Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Penonton dibenar ke stadium seawal 29 Okt

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan kempen Piala Malaysia 2021 akan mula menerima kehadiran penonton di stadium seawal 29 Oktober ini.

MFL bagaimanapun akan mempertimbangkan untuk membenarkan kehadiran penonton lebih awal jika pasukan merancang mengadakan aksi persahabatan dalam tempoh saingan Piala Malaysia berehat dari 2 hingga 28 Oktober, tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) terperinci daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan kehadiran semula penonton ke stadium bukan sahaja satu perkhabaran gembira kepada penyokong bola sepak tempatan malah ia dapat menyemarakkan kembali industri bola sepak negara.

“Selepas penyokong tidak dibenarkan masuk (ke stadium) sejak 9 Mei lepas akibat lonjakan kes Covid-19 di negara ini, inilah perkhabaran gembira yang ditunggu-tunggu oleh kita semua khususnya penyokong-penyokong yang amat merindukan aksi bola sepak di stadium.

“Apatah lagi dalam suasana ketika kita semua meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia yang kini sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Ghani turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana merealisasikan hasrat untuk penonton kembali dibenarkan ke stadium.

“Setinggi-tinggi terima kasih kerana membuka semula sekatan penyokong untuk kembali ke stadium serta acara-acara sukan yang lain selepas sekian lama venue kita cukup sepi tanpa kehadiran penyokong yang turut memberi impak kepada kelangsungan ekonomi dalam sektor sukan tanah air,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan individu yang lengkap divaksinasi dibenarkan hadir menonton perlawanan sukan dan rekreasi kecuali kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa esok.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 berkata kehadiran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara dengan syarat, penonton atau penyokong memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Sementara itu, Ab Ghani berkata keputusan membenarkan kehadiran penonton menyaksikan perlawanan Piala Malaysia seawal 29 Oktober adalah kerana saingan itu akan berehat seketika selepas perlawanan terakhir esok bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa skuad kebangsaan.

Katanya MFL juga masih menunggu peratusan kemasukan penyokong ke stadium di negeri-negeri mengikut Fasa 2, 3 dan 4 yang akan dimaklumkan KBS bersama dengan SOP sukan yang ditetapkan bagi melancarkan pengelolaan perlawanan serta menjamin keselamatan semua pihak.

“Justeru, tempoh yang ada ini akan digunakan MFL untuk memperincikan SOP kemasukan penyokong ke stadium bersama MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan) selain pasukan-pasukan mempunyai masa untuk membuat persiapan di venue pertandingan sebelum menerima kehadiran penyokong,” kata Ab Ghani.

Menurut kenyataan MFL, perlawanan terakhir yang berlangsung dengan kehadiran penonton di stadium pada 9 Mei lepas membabitkan perlawanan Liga Super yang menyaksikan hanya maksimum 2,000 penonton dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan maksimum 8,000 penonton bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jadual Liga-M dipinda, beri laluan persiapan skuad kebangsaan

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kalendar perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 akan dipinda bermula pada 23 April ini sebagai memberi laluan kepada persiapan pasukan kebangsaan menghadapi saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini.

Pindaan tersebut turut mengambil kira perubahan jadual Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan.

Beliau berkata pengurusan skuad Harimau Malaya memohon untuk memulakan kem latihan pusat bermula 16 Mei depan sementara saingan Liga Juara-Juara AFC Zon Timur yang dijadual bermula 21 April sehingga 7 Mei telah dipinda bermula 21 Jun sehingga 7 Julai.

Katanya keputusan pindaan kalendar perlawanan tersebut dibuat selepas mesyuarat secara dalam talian bersama kesemua pasukan Liga-M.

“Berdasarkan jadual asal, pasukan Liga Super hanya bermain dua perlawanan dan pasukan Liga Premier bermain tiga perlawanan sepanjang bulan Ramadan. Kini menyaksikan pasukan Liga Super akan bermain lima perlawanan sementara pasukan Liga Premier bermain empat perlawanan,” katanya.

Beliau turut menambah selain daripada saingan Liga Juara-Juara AFC, tumpuan turut perlu diberikan kepada dua wakil negara iaitu Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC yang bersaing dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFC secara berpusat di Singapura dari 22 sehingga 28 Jun.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata perubahan kalendar perlawanan Liga-M turut menyaksikan tarikh tempoh pendaftaran kedua Liga-M musim ini terpaksa dipinda daripada 5 Julai sehingga 1 Ogos kepada 3 Mei sehingga 30 Mei.

Sementara itu, Ab Ghani menjelaskan saingan Liga Super dijadual berakhir pada 14 Ogos manakala Liga Premier pada 8 Ogos.

“Undian Piala Malaysia dan Piala Cabaran akan diadakan sebelum tamat saingan liga dengan menggunakan nombor kedudukan liga bagi menentukan kedudukan posisi kelab dalam kumpulan,” katanya.

Dalam pada itu, MFL akan mengeluarkan jadual baharu kalendar Liga-M dalam masa terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL susun semula penyertaan 10 pasukan Liga Premier 2021

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan melakukan kemas kini berhubung kedudukan pasukan Liga Premier bagi musim 2021.

Ini selepas pasukan Felda United FC (Felda United) dan UKM FC, sah tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada musim hadapan selepas gagal memenuhi syarat penswastaan kelab bola sepak bersyarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan, pentadbir Liga Bola Sepak Malaysia itu akan mengemas kini kedudukan 10 pasukan Liga Premier termasuk empat pasukan “feeder” sebelum membuat keputusan lanjut.

Empat pasukan “feeder” berkenaan adalah Terengganu FC II, Johor Darul Ta’zim II, Perak II dan Selangor II.

Manakala enam pasukan lain adalah Kelantan, Kuching FA, Kelantan United FC, Sarawak United FC, Negeri Sembilan serta Polis Diraja Malaysia yang tersingkir ke saingan Liga Premier musim hadapan setelah menduduki tangga terakhir daripada 12 pasukan Liga Super pada musim ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan memaklumkan, Felda United dan UKM FC tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga-M pada musim 2021 setelah gagal memenuhi syarat penswastaan kelab bola sepak bersyarikat.

Beliau menegaskan, badan induk bola sepak negara itu mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung perbelanjaan kedua-dua pasukan berkenaan tidak kukuh, sekali gus memaksa FAM membuat keputusan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanpa Sabah, TM Piala Malaysia diteruskan ikut jadual

SHAH ALAM, 29 OKT: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pertandingan TM Piala Malaysia 2020 kekal berlangsung seperti dirancang dengan undian bermula 1 November ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat ahli lembaga pengarah ke-23 yang berlangsung semalam.

“Mesyuarat ahli lembaga pengarah MFL memutuskan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 berjalan mengikut jadual iaitu undian bermula pada 1 November ini sebelum kejohanan membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November depan.

“Sudah pasti kepatuhan tatacara operasi piawai (SOP) sentiasa menjadi agenda utama buat MFL ketika dalam pandemik Covid-19 dan ia akan menjadi tanggungjawab bersama dalam menjayakan kejohanan,” kata Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan format pertandingan musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama hingga ke separuh akhir sebelum aksi perlawanan akhir pada 22 November.

Peringkat suku akhir dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 November manakala separuh akhir pada 17 November.

Katanya, MFL akan membantu pasukan berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk beraksi di kawasan zon hijau pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Ab Ghani mengumumkan UiTM FC diberikan kemenangan 3-0 dan selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak permohonan laluan khas skuad Sabah.

Sabah kini menjalani PKPB dijadualkan bertemu UiTM FC di Stadium Hang Jebat Melaka untuk aksi terakhir CIMB Liga Super pada Ahad ini.

“Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu Sabah di pusingan pertama (kalah mati) TM Piala Malaysia 2020 diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke pusingan suku akhir.

“Sabah kekal sebagai pasukan Liga Super untuk musim 2021 dan tiada hukuman bakal dikenakan kerana isu ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan Liga-M boleh adakan aksi persahabatan mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Pasukan Liga Malaysia (Liga-M) kini boleh menilai tahap persediaan masing-masing bagi menghadapi baki saingan liga bermula akhir bulan ini, susulan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pasukan Liga Super dan Liga Premier boleh memulakan aksi pemanas badan sebelum Liga-M bersambung pada 26 Ogos ini selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lepas.

Selepas latihan kontak dibenarkan bermula 15-28 Julai, semua pasukan melalui penilaian MFL dalam tempoh bertenang sehingga semalam, sebagai usaha memastikan tiada individu dijangkiti Covid-19 dan tiada laporan daripada pasukan berhubung adanya gelaja wabak itu dalam kalangan pegawai dan pemain.

“Pasukan hanya dibenar untuk mengadakan perlawanan di antara pasukan Liga Super dan Liga Premier 2020 setelah pegawai dan pemain pasukan tersebut telah menjalani ujian calitan dan disahkan bebas gejala dan mendapat kelulusan MFL atau dengan pasukan yang mereka sudah bertemu di perlawanan peringkat awal sebelum liga ditangguhkan.

“Perlawanan hanya dibenarkan di stadium atau venue perlawanan sahaja, dan gelanggang perlawanan tersebut hendaklah didaftarkan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Stadium tersebut hendaklah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan. Perlawanan itu hendaklah dimainkan tanpa penonton dan hanya pegawai serta pemain pasukan yang berdaftar serta telah menjalani ujian calitan sahaja dibenar berada di dalam stadium atau venue perlawanan,” katanya.

Ab Ghani berkata beberapa pasukan telah menghantar permohonan dan makluman perlawanan persahabatan, termasuk aksi antara Selangor dan Pulau Pinang, Rabu ini.

Sementara itu, mengenai status Kuching FA, beliau berkata pasukan itu berada dalam keadaan terkawal selepas lima pemain mereka didapati positif Covid-19 berpunca daripada kluster Sentosa.

MFL sentiasa memantau keadaan Kuching FA sehingga mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan di Kuching, bagi tujuan kelulusan untuk mengadakan perlawanan persahabatan, katanya.

“Buat masa ini keputusan (ujian saringan) untuk kelima-lima pemain negatif dan mereka sudah dipindahkan dari hospital ke Kompleks Belia dan Sukan di Kuching. Pihak hospital akan membuat pemantauan dari sana dan mereka akan dikuarantinkan selama 14 hari.

“Bagi pemain yang lain, kesemuanya didapati negatif untuk ujian pertama, dan ujian kedua akan dibuat esok sehingga Khamis depan, dan kesemua pegawai dan pemain akan tamat kuarantin pada 7 Ogos ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya kesemua pasukan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh MFL ketika beraksi di gelangang serta SOP Kementerian Kesihatan ketika berada di luar venue dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL: Liga Malaysia kekal disambung 26 Ogos

SHAH ALAM, 22 JULAI: Liga Malaysia akan tetap disambung semula pada 26 Ogos depan, kata ketua pegawai eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Keputusan untuk menyambung semula liga kekal, tiada perubahan setakat ini dengan semua pasukan sedang giat melakukan persiapan rapi,” kata Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sudah dimaklumkan bagi mengesahkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementeri Kesihatan (KKM) yang membenarkan kejohanan kontak penuh seperti bola sepak bermula 15 Ogos.

Katanya, pada tarikh berkenaan aksi CIMB Liga Super serta Liga Premier akan berlangsung serentak manakala saingan TM Piala Malaysia bermula pada 17 dan 18 Oktober hadapan.

Bagaimanapun, perlawanan tertunda iaitu aksi CIMB Liga Super yang menemukan PJ City FC dengan Terengganu FC serta perlawanan Liga Premier, UKM FC bertemu Kelantan akan dijalankan pada 22 Ogos.

Ab Ghani mengingatkan pemain, pegawai dan semua pihak terlibat mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) serta mengekalkan momentum seperti sesi latihan fasa 1.

Sebelum ini Liga Malaysia 2020 ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat penularan pandemik Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL: Liga-M bermula 26 Ogos, semua perlu patuh SOP

SHAH ALAM, 17 JULAI: Saingan Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M) 2020 yang tertangguh sejak 16 Mac lalu disambung semula pada 26 Ogos, kata ketua pegawai eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Datuk Ab Ghani Hassan berkata Ahli Lembaga Pengarah mencapai kata putus mengenainya selepas menilai tempoh persiapan pasukan bertanding bagi memastikan kualiti liga lebih kompetitif.

“Tarikh baharu saingan Liga-M ditetapkan adalah terbaik buat semua pasukan selepas sesi latihan fasa dua dibenarkan kerajaan bermula 15 Julai.

“Beberapa perkara perlu dipatuhi antaranya setiap stadium perlawanan hendaklah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan disahkan MFL selain wajib menjalani proses nyahkuman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata MFL mengedarkan tatacara operasi piawai (SOP) perlawanan kepada semua pasukan manakala pegawai perlawanan perlu melakukan pemeriksaan stadium perlawanan.

“MFL turut mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia bagi membincangkan persiapan dan SOP pertandingan,” katanya.

Mengulas lanjut Ab Ghani berkata perlawanan Liga Super yang tertunda antara PJ City FC dan Terengganu FC serta Liga Perdana membabitkan UKM FC menentang Kelantan diadakan pada 22 Ogos.

“Selain itu pasukan Liga Super dan Liga Perdana hanya dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos sebaik tamat tempoh bertenang dari 29 Julai hingga 1 Ogos,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL: 16 pasukan Liga-M dilulus jalani latihan fasa pertama

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Enam belas pasukan Liga Malaysia (Liga-M), masing-masing lapan pasukan Liga Super dan Liga Premier, telah mendapat kelulusan daripada Liga Bola sepak Malaysia (MFL) untuk mengadakan sesi latihan fasa pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pasukan-pasukan berkenaan mendapat lampu hijau selepas melengkapkan beberapa dokumen yang diperlukan MFL selaku pentadbir Liga-M.

Dokumen berkenaan adalah laporan keputusan ujian swab, venue latihan berdaftar yang sudah melalui proses nyahkuman atau sanitasi, surat pengesahan ujian saringan oleh doktor pasukan, serta pelantikan pegawai penyelaras bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di padang terbuka.

“Latihan fasa pertama bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum kita melanjutkan proses kepada fasa kedua. Saya turut melihat setiap pasukan telah mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu perlu mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak.

“Saya berharap kesemua pasukan yang telah memberikan kerjasama penuh ini dapat memastikan perubahan fasa sesi latihan ini kepada fasa kedua dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Lapan pasukan Liga Super yang diluluskan permohonan adalah UiTM FC, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC), Perak, Melaka, Felda United FC dan Kedah, manakala lapan pasukan Liga Premier adalah Negeri Sembilan, Selangor II, JDT II, TFC II, Pulau Pinang, Kuching FA, Perak II dan Kuala Lumpur.

Mengenai kedudukan pasukan Liga Super, PJ City FC, Ab Ghani memaklumkan permohonan pasukan berkenaan masih belum diluluskan kerana mereka masih belum menentukan venue latihan tertutup, walaupun berjaya melengkapkan beberapa dokumen lain seperti laporan keputusan ujian swab, surat pengesahan ujian saringan oleh doktor pasukan serta nama pegawai penyelaras.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani berkata tiga pasukan Liga Super iaitu Pahang, PDRM dan Sabah, serta empat pasukan Liga Premier iaitu Kelantan, Kelantan United FC, UKM FC dan Sarawak United FC, masih belum menghantar permohonan untuk sesi latihan fasa pertama kerana masih menunggu keputusan ujian swab.

“Saya percaya ia akan selesai dalam sedikit masa lagi. Kita berharap supaya semua pasukan bersedia lebih awal jika kita mendapat kelulusan untuk memulakan liga lebih awal iaitu pada Ogos nanti,” katanya.

Beliau berkata sekiranya semua selesai mengikut jadual, ia bukan sahaja memberi kelebihan kepada semua pasukan malahan turut membantu persiapan skuad kebangsaan mengharungi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Walaupun saingan Liga-M mungkin diawalkan dari September kepada Ogos, Ab Ghani menegaskan bahawa saingan Liga Super dan Liga Premier akan diteruskan mengikut perancangan asal iaitu setiap pasukan akan beraksi dalam baki tujuh perlawanan, manakala format Piala Malaysia juga tidak berubah.

MFL sebelum ini mengubah format Liga-M 2020 dengan merancang meneruskan saingan Liga Super dan Liga Premier bermula awal September hingga pertengahan Oktober ini, sementara saingan Piala Malaysia bermula pada pertengahan Oktober hingga awal November manakala saingan Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan susulan kekangan masa.

– BERNAMA