Categories
AGENDA NASIONAL

TM Piala Malaysia: Selangor bertemu Melaka, Kuala Lumpur layak automatik

SHAH ALAM, 1 NOV: Juara 33 kali, Selangor bertemu Melaka pada pusingan pertama TM Piala Malaysia yang akan membuka tirai kejohanan pada 6 November ini.

Tanpa perlawanan timbal balik, pemenang akan menentang sama ada Kedah atau Pahang pada peringkat suku akhir.

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim dijangka tidak berdepan masalah untuk mara apabila diundi bertemu Kuching FA manakala satu lagi pasukan Kuala Lumpur layak secara automatik.

Dua finalis 2018, Terengganu FC dan Perak bakal bertembung di peringkat suku akhir sekiranya masing-masing berjaya membenam cabaran Petaling Jaya FC dan Kelantan United FC pada pusingan pertama.

Manakala dua lagi saingan peringkat kumpulan menyaksikan juara Liga Perdana, Pulau Pinang bertemu Felda United FC serta UiTM FC berdepan Kelantan.

Undian TM Piala Malaysia yang berlangsung hari ini disiarkan secara langsung menerusi Facebook Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Peringkat suku akhir dijadualkan pada 12 dan 13 November manakala separuh akhir 17 November.

Terdahulu, MFL mengumumkan format pertandingan terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama hingga ke separuh akhir sebelum aksi perlawanan akhir pada 22 November susulan penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanpa Sabah, TM Piala Malaysia diteruskan ikut jadual

SHAH ALAM, 29 OKT: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pertandingan TM Piala Malaysia 2020 kekal berlangsung seperti dirancang dengan undian bermula 1 November ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat ahli lembaga pengarah ke-23 yang berlangsung semalam.

“Mesyuarat ahli lembaga pengarah MFL memutuskan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 berjalan mengikut jadual iaitu undian bermula pada 1 November ini sebelum kejohanan membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November depan.

“Sudah pasti kepatuhan tatacara operasi piawai (SOP) sentiasa menjadi agenda utama buat MFL ketika dalam pandemik Covid-19 dan ia akan menjadi tanggungjawab bersama dalam menjayakan kejohanan,” kata Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan format pertandingan musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama hingga ke separuh akhir sebelum aksi perlawanan akhir pada 22 November.

Peringkat suku akhir dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 November manakala separuh akhir pada 17 November.

Katanya, MFL akan membantu pasukan berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk beraksi di kawasan zon hijau pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Ab Ghani mengumumkan UiTM FC diberikan kemenangan 3-0 dan selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak permohonan laluan khas skuad Sabah.

Sabah kini menjalani PKPB dijadualkan bertemu UiTM FC di Stadium Hang Jebat Melaka untuk aksi terakhir CIMB Liga Super pada Ahad ini.

“Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu Sabah di pusingan pertama (kalah mati) TM Piala Malaysia 2020 diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke pusingan suku akhir.

“Sabah kekal sebagai pasukan Liga Super untuk musim 2021 dan tiada hukuman bakal dikenakan kerana isu ini,” katanya.