Categories
NASIONAL

Keperluan asas kurang lagi menjelang Ramadan, KPDNKK pelu ambil langkah proaktif

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JUN: Kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum di pasaran yang berlaku sejak dua minggu ini perlu diberi perhatian khusus ekoran menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Pengerusi Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Shari, berkata kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu mengambil langkah proaktif dan serius dalam menangani isu yang sering berlaku itu.

Katanya, isu kekurangan bekalan keperluan asas sudah berlaku sejak tahun 1960, namun sehingga kini tiada langkah drastik diambil bagi menangani isu itu menjelang musim perayaan.

1yahya-1024x460Beliau berkata, masalah yang sering berlaku itu dilihat seakan dirancang dan mempunyai usaha komplot pihak tertentu dalam usaha menaikkan harga barangan.

“Kami di Biro Kepenggunaan menerima aduan dan reaksi daripada pengguna khususnya di Selangor dan Kedah. Kami bimbang jika ia berterusan, akan menyebabkan kekurangan bekalan di setiap kedai runcit dan pasaraya.

“Minyak masak paket juga kurang berbanding minyak masak botol. Ini sangat merisaukan pengguna kerana tuntutan bekalan itu meningkat menjelang perayaan.

“Kita bimbang jika peniaga terpaksa mengawal pembelian dengan hanya boleh membeli satu paket untuk satu keluarga sahaja,” katanya ketika di hubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Yahya menyarankan kementerian memantau secara terus bekalan itu melalui semua rantaian pengeluar termasuk pengilang, pembekal, pemborong dan peniaga.

“Agensi yang terbabit boleh menyemak data pengeluaran harian daripada rantaian itu bagi memastikan keluar masuk barangan.

“Ia bukan satu tindakan yang sukar jika dilakukan secara berterusan. Agensi terbabit juga perlu mempunyai integriti yang tinggi dan mereka perlu berusaha lebih bersungguh untuk menangani perkara ini,” katanya.

DSCN5256Baru-baru ini, tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasaraya negeri ini mendapati dua bekalan itu mula berkurangan, bahkan peniaga kedai runcit dan pasar mini turut berdepan masalah stok minyak masak dalam paket.

Di Kedah, dua keperluan asas itu dilaporkan habis di pasaran dan peniaga sukar untuk mendapatkan bekalan.

Rentetan daripada permintaan yang melebihi pengeluaran atau bekalan itu, harga dua barang yang disenaraikan di bawah barang kawalan juga sudah tidak terkawal.

Harga jualan minyak masak meningkat sehingga RM3.20 sekilogram berbanding RM2.50 sebelum ini, manakala tepung gandum kepada RM1.80 sekilogram berbanding RM1.35, khususnya di kawasan luar bandar.

-NFN-