Categories
SELANGOR

100 pekerja di 46 bazar, tauke tepung pelita kekal resepi tradisi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JUN: Rasanya yang lemak manis dan bau haruman pandan sudah cukup membuka selera penggemar kuih tepung pelita terutama sebagai juadah berbuka puasa.

Kelazatan kuih yang dilabelkan di bawah jenama Tepung Pelita Paya Jaras itu menyebabkan permintaannya meningkat setiap kali menjelang Ramadan.

tepung pelita paya jarasPengusaha Tepung Pelita Paya Jaras, Nadzri Taris, 41, berkata beliau terpaksa mengupah lebih 100 pekerja sambilan setiap hari pada Ramadan kali ini bagi memastikan semua tempahan dipenuhi.

“Permintaan sangat tinggi, ada 46 bazar menjual tepung pelita kami. Ia menyebabkan saya mengambil lebih 100 pekerja untuk menyiapkan tempahan harian,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini.

Nadzri berkata, beliau memulakan perniagaan tepung pelitanya secara kecil-kecilan di Pasar Malam Paya Jaras, pada 1999.

“Sudah 16 tahun. Pada masa itu, saya hanya jual kira-kira 15 dulang tetapi permintaan semakin tinggi.

tepung pelita paya jaras org beratur“Alhamdullilah, perniagaan kami semakin berkembang dengan kesungguhan dan kesabaran. Apa yang penting, saya mengekalkan resepi tradisi dan kualiti produk supaya terus mendapat sambutan,” katanya.

Ketika diminta berkongsi tips kejayaannya, Nadzri berkata, beliau mengambil kira setiap maklum balas yang diberi pelanggan dan peniaga yang memasarkan tepung pelitanya.

“Biasanya, mereka yang dah pernah rasa akan cari Tepung Pelita Paya Jaras setiap kali tiba Ramadan. Sebab itu, saya jadikan ‘Rasa Sebulan Rindu Setahun’ sebagai slogan perniagaan kami,” katanya.

Beliau berkata, isterinya, Watie Abd Rahman, 43, adalah individu penting di sebalik kejayaan mengembangkan perniagaannya.

“Tanpa hasil kerja kuat dia, tak mungkin kami mampu berada di sini,” katanya.

-NFN-