Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Tenpin boling terus raih pingat

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 19 OKT: Skuad tenpin boling Selangor terus menambah pungutan pingat dengan satu perak dan satu gangsa dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018, di Ampang Superbowl, di sini, semalam.

Pingat perak diperoleh melalui permainan trio lelaki iaitu Ahmad Zainurin Amat Jailani, Mohd Firdaus Mohamad dan Mohd Razib Redzali dengan pungutan mata keseluruhan, 2,844 manakala trio wanita, Sabrina Abd Hamid, Rusliza Abdullah dan Rohani Din (2,309) menyumbang gangsa.

Ahmad Zainurin, Mohd Firdaus dan Mohd Razib ketinggalan 214 mata kepada trio lelaki Wilayah Persekutuan, Wong Chew Hoong, Edmondson Koh Kok Leng dan Mohd Zaidi Awang (3,058) yang memenangi emas.

Manakala gangsa digenggam pasukan Sabah, Ho Choon Seong, Soo Kok Heng dan Nethaneal Segfred Enson (2,830).

Kehampaan trio lelaki Sabah ditebus wanitanya, Nor Misha Nathera Mackery, Zuriana Roslan dan Jovinia Danduan (2,597) untuk meraih emas.

Trio wanita Wilayah Persekutuan pula, Liew Boon Har, Cheng Kam Ping dan Tan Yann Chin (2,377) menduduki tempat kedua untuk perak.

Setakat ini, pasukan tenpin boling menyumbang dua emas, satu perak dan satu gangsa untuk kontinjen Selangor, pada edisi SOPMA 2018.

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Olahraga Selangor dapat satu gangsa

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 19 OKT: Olahraga Selangor menyumbang satu pingat gangsa menerusi acara lompat tinggi dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018, di Stadium Perak, di sini, semalam.

Ia diraih Muhammad Najib Pauzi dengan lompatan setinggi 1.45m dalam percubaan kedua acara berkenaan.

Pingat emas acara itu dimenagi Nor Shah dan Muhammad dari Terengganu yang mencatat rekod baharu, 1.68m mengatasi rekod lama (1.66m) milik Khairul Azri (Wilayah Persekutuan), pada 2014.

Khairul Azri mendapat perak, pada edisi kali ini apabila sekadar mencatat 1.61m dalam lompatan keenam.

Gangsa diperolehi Muhammad Najib adalah pingat pertama Selangor dalam olahraga, pada edisi kali ini.

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Futsal Selangor layak ke separuh akhir

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Pasukan Selangor layak ke peringkat separuh akhir futsal lelaki dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 selepas menewaskan Kedah 1-0, di Arena Ipozo, Menglembu, hari ini.

Dengan keputusan itu, Selangor melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dengan mengungguli Kumpulan B apabila mengumpul sepuluh mata hasil tiga kemenangan dan satu seri.

Sebelum itu, pasukan bimbingan jurulatih, Rudi Ramli mengatasi Perlis (2-0) dan Terengganu (6-1) serta seri dengan Kuala Lumpur (3-3).

Rudy berkata, pemain berjaya mengatasi Kedah dengan permainan membanggakan untuk mencatat kemenangan penting itu.

“Dengan kemenangan ini, kita kini memberi tumpuan kepada perlawanan separuh akhir esok.

“Saya yakin, jika pasukan mengekalkan prestasi seperti ini dan sebelumnya, kita mampu mencipta kejayaan untuk mara ke peringkat akhir,” katanya kepada Media Selangor.

Katanya, walaupun belum mengetahui pasukan yang akan ditemui pada separuh akhir, namun Selangor bersedia seperti perlawanan sebelumnya.

Selangor dijangka berdepan Kelantan atau Pahang dari Kumpulan A, pada separuh akhir nanti.

Mengiringi Selangor ialah Wilayah Persekutuan (Kumpulan B) serta Perak selaku juara Kumpulan A.

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Kuan Sheng puas hati sumbang pingat buat Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Walaupun terlepas pingat emas, namun Law Kuan Sheng berpuas hati dapat menyumbang perak menerusi perseorangan lelaki badminton untuk kontinjen Selangor, pada Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 kali ini.

Baginya, pencapaian itu amat bermakna kerana Selangor layak ke perlawanan akhir buat kali pertama walaupun gagal menyudahkannya dengan kemenangan.

“Saya berusaha memberi tentangan kepada pemain Johor, Tan Eng Chun tetapi mengalami kecederaan di bahagian kaki menyebabkan saya gagal bertahan hingga tewas.

“Namun, saya berpuas hati dengan pencapaian ini dengan mara ke akhir dan menyumbang pingat untuk pasukan,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam perlawanan akhir itu, Kuan Sheng tewas kepada Eng Chun 21-12 dan 21-11.

Kuan Sheng turut menyumbang gangsa dengan pasangannya, Khor Teng Wooi dalam beregu lelaki apabila terkandas di separuh akhir kepada pasangan Johor, Eng Chun dan Edmond Teo Seng Keong, 21-18 dan 21-16.

“Dalam beregu, kita sekali lagi menempuh cabaran sukar berdepan Eng Chun dan pasangannya.

“Kekurangan pengalaman menyebabkan kita gagal mengatasi kehebatan beregu Johor,” katanya.

Katanya, beliau bersama pemain lain menjalani latihan insentif di Majlis Sukan Negeri Selangor serta beberapa kelab badminton termasuk dengan pemain normal selama lebih kurang tiga minggu.

Kuan Sheng berkata, beliau turut mendapat tunjuk ajar jurulatih dan bekas pemain negeri, Rahman Datuk Sidek serta beberapa jurulatih lain.

“Dengan keputusan diraih, saya berpuas hati dan akan terus berusaha gigih menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan mendatang termasuk SOPMA 2020 di Johor,” katanya.

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Badminton Selangor raih satu perak, satu gangsa

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Selangor berjaya meraih satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara badminton sempena Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018, di Akademik Badminton Perak, di sini, hari ini.

Pingat perak diperoleh pemain perseorangan lelaki, Law Kuan Sheng manakala gangsa melalui gandingan Kuan Sheng dan Khor Teng Wooi dalam beregu lelaki.

Dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki, Kuan Sheng yang cemerlang dari peringkat awal hingga separuh akhir, bagaimanapun gagal mengulanginya dan tunduk kepada Eng Chun dengan 21-9 dan 21 – 14.

Kuan Sheng sebelum itu berpasangan dengan Khor Teng Wooi dalam acara beregu, namun hasrat ke akhir tidak kesampaian.

Eng Chun sekali lagi hadir sebagai penghalang dan bersama Edmond Teo Seng Keong menghampakan beregu Selangor itu, pada separuh akhir dengan 21-14 serta 21-15.

Setakat ini, kontinjen Selangor meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa dalam SOPMA 2018.

Dua emas dan satu gangsa dipungut melalui acara tenpin boling sebelum ini.

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Olahraga Selangor harap cipta kejutan

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Skuad olahraga Selangor berharap melakar kejutan memenangi pingat emas dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018.

Jurulatihnya, P Paramasevam berkata, kejohanan di Perak mulai 15 hingga 21 Oktober itu menyediakan ruang bagi atlet Selangor mempamerkan persembahan terbaik untuk merealisasikannya.

“Saya yakin atlet olahraga akan berusaha memberikan persembahan terbaik pada temasya SOPMA 2018 ini walaupun akan menerima tentangan hebat pasukan lain.

“Kita menaruh harapan supaya atlet mampu mencatat keputusan baik dan mengatasi pencapaian pada SOPMA 2016 lalu,” katanya kepada Media Selangor.

Ketika SOPMA 2016 di Sarawak, pasukan olahraga Selangor membawa pulang dua perak dan dua gangsa.

Beliau berkata, peluang dilihat cerah untuk Selangor mencipta kejutan dalam acara merejam lembing lelaki, pada kejohanan tahun ini.

“Dalam acara ini, peluang dilihat 50-50 tetapi diharap atlet akan berusaha memberikan yang terbaik untuk melakukan kejutan memenangi emas,” katanya.

Seramai 11 atlet olahraga menyertai SOPMA 2018 dan Paramasevam berkata, tujuh atlet lelaki serta empat atlet wanita terbabit dalam pelbagai acara seperti lumba lari 400m, 800m, 1,000m dan 1,500m selain melempar cekera, merejam lembing juga melontar peluru.

“Dengan persiapan dilakukan, kita yakin atlet tidak mudah mengaku kalah ketika turun ke gelanggang nanti,” katanya yang bertindak selaku jurulatih untuk Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor itu.

Categories
SUKANKINI

Bola sepak pekak, pengalaman berbeza pengadil dan pemain

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Berbanding pemain normal, perlawanan bola sepak membabitkan pemain pekak menghadirkan kelainan dan pengalaman berbeza kepada pengadil serta penonton.

Dengan setiap pergerakan pemain memerlukan pemerhatian teliti pengadil dan pegawai perlawanan, beberapa peraturan tambahan juga berbeza diperlukan bagi kelancaran permainan.

Ketua Pelantikan Pengadil Bolasepak untuk Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018, P Samasuvam berkata, aspek utama diberi tumpuan dalam perkara itu adalah komunikasi bagi memastikan perlawanan berjalan lancar.

“Komunikasi penting antara pengadil, pegawai perlawanan bersama pasukan dan pemain untuk tujuan ini dengan isu utama dihadapi ialah bahasa isyarat.

“Antara kaedah digunakan ialah pengadil menggunakan bendera yang dinaikkan apabila berlaku kesalahan dalam permainan untuk difahami pemain,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, ia pendekatan dipraktik bagi kemudahan pemain dan pasukan memahaminya supaya perlawanan dapat dihentikan serta tindakan diambil pengadil.

Katanya, walaupun jelas agak sukar kerana pemain mengalami masalah pendengaran dan pengadil kurang mampu berkomunikasi dengan bahasa isyarat tetapi kaedah digunakan memberi kelebihan untuk kelancaran sesuatu perlawanan.

“Ia nyata sedikit berbeza kepada pengadil kerana jika dalam perlawanan bola sepak membabitkan pemain normal, dengan hanya meniup wisel dan perlawanan diberhentikan, tindakan boleh diambil.

“Bagaimanapun apabila pemain tidak boleh mendengar, kita perlu bertindak dengan melakukan bahasa isyarat seperti ini (bendera dinaikkan),” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kecil Pengadil (Pelantikan) Persatuan Bola Sepak Perak.

Beliau berkata, kaedah terbabit diguna pakai dalam perlawanan bola sepak pemain pekak selama ini.

“Sebelum SOPMA 2018, satu kejohanan disertai tujuh pasukan bola sepak pekak negeri sudah diadakan di sini tahun lalu,” katanya.

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Selangor tersingkir selepas cabar hebat Kelantan

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Pemain Selangor memberikan cabaran bermakna kepada juara bertahan, Kelantan dalam perlawanan bola sepak ulangan Kumpulan B sempena Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 sebelum tewas 1-3, di Padang Ipoh, di sini, semalam.

Jurulatihnya, Rudy Ramli berkata, skuad muda pekak Selangor berusaha menyaingi Kelantan dari awal hingga ke akhir perlawanan, namun kelebihan nyata memihak kepada pasukan dari Pantai Timur itu.

“Perlawanan ulangan ini nampak seimbang dan digunakan pemain untuk membuktikan mereka mampu memberikan cabaran kepada Kelantan yang lebih berpengalaman.

“Pemain nyata mencuba yang terbaik dan melakukan segala kemungkinan untuk mencipta kejutan, namun Kelantan menggunakan kelebihan bagi mencatat kemenangan,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam perlawanan ulangan lewat petang semalam, Kelantan mencatat kemenangan 3-1 untuk mara ke peringkat separuh akhir, manakala Selangor yang seri dengan Negeri Sembilan (3-3) dalam perlawanan awal, terkeluar daripada kejohanan.

Perlawanan semula itu diadakan antara kedua pasukan apabila Kelantan yang menang 2-0 dalam saingan awal pagi semalam, didapati melanggar peraturan dengan menurunkan tiga pemain kebangsaan (Malaysia Deaf Tigers).

Peraturan ditetapkan penganjur, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), ialah sesebuah pasukan bola sepak dalam kejohanan itu hanya dibenarkan menurunkan dua pemain kebangsaan dalam sesuatu perlawanan.

Ekoran itu, Rudy berkata, Selangor membuat bantahan dan penganjur memutuskan perlawanan ulangan diadakan antara kedua pasukan.

“Ia diputuskan dalam perbincangan antara penganjur serta pasukan bertanding dan perlawanan ulangan diadakan bagi memberi keadilan kepada kedua pasukan,” katanya.

Berakhir perlawanan peringkat kumpulan, Kelantan dan Negeri Sembilan layak ke separuh akhir bersama Terengganu dan Sabah dari Kumpulan A.

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Tenpin boling raih emas kedua

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Skuad tenpin boling Selangor meneruskan rentak cemerlang dengan meraih pingat emas menerusi beregu lelaki dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018, di sini, semalam.

Jurulatihnya, Mohd Razif Abu Bakar berkata, kejayaan memperoleh emas kedua itu amat bermakna dan menaikkan semangat pemain untuk mencipta kemenangan seterusnya.

“Kemenangan ini meletakkan kita pada landasan selesa untuk mencapai sasaran meraih lima emas dalam SOPMA 2018.

“Saya berharap pasukan akan terus beraksi dengan baik bagi memenuhi impian ini,” katanya kepada Media Selangor.

Mohd Firdaus Mohamad yang sebelum ini memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki, turun berpasangan dengan Mohd Razid Redzali beraksi cemerlang mengumpul 2,033 mata keseluruhan untuk memperoleh emas acara beregu lelaki.

Mereka menewaskan pasangan Kuala Lumpur, Mohd Zaidi Awang dan Wong Chew Hoong (2028) untuk perak serta Sabah, Soo Kok Heng dan Hoo Choon Seong (2019) (gangsa).

Mohd Razif berkata, tumpuan pasukan selepas ini beralih kepada tiga lagi acara iaitu trio lelaki, berpasukan lelaki dan master lelaki bagi mencipta kemenangan seterusnya.

Katanya, ketiga acara itu adalah kesempatan terbaik pasukan untuk menambah pingat.

“Kita harap pemain akan terus cemerlang dalam permainan masing-masing untuk mencapai kejayaan demi pasukan seterusnya kontinjen Selangor.

“Kita melahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Perangsang Selangor yang banyak menyokong dan membantu pasukan ke kejohanan ini,” katanya.