Categories
SELANGOR

KDEBWM urus pembersihan awam MPK Oktober ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) mengambil alih operasi pembersihan sisa awam Majlis Perbandaran Klang (MPK) bermula Oktober depan.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, beberapa penambahbaikan dilakukan KDEBWM bagi memberi kesan pelaksanaan lebih menyeluruh.

“Sebelum ini, KDEBWM membuat kerja kutipan sampah sisa pepejal dan Oktober ini akan bermula operasi pembersihan awam.

“Ketika ini, proses melihat semula skop pembersihan awam yang sedia ada di MPK. KDEBWM akan cuba mengadaptasi skop baru,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Fahmi berkata, melalui pembersihan awam yang diambil alih itu, pelbagai langkah akan diambil antaranya mengurangkan kejadian banjir.

fahmi_ngah“Longkang di sekitar Klang dibersihkan dua kali sebulan masa kini. Itu yang menyebabkan berlaku banjir, pembiakan aedes dan sebagainya.

“Dilihat kekerapan itu perlu dipertingkatkan kepada seminggu sekali bagi memastikan kadar kebersihan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, pemetaan longkang sekitar Klang dilakukan bagi memastikan saluran tidak putus untuk memudahkan proses pembersihan dilakukan.

Beliau berkata, KDEBWM juga akan mengeluarkan 60 lori baru mengantikan lori sementara yang dijangka selepas Aidiladha.

“Kita sudah menerima permit dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan kini beberapa urusan dari Puspakom dan dijangka selepas Aidiladha semua lori terbabit dapat mengantikan lori sementara ketika ini,” katanya.

Julai lalu, KDEBWM mengambil alih pengurusan sisa pepejal di kawasan MPK.

Orang ramai boleh menghubungi I-Clean Command Centre di talian 019-328 9765 atau e-mel di [email protected]

-nR-