Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Trauma Covid-19: Apa peranan pekerja, majikan?

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: “Hingga hari ini saya masih ada rasa takut dan bimbang apabila nampak ramai orang. Saya juga tidak keluar ke mana-mana selain ke tempat kerja dan selepas itu terus pulang ke rumah.” Demikian luahan bekas pesakit Covid-19 Noraznida Daud, 48.

Menurut Eksekutif Insurans dan Takaful di sebuah syarikat insurans terkemuka di ibu kota itu, dia disahkan positif Covid-19 pada 20 Julai lepas setelah mendapat jangkitan daripada rakan sekerja.

“Sakitnya masih terasa… jika dikenangkan memang rasa trauma nak ke mana-mana termasuklah tempat kerja. Namun begitu kehidupan perlu diteruskan, saya bersyukur kerana masih dipanjangkan umur selepas melalui episod hitam ini selain majikan turut mengambil berat dan sering bertanya khabar.

“Covid-19 bukan perkara main-main. Sesiapa yang perlu keluar bekerja atau berjumpa mana-mana individu, perlu ada rasa waswas bahawa orang itu mungkin dijangkiti (Covid-19). Bunyinya mungkin agak kasar, namun bagi saya itu cara terbaik supaya kita tidak alpa dan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti memakai pelitup muka, jaga jarak dan kerap mencuci tangan,” kongsinya kepada Bernama.

Menurut Noraznida, sehari sebelum disahkan dijangkiti virus maut itu, dia mengalami sakit kepala yang teruk serta berasa seram sejuk ketika sedang bekerja di pejabat dan berhasrat untuk ke klinik yang terletak di bangunan sama.

Bagaimanapun katanya dia menerima panggilan telefon daripada pengurus yang memintanya terus pulang ke rumah dan tidak ke mana-mana kerana rakan sekerja baru sahaja disahkan positif Covid-19.

“Perasaan ketika itu hanya Allah yang tahu. Panik, takut dan air mata tak henti mengalir. Ditambah dengan pelbagai kisah korban Covid-19, perkara itu membuatkan saya mula membayangkan hospital, pusat kuarantin, unit rawatan rapi (ICU) termasuklah bagaimana jika ditidurkan dan soal kematian.

Setiap pekerja Nestle’ wajib menjalani ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) dua kali seminggu bagi mengelakkan penularan Covid-19 di kilangnya, sebelum ini saringan dibuat sekali seminggu sekali namun ditingkatkan susulan peningkatan kes harian di Selangor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Keputusan ujian saringan yang keluar pada keesokannya mengesahkan saya memang dijangkiti virus itu, bahkan dua orang anak saya turut positif cuma mereka tidak bergejala. Saya pula mengalami sakit kepala yang teruk, hilang deria rasa, sakit tekak sehingga batuk berdarah,” kongsi ibu kepada empat cahaya mata itu yang hanya diminta menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas jangkitan disahkan.

Perlu rawatan jika berlanjutan

Menurut pakar perubatan dan kesihatan, apa yang dialami oleh Noraznida bukan sesuatu yang luar biasa, malah turut dilalui oleh ramai lagi bekas pesakit Covid-19 khususnya mereka yang dijangkiti di tempat kerja.

“Namun begitu, jika mereka mendapat gangguan tidur, kerisauan melampau berserta simptom fizikal iaitu mengelak daripada berada dalam keadaan yang sama (situasi yang menyebabkan mereka dijangkiti Covid-19) dan mungkin juga sehingga membawa kepada gangguan emosi, ini mungkin simptom pascatrauma,” kata Pakar Perunding Kanan Psikiatri di Pusat Pakar Universiti Malaya Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari.

Jika itu berlaku, beliau menasihati individu terbabit agar mendapatkan bantuan psikoterapi sebagai persediaan mental untuk kembali bekerja seperti biasa.

“Proses ini mengambil masa dan semasa proses rawatan doktor mungkin perlu memberikan cuti sakit termasuk untuk tujuan rehabilitasi,” katanya, menambah majikan perlu bertimbang rasa dan tidak memaksa pekerja untuk kembali ke pejabat yang boleh memburukkan lagi keadaan individu tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata jangkitan Covid-19 boleh memberikan impak jangka pendek kepada kesihatan mental individu seperti kerisauan dan sindrom jangka panjang yang menyebabkan kecelaruan stres pascatrauma atau PTSD seperti kemurungan berpanjangan.

“Perkara ini boleh berlaku disebabkan stigma masyarakat terhadap bekas pesakit Covid-19. Ada yang mengalami keletihan melampau secara berterusan dan ada juga yang mengalami sakit neuropati,” jelasnya.

Dr Muhammad Muhsin berkata mereka juga perlu menjalani penilaian mental secara klinikal bagi membolehkan intervensi psikologi dilakukan secepat mungkin untuk mengelakkan simptom bertambah buruk sekiranya benar mereka mengalami tekanan mental akibat dijangkiti Covid-19.

“Rawatan terapi sokongan juga perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan. Ini termasuk mendengar keresahan dan luahan pesakit melalui pendekatan yang tidak menghakimi (empati). Jika gangguan mental yang dialami adalah serius maka rawatan berbentuk ubatan mungkin diperlukan,” katanya.

Menurut Dr Muhammad Muhsin lagi, mereka yang terkesan secara langsung dan serius seperti ramai ahli keluarga dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia akibat Covid-19, lebih berisiko mengalami sindrom jangka panjang.

Perbincangan telus pekerja dan majikan

Berkongsi pandangan, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Dr Shawaludin Husin berkata situasi ketidaktentuan pandemik menuntut perbincangan secara telus di antara pekerja dan majikan berhubung permasalahan yang dialami bagi mencapai persefahaman dan mencari alternatif menang-menang.

“Dalam situasi pandemik ini, banyak perkara bertukar menjadi sensitif dan memerlukan pertimbangan sewajarnya terutama soal emosi, kewangan dan kehidupan seharian yang banyak terjejas. Bukan sahaja pekerja bahkan majikan juga hakikatnya turut menerima impak pandemik ini.

“Selain trauma akibat jangkitan Covid-19, pekerja mungkin berhadapan isu pemotongan elaun atau gaji dan risiko diberhentikan kerja. Majikan pula dihimpit bebanan hutang apabila operasi terpaksa dihentikan namun sewa beli mesin dan bangunan tetap perlu dilunaskan,” katanya.

Dr Shawaluddin yang juga Doktor Kesihatan Pekerjaan, berkata masalah kewangan boleh mencetuskan isu lain seperti keruntuhan institusi keluarga, tekanan hidup dan mental sehingga ada yang memilih jalan singkat dengan membunuh diri.

Pekerja syarikat sarung tangan Top Glove menjalani saringan Covid-19 di asrama pekerja wanita di Meru pada 18 November 2020. Foto: BERNAMA

“Perkara ini (membunuh diri) benar-benar membimbangkan,” katanya, menambah sikap tolak ansur dan saling memahami di antara pekerja dan majikan adalah resipi terbaik dalam memastikan operasi syarikat terus berjalan, sekali gus kedua-dua pihak masih mempunyai sumber pendapatan walaupun tidak serancak sebelum pandemik.

Pandemik dan OSHA 1994

Mengenai peranan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) dalam melindungi pekerja ketika pandemik, Dr Shawaludin menjelaskan perkara itu bergantung pada kategori hazard, jenis pekerjaan serta situasi yang mewajarkan perlindungan akta tersebut.

“OSHA 1994 berkaitan hazard yang dihasilkan di tempat kerja, sebagai contoh bahan kimia, hazard fizikal (sinaran, bunyi bising, elektrik), ergonomik, psikososial dan hazard biologi.

“Covid-19 berada dalam kategori hazard biologi. Petugas barisan hadapan, terutama mereka yang bertugas merawat dan menguruskan pesakit Covid-19 termasuklah yang bekerja di makmal sampel Covid-19, jelas berhadapan hazard sewaktu bertugas di tempat kerja dan mereka ini secara langsung dilindungi di bawah OSHA 1994,” katanya.

Mengenai nasib pekerja yang dijangkiti di tempat kerja, beliau berkata sukar untuk dibuktikan jangkitan berlaku di tempat kerja memandangkan penularan Covid-19 kini meluas dan sukar dikawal selain bersifat sporadik, iaitu boleh berlaku di mana-mana sahaja dan ke atas sesiapa juga.

“Apabila semakin ramai orang dijangkiti virus ini di mana-mana sahaja, maka mana mungkin malah tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada majikan semata-mata apabila berlaku jangkitan Covid-19 di tempat kerja. Sejauh mana kita boleh tentukan jangkitan itu memang berpunca di tempat kerja?

“Bagaimanapun majikan boleh dikenakan tindakan di bawah OSHA 1994 sekiranya terbukti gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk secara sengaja membenarkan mereka yang dijangkiti Covid-19 datang ke tempat kerja dan memberi kemudaratan kepada pekerja-pekerja lain,” jelasnya.

Antara tujuan utama OSHA 1994 ialah memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja adalah terjamin daripada sebarang risiko keselamatan dan kesihatan akibat aktiviti kerja yang dijalankan di samping turut melindungi keselamatan dan kebajikan pihak ketiga (termasuk pelawat atau orang awam) daripada risiko yang sama di tempat kerja.

Majikan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja selain pada masa sama perlu mengawal selia dan memastikan premis mereka tidak mengganggu dan menjejaskan persekitaran luar dan orang awam, sebagai contoh pencemaran udara, sungai dan sebagainya.

Dalam pada itu beliau menyarankan kerajaan dan pakar yang berkaitan meletakkan anggaran realistik tentang tempoh yang diperlukan untuk negara benar-benar pulih daripada pandemik bagi membantu rakyat merancang langkah yang perlu diambil untuk ke depan.

“Apabila ada satu tarikh anggaran yang konkrit berdasarkan data, fakta dan kajian, contohnya pada 2024 atau 2025 (negara pulih daripada Covid-19), rakyat khususnya pekerja dan majikan, boleh merencana agenda mereka, sebagai contoh cuba beralih kepada industri lain yang lebih relevan,” katanya, menambah langkah tersebut turut membantu mengurangkan rasa ketidaktentuan dan tekanan dalam kalangan rakyat yang hingga kini tidak tahu bila bencana Covid-19 di negara ini akan berakhir.

– BERNAMA

Categories
RENCANA

Konflik Syria: Mangsa perang derita trauma

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KILIS (Turki), 27 Mei: Mendengar sendiri kisah perjuangan, pengorbanan, kehilangan dan penderitaan yang dilalui mangsa perang Syria sememangnya amat menyayat hati.

Trauma mereka sejak tercetus konflik di Syria yang sudah memasuki tahun kesembilan itu amat mendalam dan melukakan sehinggakan ada mangsa hampir buta kerana menangisi ahli keluarga yang terkorban.

Bahirah Atuk, 85, dari Aleppo yang kehilangan empat ahli keluarganya dalam peperangan di Aleppo, Syria, lima tahun lalu kini lumpuh separuh badan.

Warga emas yang tidak lagi jelas butir percakapannya itu kehilangan suami, anak lelaki dan dua menantu lelaki di depan matanya akibat konflik perang saudara tersebut.

“Moga mereka ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan ibu menjadi ibu para syuhada,” kata anak perempuan Bahirah, Muna Akam, 50, yang kini menetap dan menjaga ibunya di pinggir bandar Kilis, tidak jauh dari sempadan Turki-Syria.

Kisah kehilangan anggota keluarga Bahirah yang diceritakan Muna amat menyedihkan sukarelawan tim Misi Ramadan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia serta wartawan BERNAMA yang menziarahi rumah pelarian Syria itu dua hari lalu.

Seramai 2,000 pelarian Syria yang hadir pada majlis iftar untuk anak yatim dan ibu tunggal anjuran Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Global Peace Mission (GPM) di Taman Rekreasi Gaziantep semalam. Foto Ihsan BERNAMA

Ketika kami tiba di rumah pelarian Syria itu, Bahirah sedang solat zuhur di ruang tamu kecil rumahnya walaupun dalam keadaan lumpuh.

Di muka pintu rumah, Muna menangis sambil menceritakan kisah ibunya yang kehilangan empat ahli keluarga akibat perang sambil beliau mendoakan kebaikan sukarelawan Malaysia yang datang dari jauh untuk membantu.

Wartawan BERNAMA juga sebak melihat keadaan Bahirah yang sudah bongkok dimamah usia namun tekun bersolat walaupun dalam keadaan lumpuh.

Penterjemah yang juga pelarian Syria, Ola daripada Bonyan Organisation, turut menitiskan air mata melihat keadaan keluarga itu yang menyayat hati.

“Ibu ini kehilangan suami dan anak-anaknya di depan mata,” kata Ola.

Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin yang pada awalnya nampak tenang turut sebak manakala Presiden MVM, Muhammad Jantan hanya mampu duduk dan terdiam di sebelah warga emas itu.

“Kisah pelarian Syria ini mengingatkan saya tentang kisah Khansa binti Amr yang empat anaknya gugur ketika Perang Qadasiyah di zaman Rasulullah SAW,” kata Ahmad Fahmi yang berkaca matanya.

Khansa binti Amr digelar “ibu para syuhada” apabila beliau menggalakkan anak lelakinya berjihad kerana agama Allah malah beliau dikatakan tidak sedih sebaliknya berbangga dengan pengorbanan anaknya yang gugur di medan perang.

“Mereka (keluarga Bahirah) tidak mempunyai ketua keluarga, tidak punya punca pendapatan hidup, kerana itu kita perlu teruskan bantuan kepada keluarga ini,” kata Muhammad yang turut terkesan dengan kisah pelarian Syria itu.

Keluarga Bahirah antara 1,000 penerima bantuan bekalan makanan untuk tempoh sebulan sumbangan rakyat Malaysia menerusi kempen bantuan Ramadan MVM, GPM dengan kerjasama Malaysia Life Line For Syria.

Konflik perang saudara Syria bermula dengan penentangan sivil pada Mac 2011 dan sehingga kini mengorbankan lebih 400,000 nyawa dengan lebih 11 juta rakyatnya menjadi pelarian di dalam dan luar Syria. -BERNAMA