Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

JKJR Selangor agih 65 topi keledar, 800 cenderahati sempena Tahun Baru Cina

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 26 JAN: Sebanyak 50 topi keledar dewasa dan 15 topi keledar kanak-kanak diagihkan kepada penunggang serta pembonceng motosikal dalam Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Tahun Baru Cina 2017.

Sebanyak 800 beg cenderahati turut diagihkan kepada pengguna jalan raya ketika sesi interaksi dan khidmat nasihat bagi menyuntik kesedaran mereka berkenaan aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan setiap masa.

Manakala, 30 jaket pantulan cahaya juga diagihkan kepada penunggang motosikal bagi meningkatkan tahap kebolehlihatan dalam kalangan pengguna.

Kempen terbabit dirasmikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pengurusan, Dato’ Mazlan Md Noor di Plaza Batu 11 Cheras- Kajang, di sini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, Mohammad Fakhri Mansor berkata, kempen itu bertujuan menyuntik kesedaran berkenaan keselamatan ketika berada di jalan raya, sekali gus mampu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian yang berlaku sepanjang musim perayaan kali ini.

jkjr1“Menerusi pembabitan pelbagai agensi diharapkan kadar kesedaran keselamatan ketika berada di jalan raya akan meningkat. Ia sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian yang berlaku musim perayaan kali ini,” katanya.

Fakhri berkata, polis dan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil langkah strategik dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan juga kematian jalan raya.

“Ops Selamat bermula 21 Januari lalu hingga 5 Februari ini sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan. Tahun lalu, Ops Selamat mencatatkan 5,247 kes iaitu peningkatan 248 kes, berbanding tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata, JPJ turut melaksanakan penguatkuasaan tujuh kesalahan utama tanpa kompaun bagi mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya dalam operasi bersepadu Tahun Baru Cina 2017.

Tujuh kesalahan utama itu membabitkan gagal mematuhi lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong barisan serta memandu di lorong kanan secara berterusan bagi bas dan kenderaan perdagangan.

“Malah, advokasi yang dijalankan JKJR sepanjang tempoh perayaan adalah bukti keseriusan pihak yang terbabit dalam meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya khususnya Selangor,” katanya.

Dalam kempen bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’, Malaysia Automotive Institute (MAI) turut menyediakan taklimat berkaitan pemeriksaan asas kenderaan bagi menerapkan budaya pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan.

Hal itu kerana kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBSA edar 350 topi keledar percuma 13 Julai

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 1 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal mengedarkan 350 topi keledar secara percuma menjelang perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti MBSA, Shahrin Ahamd, berkata program dilaksanakan sempena Kempen Selamat Balik Kampung bertempat di perhentian bas, Persiaran Jubli Perak, Seksyen 18, di sini, pada 13 Julai ini.

MBSA-Shahrin Ahmad“Bertujuan sebagai peringatan kepada orang ramai supaya mementingkan keselamatan jalan raya terutama penunggang motosikal yang sering menjadi mangsa kemalangan terutama pada musim perayaan.

“Ia juga bagi mendidik pengguna jalan raya untuk menunggang secara berhemah dan cermat sepanjang perjalanan pulang ke kampung,” katanya dalam kenyataan media.

Shahrin berkata, 300 topi keledar dewasa adalah sumbangan SIRIM QAS International Sdn Bhd, manakala 50 topi keledar kanak-kanak sumbangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Konsepnya adalah menukar topi keledar lama yang tidak menepati spesifikasi keselamatan.

“Ia juga bagi memastikan pembonceng menggunakan topi keledar disahkan selamat mengikut piawaian dan ciri keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

320 topi keledar percuma sempena kempen Selamat Balik Kampung

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meneruskan kempen Selamat Balik Kampung untuk kali keempat dengan memberi topi keledar secara percuma kepada penunggang motorsikal khususnya Shah Alam.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti MBSA, Shahrin Ahmad, berkata kempen itu akan diadakan di kawasan Paya Jaras dan Sungai Buloh Seksyen U20 bermula jam 11 pagi, pada 22 Julai ini.

topi keledar mbsa1Katanya, 300 unit topi keledar dewasa dan 20 unit topi keledar kanak-kanak sumbangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan SIRIM QAS internasional Sdn Bhd akan diberikan kepada orang ramai.

“Topi keledar yang disediakan menepati ciri keselamatan jalan raya yang diluluskan SIRIM,” katanya dalam kenyataan media.

Shahrin berkata kempen itu diadakan bagi menggalakkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung pada musim perayaan supaya mementingkan keselamatan jalan raya terutama penunggang motorsikal.

“Selain itu, program ini juga mendidik pengguna jalan raya khususnya motosikal untuk menunggang dengan cara berhemah dan cermat sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman.

MBSA-Shahrin Ahmad“Melalui kempen ini, topi keledar akan diedarkan kepada orang ramai dengan menggunakan konsep pertukaran topi keledar lama yang tidak menepati spesifikasi kepada topi keledar baru,” katanya.

Selain program berkenaan, edaran Kurma turut akan diberikan kepada penunggang motosikal yang menukar topi keledar lama kepada yang baru.

Majlis penyerahan akan disampaikan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Atan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan topi keledar percuma boleh hadir pada tarikh dan lokasi yang dinyatakan.

-NFN-