Categories
SELANGOR

Pakar Thailand selesai longkang tersumbat di Ampang

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 4 JUN: Masalah longkang tersumbat yang menghantui peniaga di Jalan Tanjung Bunga 10, Taman Muda Ampang sejak lima tahun lalu bakal diselesaikan menerusi pakar dari Thailand.

Ahli Dewan Negeri Teratai, Bryan Lai Wai Chong berkata, perunding Sentinel Solution Co Ltd, iaitu Sean Too yang juga anak kelahiran Malaysia itu turut memberi perkhidmatan percuma bagi memulihkan masalah berkenaan.

“Syarikat itu membangunkan produk dinamakan ‘Eat & Grease’ bagi mengelakkan masalah longkang tersumbat, paling penting produk itu mesra alam.

“Sentinel Solution sudah membangunkan teknologi berkenaan sejak 10 tahun lalu dan kini sudah diguna pakai oleh hotel, premis makanan serta minuman juga beberapa pemilik bangunan lain,” katanya ketika membuat lawatan tapak, di situ.

Hasil tinjauan mendapati, longkang di bahagian belakang sebuah premis tersumbat teruk dengan dipenuhi sisa makanan dan minyak lama sehingga menghalang laluan air seperti biasa.

Beliau berkata, punca utama kepada masalah itu ekoran sisa buangan berlemak dan berminyak ke dalam parit serta longkang.

“Bukan sahaja berbau, ia juga difahamkan menjejaskan pendapatan peniaga berdekatan kawasan longkang, justeru peniaga memainkan peranan penting bagi memastikan saluran air mereka bersih tanpa kotoran.

“Saya turut mengalukan bantuan daripada mana-mana syarikat, parti atau profesional untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pengalaman ahli majlis matangkan Wai Chong

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 3 MEI: Berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selama enam tahun mematangkan calon N22 Teratai, Lai Wai Chong.

Katanya, pengalaman itu membuatkannya tidak terlalu gugup setelah terpilih untuk menggalas tanggungjawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai.

“Ketika turun padang memang sudah ada yang mengenali saya dan ada yang mengatakan ‘you confirm menang’, namun itu tidak melalaikan saya kerana tanggungjawab ini adalah besar.

“Lebih berat lagi apabila saya perlu mempertahankan kedudukan DUN Teratai yang dahulu dimenangi DAP,” katanya kepada SelangorKini.

Kerusi DUN Teratai sebelum ini disandang Tiew Way Keng (DAP) dengan undi 23,578, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Teratai antara kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan majoriti besar, iaitu 13,646.

Wai Chong berkata, kerja berkumpulan antara perkara penting bagi membolehkan PAKATAN memenangi hati pengundi, di Teratai sekali lagi.

Beliau turut mengakui ia bukan perkara mudah untuk mengambil hati 52,256 pengundi yang kini berada di dalam DUN berkenaan.

“Waktu berkempen ini sangat penting kerana pada masa inilah saya dapat mengetahui masalah disuarakan pengundi dan saya akan berusaha sebaiknya untuk memastikan ia dapat diselesaikan jika rakyat memberi mandat pada PRU14,” katanya.