, Mohd Razif Abu Bakar berkata, kejayaan memperoleh emas kedua itu amat bermakna dan menaikkan semangat pemain untuk mencipta kemenangan seterusnya.

“Kemenangan ini meletakkan kita pada landasan selesa untuk mencapai sasaran meraih lima emas dalam SOPMA 2018.

“Saya berharap pasukan akan terus beraksi dengan baik bagi memenuhi impian ini,” katanya kepada Media Selangor.

Mohd Firdaus Mohamad yang sebelum ini memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki, turun berpasangan dengan Mohd Razid Redzali beraksi cemerlang mengumpul 2,033 mata keseluruhan untuk memperoleh emas acara beregu lelaki.

Mereka menewaskan pasangan Kuala Lumpur, Mohd Zaidi Awang dan Wong Chew Hoong (2028) untuk perak serta Sabah, Soo Kok Heng dan Hoo Choon Seong (2019) (gangsa).

Mohd Razif berkata, tumpuan pasukan selepas ini beralih kepada tiga lagi acara iaitu trio lelaki, berpasukan lelaki dan master lelaki bagi mencipta kemenangan seterusnya.

Katanya, ketiga acara itu adalah kesempatan terbaik pasukan untuk menambah pingat.

“Kita harap pemain akan terus cemerlang dalam permainan masing-masing untuk mencapai kejayaan demi pasukan seterusnya kontinjen Selangor.

“Kita melahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Perangsang Selangor yang banyak menyokong dan membantu pasukan ke kejohanan ini,” katanya.