Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Teras, Food Market bantu baiki taraf hidup usahawan asnaf

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (Teras) dengan kerjasama Food Market berjaya membantu ramai usahawan asnaf memperbaiki keadaan hidup mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop berkata inisiatif ini juga dapat menambah jumlah pembayar zakat, iaitu apabila usahawan itu tidak lagi bergelar asnaf dan mula membayar zakat.

“Program kerjasama menerusi Teras mampu membangunkan usahawan asnaf di negeri ini. Mereka yang terlibat adalah antara 1,000 individu yang dibantu di bawah Teras menggunakan wang agihan zakat.

“Kesemua 25 produk ini berpotensi menembusi pasaran lebih besar malah hingga ke luar negara,” katanya ditemui pada majlis perasmian Program Sapot Asnaf Sapot Lokal di Food Market di Wangsa Melawati di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan M Yusop

Tambah Saipolyazan, Teras akan terus mencari produk asnaf yang berpotensi menembusi pasaran global dan pada masa sama mampu menguasai pasaran tempatan.

“Usahawan terbabit dalam program ini perlu menunjukkan komitmen iaitu memastikan bekalan produk yang berterusan,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan mencemar duli ke majlis perasmian program tersebut. Keberangkatan Tengku Permaisuri Norashikin disambut ahli lembaga pengarah Teras Dato’ Bakhtiar Hussin dan Saipolyazan.

Ketika ini, sebanyak 25 produk keluaran 10 usahawan asnaf bimbingan Teras ditempatkan di Food Market.